Oleh:
Sheikh Adnan Al-Aroor
Soalan:
Bolehkan tuan menerangkan apa itu Islam?
Jawapan:
Bagi menjelaskan apa itu Islam, hal ini
terbahagi kepada dua. Pertama ialah memberi penjelasan (gambaran) tentang agama
Islam dan kedua adalah tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh orang Islam
(Muslim) terhadap agamanya.
Tentang Agama
(Sebelum saya menjelaskan tentang apa itu
Islam). Ingin saya sentuh berkenaan agama. Agama itu memiliki
struktur-strukturnya yang tertentu. Struktur ini (biasanya) terdiri daripada
amalan, iman dan rukun-rukun. Tidak akan lengkap agama melainkan struktur ini
didirikan (sepenuhnya).
Sebagai contoh, bagi mendirikan sesebuah
bangunan, anda memerlukan sekurang-kurangnya empat atau lima dasar
(foundation). Besar atau tinggi bangunan itu terletak pada kekuatan dasarnya.
Allah swt telah berfirman di dalam surah
At-Taubah surah ke 9 ayat 109 yang bermaksud:
“Maka adakah orang
yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan
(untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, atau orang yang membangunkan
masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia
dengan yang dibangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan
memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [Al-Quran 9:109]
Di samping itu kita juga perlu menerangkan
apa itu Islam sebelum menerangkan Iman.
Apa itu Islam?
Tidak kira sesiapa pun, datang dari pelosok
mana sekalipun yang ingin tahu tentang Islam, perkara pertama yang perlu
dijelaskan kepada mereka adalah “Jangan terima apa-apa pun perkara/ajaran
berhubung agama tanpa sebarang dalil”.
Perkara ini penting sebelum kita menerangkan
tentang ibadah seperti solat dan puasa. Bagaimana hendak menjelaskan kepada
seseorang tentang solat atau puasa jika tidak tahu dari mana datangnya sumber
ajaran tersebut. Kita tidak boleh mengambil ajaran secara membuta tuli dari
mana-mana sahaja.
Ini kerana agama kita (Islam) terbina
berlandaskan dalil (bukti). Dan dalil ini lebih besar dan penting berbanding
dalil kimia, fizik mahupun matematik.
Selain itu, perkara penting untuk kita semua
baik Sunni mahupun Syiah tentang agama (Islam) ialah kita tidak boleh menyembah
Allah swt dengan membabi buta dan mengambil ajaran dari sesiapa sahaja.
Sebagai contoh, pada suatu musim Haji di
Tanah Haram, seseorang telah bertanyakan saya beberapa hal mengenai halal dan
haram dalam melaksanakan ibadah Haji. Kemudian saya bertanyakan orang tersebut,
“Bagaimana anda dapat tahu bahawa saya orang yang berkelayakan dalam
mengeluarkan fatwa?”. Lalu orang itu berkata, “Kerana janggut tuan panjang!”.
Jawapan yang diberikannya itu bukan dasar
bagi agama kita.
Kita tidak boleh menerima apa-apa ajaran
hanya kerana serban seseorang itu berwarna hitam atau merah atau hijau, atau
kerana dia berjanggut panjang mahupun kerana sijilnya.
Perkara ini dapat dibuktikan melalui hadis
sahih tentang Dhimam.
Dhimam hanya menerima sesuatu perkara dengan
berlandaskan dalil dan hanya menerima dalil daripada Rasulullah saw. Di dalam
riwayat-riwayat yang lain, diberitakan bahawa (Dhimam) telah diberitahu oleh
Rasulullah saw bahawa, “Allah swt adalah pencipta langit dan bumi,
gunung-ganang dan sungai”.
Dan Dhimam tahu bahawa Nabi Muhammad saw
dalam sejarah hidupnya tidak pernah menipu atau berbohong. Namun, Dhimam tetap
meminta Baginda saw bersumpah di atas nama Allah kerana agama suatu perkara
yang mustahak.
Suatu ketika dahulu, masyarakat Arab
mempunyai keyakinan diri yang teguh apabila bersumpah seperti kata Ad-Dhuyani di
dalam syairnya:
“Aku bersumpah sehingga semua kesedihanku
hilang, dan tiada jalan lain melainkan jalan Allah swt.”
Dan Nabi saw tidak pernah melarang kita
untuk bertanyakan dalil.
Andai seseorang datang kepada anda dan
meminta anda untuk mengikuti ajarannya tanpa sebarang dalil dan mendakwa
kononnya dia seorang yang berada di pihak yang benar, katakan kepadanya, “Tidak
apa yang dapat membantuku di hadapan Allah swt melainkan perkara yang
berdalil”.
Untuk itu, Allah swt juga telah berfirman di
dalam surah An-Naml surah ke 27 ayat 64 yang bermaksud:
“..Katakanlah: "Bawalah
kemari keterangan-keterangan (dalil) kamu, jika betul kamu orang-orang yang
benar ". [Al-Quran 27:64]
Islam juga bukan agama yang berlandaskan
ilusi, perkara karut marut, legenda dan mistik. Sesetengah orang menolak dan
menafikan dalil bahkan menggantikannya dengan perkara yang karut marut.
Orang seperti ini biasanya mudah mempercayai
seseorang yang tampak berkarisma, mulia dan berjanggut panjang. Ini sama sekali
tidak benar, Islam bukan seperti ini.
Oleh sebab itu, Islam telah meletakkan
penamat bagi perkara-perkara tersebut. Dan Al-Quran adalah jelas mengandungi
perkataan-perkataan yang benar.
Sebagaimana firman Allah swt di dalam
Al-Quran di dalam surah Hud surah ke 11 ayat 17 yang bermaksud:
“Jika demikian,
adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan
bukti yang terdapat dari Tuhannya, dan
diikuti oleh kitab suci Al-Quran memberi kenyataan- sebagai saksi dari pihak
Tuhan meneguhkan bukti tersebut; dan sebelum itu, kenyataan yang serupa diberi
oleh kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)?
Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui- menerima Al-Quran; dan sesiapa
ingkar akan Al-Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir, maka nerakalah
dijanjikan menjadi tempatnya. Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad)
menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu
adalah perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak percaya
kepadanya.” [Al-Quran 11:17]
Dan dalil itu mestilah datangnya daripada
Allah swt.
Islam agama yang sempurna
Saya juga suka untuk menjelaskan bahawa
Islam juga adalah agama yang telah sempurna. Kita tidak akan menerima apa-apa
penambahan dalam Islam walaupun daripada sahabat Nabi seperti Abu Bakar r.a,
Umar r.a, Uthman r.a atau Ali r.a.
Ini kerana Allah swt telah berfirman di
dalam Al-Quran, surah Al-Maidah surah ke 5 ayat ke 3:
“..Pada
hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan
nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk
kamu..” [Al-Quran 5:3]
Islam telah sempurna
sebelum kewafatan Nabi Muhammad saw dan bukan pada zaman Abu Bakar r.a mahupun
Umar r.a. Namun, kita tidak boleh terus menolak tunjuk ajar daripada
sahabat-sahabat dan keluarga baginda saw.
Dalil bersumberkan Al-Quran dan Sunnah
Selain itu, ajaran
dan kepercayaan di dalam Islam mempunyai banyak sumber (dalil) daripada
Al-Quran dan Sunah supaya tiada keraguan lagi bahawa Islam adalah agama yang
telah sempurna.
Pernah suatu ketika
dahulu di Syria, ada seorang Sheikh, saya tidak mahu menyebut namanya. Dia gemar
minum kopi tetapi ia terlalu mahal. Maka ketika berada di sebuah kedai kopi dia
telah mencipta sebuah hadis. Dia berkata kepada pelayan kedai itu:
“Saya telah bermimpi
bertemu Nabi Muhammad saw dan beliau bersabda: “Malaikat akan terus berdoa
meminta keampunan Allah ketika pelanggan mengingati nikmat keenakan kopimu.”
Perkara ini saya
dengar daripada seorang yang berjanggut panjang dan berserban, namun mujurlah
dia bukan seorang ulama. Dia mendakwa telah berjumpa Rasulullah saw di dalam
mimpinya. Tiada perkara seumpama ini di dalam Islam, agama kita telah sempurna!
Justeru, jangan percaya kepada sesiapa pun
yang berkata bahawa dia mendapat hadis baru dari mimpinya dan dia datang dari
keluarga yang membawa kebenaran. Kerana saya juga (atau sesiapa pun) boleh
mencipta hadis dengan mudah.
Kita tidak perlu
mereka-reka perkara yang diperoleh daripada mimpi dan kita tidak perlu
menyembunyikan apa-apa ajaran daripada agama. Dan sesiapa yang berbuat demikian
(mereka-reka ajaran) maka ajarannya adalah sampah.
Lihatlah bagaimana universiti di Al-Azhar, Mesir dan universiti-universiti di Arab Saudi, mereka mendedahkan ajaran secara terbuka. Kita perlu mengelakkan diri daripada mereka yang suka menyembunyikan sesuatu di dalam Islam dan mereka yang senantiasa lari daripada diajak berdebat atau berdialog.
Dan jangan takut
kepada orang yang mendedahkan agama secara jelas.
Tanggungjawab
orang Islam (Muslim)
Selanjutnya adalah tanggungjawab
kita sebagai seorang Muslim. Berhubung perkara-perkara agama seperti syahadah,
aqidah, hukum-hakam dan perkara yang wajib dipatuhi peranan kita sebagai orang
Islam (Muslim) adalah menjadi pengikut (ittiba’).
Kita tidak boleh
mempersoalkan mengapa perlu solat 5 waktu sehari semalam, puasa di bulan
Ramadhan dan kenapa perlu bayar zakat dan juga berkenaan akidah (ideologi). Kita tidak boleh berbalah mengenainya. Kita
hanyalah sebagai pengikut.
Rasulullah saw
sendiri menyatakan bahawa baginda hanyalah seorang pengikut yang patuh kepada
perintah Allah swt. Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Al-A’raf ayat
203 yang bermaksud:
“Dan
apabila engkau (wahai Muhammad) tidak membawa kepada mereka sesuatu ayat Al-Quran
(sebagaimana yang mereka kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek):
"Mengapa engkau tidak bersusah payah membuat sendiri akan ayat itu?"
Katakanlah: "Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan
kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan yang membuka hati
dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang
beriman.” [Al-Quran 7:203]
Maka kita tidak
boleh memberi buah fikiran kita sendiri berkenaan hukum-hakam dan amalan kepada
sesiapa yang ingin mengetahui hal tersebut.
Namun, ingin saya
nyatakan bahawa dalam urusan politik, perundangan dan juga hak-hak rakyat, maka
ia perlu dibentuk dengan mesyuarat
(syura) yang tertakluk kepada undang-undang Islam. Ini kerana Islam tidak
pernah memberitahu kita supaya membina stesen jana kuasa atau masjid di
tempat-tempat yang tertentu.
Nabi Ibrahim a.s dan
Nabi Muhammad saw sendiri pun tidak mengetahui bagaimana cara untuk mengerjakan
manasik (ibadah Haji), seperti firman Allah swt di dalam surah Ad-Dhuha surah
ke 93 ayat 7 dan surah Al-Baqarah, surah ke 2 ayat 128:
“Dan
didapatinya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah
petunjuk (dengan wahyu- Al-Quran).” [Al-Quran 93:7]
“Wahai
Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri)
kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah
diri) kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami,
dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi
Maha Mengasihani.” [Al-Quran 2:128]
Maka di dalam soal
ibadah, kita mesti mengikat diri kita dengannya, namun di dalam soal keduniaan
atau masalah politik kita perlu selesaikan sendiri.
Diri
sendiri sebagai Penyelamat dari api neraka
Seterusnya, saya
ingin memberitahu bahawa tiada siapa yang dapat menyelamatkan kita daripada api
neraka melainkan kita sendiri. Hanya diri kita sendiri yang dapat melindungi
kita daripada api neraka.
Pelindung yang
terakhir adalah Nabi Muhammad saw dan ia sudah berakhir dengan kewafatan
baginda. Tiada siapa, walaupun Abu Bakar r.a atau Umar r.a yang dapat
melindungi seseorang daripada api neraka.
Perkara penting juga
di dalam ajaran Islam adalah Islam bukan agama yang menerapkan unsur-unsur
dendam, kebencian atau membalas dendam.
Dan selanjutnya
sesiapa yang membunuh Hussain r.a atau Umar r.a akan didakwa di hadapan Allah
swt, namun anak-anak atau keturunannya tidak akan disabitkan kerana mereka
tidak terlibat dengan perkara tersebut.
Firman Allah swt di
dalam surah Al-An'am, surah ke 6 ayat 164 yang bermaksud:
“Katakanlah:
“Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi
tiap-tiap sesuatu. Setiap perbuatan dosa seseorang, dirinya sendiri yang
bertanggungjawab. Dan seseorang tidak akan memikul beban dosa orang lain.
Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada
kamu akan apa yang dahulu kamu perselisihkan.” [Al-Quran 6:164]
Susunan: Mohd Aziz
Sumber: YouTube
No comments:
Post a Comment