Oleh: Huda Academy
Pengenalan
Al-Quran adalah kitab suci bagi umat Islam. Kitab ini
dibaca dan dijadikan panduan dalam segenap aspek kehidupan. Al-Quran merupakan
kitab terakhir dalam siri kalam-kalam Ilahi yang diturunkan oleh Allah swt.
Kitab Al-Quran merupakan kata-kata Allah swt yang
diturunkan melalui malaikat Jibril a.s kepada Nabi Muhammad saw, nabi yang
terakhir dan penutup bagi sekalian nabi kira-kira 1400 tahun yang lalu.
Islam adalah kesinambungan daripada ajaran nabi-nabi
sebelumnya seperti Nabi Nuh a.s, Nabi Musa a.s, dan Isa a.s; sesetengah
daripada mereka turut menerima kitab daripada Tuhan.
Umat Islam percaya mesej utama yang dibawa oleh kesemua
nabi adalah sama; iaitu ‘tiada tuhan melainkan Allah’, tidak menyekutukan Allah
dengan sesuatu, menjauhkan diri daripada dosa dan menjalani kehidupan untuk
mendapatkan keredaan Allah swt (dengan mentaati perintahNya).
Selain daripada itu, setiap nabi juga akan menyampaikan
ajaran tentang kehidupan selepas mati (kehidupan di akhirat); iaitu dengan
memberi khabar gembira kepada manusia yang patuh dan taat kepada Allah swt,
sementara ancaman api neraka terhadap manusia yang memilih untuk
mengingkari perintah dan suruhanNya.
Kitab suci Al-Quran adalah sebuah kitab yang cukup unik;
ini kerana inilah satu-satunya kitab wahyu yang wujud pada hari ini dalam
kondisi dan kandungan yang murni; iaitu tidak berlaku sebarang perubahan
sebagaimana pada asal ia diturunkan 1400 tahun yang lalu. Tambahan pula,
Al-Quran aktif (senantiasa) direkodkan sewaktu penurunannya.
Selanjutnya, Al-Quran memiliki pendekatan yang
tersendiri; iaitu mesej kerohanian dan amalan praktikalnya bermatlamat untuk
kebaikan umum individu, masyarakat dan alam sekitar. Al-Quran menjaga
kepentingan semua entiti.
Di samping itu, mesej Al-Quran juga adalah sejagat,
merentasi perbezaan bangsa, warna kulit, etnik dan kewarganegaraan. Ia
menyediakan panduan berhubung segenap aspek kehidupan manusia; dari aspek
ekonomi dan etika perniagaan, perkahwinan, perceraian, isu-isu gender hinggalah
pewarisan dan keibubapaan.
Al-Quran tidak mengutuk atau mengancam tubuh badan, juga
tidak mengabaikan jiwa (soul). Ia tidak menyamakan Tuhan dengan manusia, tidak
juga mendewa-dewakan atau mempertuhankan manusia.
Al-Quran juga menerangkan tanda-tanda kewujudan Tuhan
menerusi penciptaan alam semesta (makhluk) dan bagaimana segala-galanya
diletakkan dan diatur dengan teliti.
Dua Persoalan
Artikel ini akan mengkaji dua soalan utama yang lazimnya
diutarakan oleh pihak yang ingin memahami asal-usul kewujudan Al-Quran.
Soalan
pertama; “Apakah bukti yang menyokong berhubung kesahihan Al-Quran- iaitu
bahawa Al-Quran tidak diselewengkan?”
Soalan
kedua; “Walaupun Al-Quran adalah terpelihara, apakah bukti yang menyokong
bahawa ia benar-benar adalah firman Tuhan dan bukan datang dari penulisan Nabi
Muhammad saw sendiri?”
Pemeliharaan Al-Quran
Al-Quran telah dipelihara atau dijaga selama lebih 1400
tahun melalui hafalan dan juga catatan. Allah swt menyebut di dalam surah
Al-Hijr, surah ke15, ayat 9:
“Sesungguhnya
Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami pula yang
memeliharanya.” [Al-Quran 15:9]
Kitab suci Al-Quran merupakan satu-satunya kitab yang
telah dihafal secara keseluruhannya oleh berjuta-juta manusia. Proses hafalan
ini bermula semasa Nabi saw masih hidup dan terus dititikberatkan oleh umat
Islam, malah hingga ke hari ini.
Nabi Muhammad saw sangat berwaspada dalam memelihara
keseluruhan Al-Quran baik dalam bentuk hafalan mahupun tulisan. Baginda saw
sebenarnya adalah seorang ‘ummi’; iaitu
tidak tahu membaca atau menulis. Justeru, sebaik sahaja Al-Quran diturunkan
kepada beliau, cepat-cepat beliau akan memanggil sahabatnya untuk merekodkan
teks Al-Quran.
Proses merekodkan Al-Quran dijalankan di bawah seliaan
yang amat teliti daripada Nabi Muhammad saw sendiri. Baginda saw mengarahkan
sahabat membaca kembali ayat yang direkodkan bagi memastikan ia adalah
bertepatan dengan apa yang diturunkan.
Oleh itu, Al-Quran yang lengkap bukan sahaja dihafal oleh
Rasulullah saw dan juga para sahabatnya; tetapi wujud dalam bentuk bertulis
semasa hayatnya. Namun, ketika itu Al-Quran ditulis secara berpecah-pecah; ada
yang ditulis pada pelepah tamar, kulit haiwan, kulit-kulit kayu dan sebagainya.
Kira-kira dalam tempoh setahun selepas kewafatan baginda
saw, satu jawatankuasa yang terdiri daripada sahabat-sahabat Rasulullah saw
yang diketuai oleh Zaid bin Thabit r.a. telah ditubuhkan untuk mengumpulkan
keseluruhan manuskrip Al-Quran. Proses pengumpulan Al-Quran ini mengikut
kriteria yang ketat bagi memelihara Al-Quran dari sebarang kesilapan.
Manuskrip ini dinilai dan disahkan sebulat suara oleh
para sahabat Nabi saw, termasuk beratus-ratus ‘huffaz’ yang telah menghafal
seluruh Al-Quran. Kemudian, beberapa salinan Al-Quran telah disediakan sewaktu di
bawah kepimpinan khalifah ketiga, Uthman bin Affan r.a dan diedarkan ke bahagian-bahagian
utama pusat Islam.
Salah satu daripada salinan tersebut, kini masih terdapat
di muzium di Tashkent, Rusia manakala satu salinan daripadanya yang dihasilkan
pada tahun 1905, boleh didapati di perpustakaan Universiti Columbia, USA.
Siapakah Pengarang Al-Quran
Umat Islam percaya bahawa Al-Quran adalah kata-kata
(kalam) Tuhan dan bukannya sebuah buku yang ditulis sendiri oleh Nabi Muhammad
saw. Lima fakta berikut mengemukakan bukti bahawa Al-Quran adalah kalam Allah
swt;
1. Fakta sejarah dan Al-Quran
Secara terbuka, Al-Quran dan sejarah mengisytiharkan
bahawa Nabi Muhammad saw tidak tahu membaca. Kitab suci Al-Quran menyebut di
dalam surah Al-Ankabut, surah ke 29 ayat 48:
“Dan
engkau (Muhammad) tidak pernah membaca sesuatu kitab sebelum (Al-Quran) dan
engkau tidak pernah menulis suatu kitab dengan tangan kananmu; sekiranya
(engkau pernah membaca dan menulis) nescaya ragu orang yang mengingkarinya.
[Al-Quran 29:48]
2. Al-Quran diturunkan sewaktu bangsa Arab terkenal
dengan puisi lisan.
Pada zaman dahulu, masyarakat Arab sering mengadakan
pertandingan puisi di tempat-tempat terbuka seperti pasar. Peluang ini
dimanfaatkan sebaiknya oleh Rasulullah saw untuk mengalunkan bacaan Al-Quran.
Alunan tersebut memukau dan mengejutkan ramai pendengar. Tidak sedikit yang
takjub lalu memeluk Islam hanya kerana menghayati irama, nilai kesusasteraan
dan kebijaksanaan ayat-ayat Al-Quran ayat-ayat Al-Quran.
Tambahan pula, bahasa Arab 1400 tahun yang lalu, hanya
terhad kepada ungkapan dan perkataan yang relevan kepada cara hidup ringkas masyarakat
padang pasir. Bahasa Arab ketika itu, mustahil untuk mengungkapkan idea
metafizik, atau fakta saintifik mahupun konsep agama dan falsafah sebagaimana
yang dipersembahkan oleh Al-Quran.
Bahkan, Al-Quran senantiasa membuka cabaran kepada
sesiapa yang ingin menghasilkan satu surah yang sebanding dengannya. Namun,
cabaran ini masih tidak tercapai sehingga ke hari ini. Kitab suci Al-Quran
menyebut di dalam surah Al-Baqarah, surah ke 2 ayat 23:
“Dan
kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang kami turunkan (al-quran) kepada
hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang
sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya
boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”
[Al-Quran 2:23]
3. Al-Quran adalah sebuah buku yang sangat komprehensif
Kitab suci Al-Quran bukan hanya membicarakan soal ibadah
dan ketuhanan; tetapi kitab yang amat komprehensif ini turut menyentuh segala
bidang ilmu. Ia mengandungi kebenaran Ilahi, perkara metafizik, kepercayaan
gama, ibadah (solat,puasa, haji dll), undang-undang dan moral. Juga merupakan
sebuah buku sosiologi, psikologi, epistemologi, sejarah, fakta saintifik dan
prinsip-prinsip kehidupan utopia.
Walaupun amat komprehensif dan diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun, kitab suci ini dapat mengemukakan bukti bahawa ia datangnya dari Tuhan kerana; “tidak ada sebarang percanggahan
ajaran atau fakta di dalamnya”.
Allah swt berfirman di dalam surah An-Nisa, surah ke 4
ayat 82:
“Patutkah
mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah
Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati
perselisihan yang banyak di dalamnya.” [Al-Quran 4:82]
4. Mungkinkah Nabi Muhammad saw mempunyai kepentingan?
Timbul persoalan, mungkinkah Nabi Muhammad saw telah
bertindak untuk berbohong atau mempunyai motif/kepentingan untuk mencipta
Al-Quran?
Sejarah membuktikan, tahun-tahun awal misi dakwah nabi
Muhammad saw telah diselangi dengan penganiayaan dan kesedihan.
Pengikut-pengikutnya telah diseksa dengan begitu kejam, malah dibunuh dan ada
yang terpaksa berhijrah. Puak beliau dipulaukan sementara beliau saw sendiri
pernah dibaling batu.
Baginda saw juga pernah ditawarkan dengan kekayaan dan
pemerintahan diraja seandainya meninggalkan seruan kepada tauhid (mengesakan
Allah swt).
Namun sebaliknya, baginda saw memilih untuk hidup dengan
sangat sederhana dan tidak pernah mengejar apa-apa keuntungan duniawi seperti
kemasyhuran, kuasa atau kekayaan. Bahkan, kehidupan Nabi Muhammad saw adalah
menterjemahkan apa yang disampaikan oleh mesej Al-Quran itu sendiri. Kajian-kajian hadis turut menjelaskan hakikat tersebut.
Selain daripada itu, sebelum baginda saw dilantik menjadi
Rasul, beliau saw telah dikenali dalam masyarakatnya sebagai Al-Amin (orang
yang amanah) dan As-Sidiq (orang yang jujur). Baik orang Islam mahupun bukan
Islam sendiri mengesahkan kejujuran dan integriti beliau.
5. Al-Quran menyebut perkara-perkara baru
Kitab suci Al-Quran menyebut perkara-perkara yang tidak
diketahui pada masa itu?
Bagaimana kewujudan ayat-ayat ini boleh dijelaskan?
Al-Quran mempunyai penerangan saintifik yang hanya baru-baru ini ditemui oleh
sains moden dan ini tidak mungkin diketahui oleh manusia 1400 tahun yang lalu.
Sebagai contoh, kitab suci Al-Quran menyebut di dalam surah Al-Mukminun, surah
ke 23 ayat 12-14;
“Dan
sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari
tanah; Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada
penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah
beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami
ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang
itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi
makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian
Allah sebaik-baik Pencipta.” [Al-Quran 23: 12-14]
Profesor Keith Moore, seorang saintis anatomi dan embriologi
terkemuka di Universiti Toronto, Kanada telah mengulas;
“Ia
telah menjadi keseronokan besar bagi saya untuk membantu menjelaskan kenyataan
di dalam Al-Quran mengenai tahap perkembangan manusia. Ia adalah jelas kepada
kita bahawa kenyataan-kenyataan ini mesti datang dari Tuhan atau “Allah”
melalui Muhammad saw; kerana hampir kesemua pengetahuan ini belum ditemui
sehinggalah beberapa abad kemudian. Ini membuktikan kepada saya bahawa Muhammad
saw sudah pasti merupakan utusan Allah.” [Prof Keith Moore]
Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: www.huda.tv
No comments:
Post a Comment