Pages

Wednesday, 26 December 2012

: : Kalimah Agung : :

Kalimah Agung
Oleh: Syeikh Saleh al-Maghamsi


Tuan-tuan yang saya rahmati sekalian..perkara terbesar yang telah diberitahu oleh Allah swt kepada hamba-hambaNya berkenaan DiriNya adalah: “La ila ha illa Llah” (tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah). Ini lah ketentuan yang paling agung.

Allah swt telah berfirman di dalam surah An Naml, surah ke 27 ayat 62 yang bermaksud:

“..Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (Allah).” [Al-Quran 27:62]

Allah swt juga berfirman di dalam surah Al-Anbiya, surah ke 21 ayat 22:

“Seandainya pada keduanya (di langit dan di bumi) ada tuhan-tuhan selain Allah, tentu keduanya (langit dan bumi) telah binasa. Mahasuci Allah yang memiliki ‘Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.” 
[Al-Quran 21:22]

Juga firman Allah swt di dalam surah Al-Mu’minun, surah ke 23, ayat 91:

“Allah tidak mempunyai anak, tidak ada yang lain bersamaNya, (sekiranya tuhan banyak), maka masing-masing tuhan itu akan membawa apa (makhluk) yang diciptakannya dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Mahasuci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu.” [Al-Quran 23:91]

Suatu ketika, orang-orang Quraisy telah datang berjumpa dengan Abu Talib, bapa saudara Nabi saw. Mereka datang untuk mengadu kepada Abu Talib tentang anak saudaranya iaitu Nabi Muhammad saw.

Lalu Abu Talib memanggil Rasulullah saw dan berkata, “Wahai anak saudaraku, ini adalah ketua-ketua kabilah di kalangan kamu, juga dari kalangan saudara-saudara kamu, maka dengarlah apa yang ingin mereka perkatakan.

Kemudian, ketua-ketua kabilah tadi lalu memberitahu Rasulullah saw. Mereka menyuarakan hasrat supaya baginda Nabi saw berhenti daripada membuat kencaman terhadap tuhan-tuhan dan  berhala mereka.

Apabila selesai menyampaikan tuntutan dan hasrat mereka itu, Nabi saw selanjutnya berkata kepada bapa saudaranya, “Wahai bapa saudara, mahukah aku sampaikan satu kalimah, apabila mereka berpegang dengannya, nescaya mereka akan memerintah orang-orang Arab, manakala orang-orang bukan Arab akan tunduk kepada mereka.”

Abu Jahal kemudian mencelah dan bersuara, “Katakanlah (kalimah itu), demi Allah, kami bersedia untuk mengucapkan (sehingga) sepuluh perkataan.”

Rasulullah saw seterusnya berkata, “Ucaplah: La ila ha illa Llah” (tiada tuhan melainkan Allah).

Mendengar kata-kata Rasulullah saw itu, orang-orang Quraisy lalu meninggalkan baginda sambil berkata (sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah swt di dalam Al-Quran):

“Patutkah dia menjadikan tuhan-tuhan itu Tuhan yang satu? Sungguh, ini benar-benar sesuatu yang sangat mengherankan.” 
[Al-Quran 38:5]

Justeru, perkara paling mustahak yang perlu diketahui oleh seorang hamba adalah “tiada tuhan yang lain selain Allah”. Selanjutnya, kewajipan hamba tadi setelah berpegang dengan kalimah agung tersebut adalah menterjemahkannya dalam amalan kehidupan seharian.

Allah swt berfirman di dalam surah Al-Hajj, surah ke 22, ayat 31 yang bermaksud:

“(Beribadahlah) dengan ikhlas kepada Allah, tanpa mempersekutukanNya. Barang siapa mempersekutukan Allah, maka seakan-akan dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” [Al-Quran 22:31]

Pada suatu hari, seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah saw lalu berkata, “Wahai utusan Allah, apa dosa yang paling besar?”

Membalas pertanyaan tersebut, Rasulullah saw lalu berkata, “(Dosa itu adalah) menyekutukan Allah dengan sesuatu, sedangkan Dia sahaja yang menciptakan kamu.”

Maka, sesiapa yang ingin mencari keredaan Allah swt, hidupnya harus bermula dengan mengetahui bahawa tiada tuhan melainkan Allah.


Sesungguhnya, setiap ciptaan Allah di alam semesta ini telah membenarkan dan membuktikan keEsaan Allah swt. 

Kita sedia maklum dan umum mengetahui bahawa jika terdapat tuhan-tuhan lain selain Allah, nescaya mereka akan bergaduh antara satu sama lain! Dan itu sudah tentu akan mengakibatkan kemusnahan alam di langit dan di bumi.

Namun, semua kita sedar bahawa kemusnahan tidak berlaku baik sewaktu zaman purbakala mahupun zaman kita sekarang ini. Keharmonian alam ciptaanNya inilah merupakan bukti dan petanda bahawa tiada tuhan melainkan Allah.

“La ila ha illa Llah”.

Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: YouTube

No comments:

Post a Comment