Oleh: Syeikh Saleh al-Maghamsi
Tuan-tuan yang saya
rahmati sekalian..perkara terbesar yang telah diberitahu oleh Allah swt kepada
hamba-hambaNya berkenaan DiriNya adalah: “La ila ha illa Llah” (tiada
tuhan yang berhak disembah melainkan Allah). Ini lah ketentuan yang paling
agung.
Allah swt telah berfirman di dalam surah An Naml, surah ke 27 ayat 62
yang bermaksud:
“..Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah?
Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (Allah).” [Al-Quran 27:62]
Allah swt juga
berfirman di dalam surah Al-Anbiya, surah ke 21 ayat 22:
“Seandainya pada keduanya (di langit dan di bumi) ada tuhan-tuhan
selain Allah, tentu keduanya (langit dan bumi) telah binasa. Mahasuci Allah
yang memiliki ‘Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.”
[Al-Quran 21:22]
Juga firman Allah swt
di dalam surah Al-Mu’minun, surah ke 23, ayat 91:
“Allah tidak mempunyai anak, tidak ada yang lain
bersamaNya, (sekiranya tuhan banyak), maka masing-masing tuhan itu akan membawa
apa (makhluk) yang diciptakannya dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan
mengalahkan sebahagian yang lain. Mahasuci Allah dari apa yang mereka sifatkan
itu.” [Al-Quran 23:91]
Suatu ketika,
orang-orang Quraisy telah datang berjumpa dengan Abu Talib, bapa saudara Nabi
saw. Mereka datang untuk mengadu kepada Abu Talib tentang anak saudaranya
iaitu Nabi Muhammad saw.
Lalu Abu Talib memanggil
Rasulullah saw dan berkata, “Wahai anak saudaraku, ini adalah ketua-ketua
kabilah di kalangan kamu, juga dari kalangan saudara-saudara kamu, maka
dengarlah apa yang ingin mereka perkatakan.
Kemudian, ketua-ketua
kabilah tadi lalu memberitahu Rasulullah saw. Mereka menyuarakan hasrat supaya baginda Nabi saw berhenti daripada membuat
kencaman terhadap tuhan-tuhan dan berhala
mereka.
Apabila selesai
menyampaikan tuntutan dan hasrat mereka itu, Nabi saw selanjutnya berkata kepada
bapa saudaranya, “Wahai bapa saudara, mahukah aku sampaikan satu kalimah,
apabila mereka berpegang dengannya, nescaya mereka akan memerintah orang-orang
Arab, manakala orang-orang bukan Arab akan tunduk kepada mereka.”
Abu Jahal kemudian
mencelah dan bersuara, “Katakanlah (kalimah itu), demi Allah, kami bersedia
untuk mengucapkan (sehingga) sepuluh perkataan.”
Rasulullah saw
seterusnya berkata, “Ucaplah: La ila ha illa Llah” (tiada tuhan melainkan
Allah).
Mendengar kata-kata
Rasulullah saw itu, orang-orang Quraisy lalu meninggalkan baginda sambil berkata
(sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah swt di dalam Al-Quran):
“Patutkah dia menjadikan tuhan-tuhan itu Tuhan yang satu? Sungguh, ini benar-benar sesuatu yang sangat mengherankan.”
[Al-Quran 38:5]
Justeru, perkara paling
mustahak yang perlu diketahui oleh seorang hamba adalah “tiada tuhan yang lain
selain Allah”. Selanjutnya, kewajipan hamba tadi setelah berpegang dengan
kalimah agung tersebut adalah menterjemahkannya dalam amalan kehidupan seharian.
Allah swt berfirman di
dalam surah Al-Hajj, surah ke 22, ayat 31 yang bermaksud:
“(Beribadahlah) dengan ikhlas kepada Allah, tanpa
mempersekutukanNya. Barang siapa mempersekutukan Allah, maka seakan-akan dia
jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat
yang jauh.” [Al-Quran 22:31]
Pada suatu hari,
seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah saw lalu berkata, “Wahai utusan
Allah, apa dosa yang paling besar?”
Membalas pertanyaan tersebut,
Rasulullah saw lalu berkata, “(Dosa itu adalah) menyekutukan Allah dengan
sesuatu, sedangkan Dia sahaja yang menciptakan kamu.”
Maka, sesiapa yang
ingin mencari keredaan Allah swt, hidupnya harus bermula dengan mengetahui
bahawa tiada tuhan melainkan Allah.
Sesungguhnya, setiap
ciptaan Allah di alam semesta ini telah membenarkan dan membuktikan keEsaan
Allah swt.
Kita sedia maklum dan
umum mengetahui bahawa jika terdapat tuhan-tuhan lain selain Allah, nescaya
mereka akan bergaduh antara satu sama lain! Dan itu sudah tentu akan
mengakibatkan kemusnahan alam di langit dan di bumi.
Namun, semua kita sedar
bahawa kemusnahan tidak berlaku baik sewaktu zaman purbakala mahupun zaman kita
sekarang ini. Keharmonian alam ciptaanNya inilah merupakan bukti dan petanda bahawa
tiada tuhan melainkan Allah.
“La ila ha illa Llah”.
Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: YouTube
No comments:
Post a Comment