Al-Quran:
Kata-Kata Allah
Al-Quran,
sebuah buku yang sarat dengan nasihat pengajaran yang kudus membawa berita
gembira kepada umat manusia. Al-Quran mengesahkan kebenaran terhadap penemuan penting
manusia baik dari sudut rohani mahupun intelek.
Setiap
buku mempunyai objektif dan objektif Al-Quran adalah untuk menjadikan manusia
sedar tentang perancangan penciptaan Allah. Al-Quranlah satu-satunya buku yang
memberitahu manusia mengapa Allah menciptakan dunia ini, apa tujuan manusia dicipta
di bumi ini; apa yang perlu dilakukan manusia ketika hidupnya dan apa yang akan
berlaku selepas mereka mati.
Dalam
memberi petunjuk dan panduan kepada manusia Al-Quran menggunakan beberapa terma
seperti tadabbur dan tafakkur, yang mengajar manusia untuk berfikir dan merenung
terhadap tanda-tanda Tuhan yang bertaburan di seluruh pelosok dunia.
Apabila
kita membaca Al-Quran, kita berkali-kali akan mendapati kenyataan bahawa ia
adalah kalam Allah. Bagi sesetengah manusia, selain Al-Quran, ada yang percaya
bahawa ada lagi beberapa buku yang dianggap suci. Namun,
buku-buku itu tidak pula mengatakan ia adalah
firman Tuhan. Sebaliknya Al-Quran, adalah unik kerana Tuhan sendiri mengesahkan
ia datang dariNya. Bahkan, apabila manusia mengkaji Al-Quran, manusia akan mengakui
bahawa ia adalah sebuah buku yang luar biasa, bukan sebagai sebuah buku biasa
yang ditulis oleh tangan manusia.
Apabila
kita membaca Al-Quran, kita akan temui banyak kata-kata yang menyebut, “Wahai
manusia” atau “Wahai orang-orang yang beriman”. Kata-kata ini amat mendalam dan
mampu meninggalkan kesan kepada hati-hati manusia. Menerusi kata-kata ini juga,
manusia seolah-olah dapat merasakan bahawa Tuhan secara langsung berinteraksi
dengannya. Perasaan yang wujud ini sudah tentu akan membuatkan manusia bertindak
mengutip bait-bait Al-Quran dengan lebih serius bukan hanya melayan seperti
kenyataan yang terdapat dalam sebuah buku biasa.
Gaya
penyusunan Al-Quran juga unik. Biasanya, buku yang ditulis oleh manusia kandungannya
atau topiknya disusun mengikut abjad dari A ke Z. Tetapi Al-Quran tidak
mengikut corak seperti ini. Manusia biasa, yang belum mendalam penghayatannya,
tentu nampak kurang teratur. Namun, walau bagaimanapun setelah mereka meneliti,
melihat dengan mata hati, tentu mereka akan dapati ia sebagai sebuah buku yang
sangat jelas dan teratur, dan megah dalam gaya penulisan.
Tambahan
pula, tatkala manusia sedang membaca Al-Quran, mereka akan dapat merasakan
bahawa Penulisnya yang berada pada mercu yang sangat tinggi dapat melihat ke
bawah dan menangani seluruh umat manusia, yang merupakan keprihatinan khas-Nya.
Keprihatinan yang dikemukakan memberi tumpuan kepada kumpulan manusia yang
berbeza, namun meliputi semua daripada mereka.
Selain
itu, salah satu aspek khas Al-Quran adalah; pada bila-bila masa, di mana sahaja
dan dalam apa jua keadaan pembaca boleh berunding dengan Penulisnya. Pembaca
hanya perlu mengemukakan soalan dan Al-Quran akan memberi jawapan. Oleh kerana
Penulis Al-Quran itu adalah Tuhan sendiri, Tuhan yang Maha Hidup. Sebagai
Pencipta manusia, Dia terus mendengar dan menjawab panggilan manusia.
No comments:
Post a Comment