Pages

Saturday 24 November 2012

: : Dalil Adanya Tuhan Bhg. II : :

Dalil Adanya Tuhan Bhg. II
Oleh: Huda Academy

1. Aturan alam semesta

Apabila kita merenung sifat alam yang wujud di bumi yang kita diami ini, kita boleh lihat wujud aturan di mana-mana, baik dari kitaran air hinggalah pergerakan bumi mengelilingi matahari. Semua memiliki aturan tertentu dengan cukup harmoni. Mengulas tentang aturan yang terdapat di dalam alam semesta ini, seorang ahli fizik terkemuka, Stephen Hawking menjelaskan
“semakin dalam penyelidikan kita tentang alam semesta semakin kita dapati bahawa ia ditadbir mengikut aturan yang sangat rasional”. Perkongsian ini diakui oleh majoriti ahli saintis.

Oleh sebab alam semesta ini memiliki aturan yang cukup hebat dan dikawal dengan undang-undang yang amat rasional, timbul pertanyaan bagaimana perintah atau undang-undang ini boleh wujud. Untuk memudahkan pembaca bagi merungkai persoalan ini, kita ambil telefon bimbit sebagai analogi. Bagaimana telefon boleh wujud? Telefon ini dihasilkan oleh manusia yang diperbuat daripada kaca, plastik dan logam.

Kita sedia maklum, kaca datang daripada pasir, plastik berasal daripada minyak sementara logam di ekstrak daripada tanah. Katakan anda sedang berjalan di padang pasir (di mana terdapat banyak hasil minyak, pasir dan logam di dalam tanah) dan anda mendapati banyak telefon bimbit di sekeliling anda. 

Adakah anda percaya ia wujud dengan sendiri? Kemungkinan ketika matahari bersinar, angin bertiup, kilat melanda, minyak terpam ke permukaan dan bercampur dengan pasir dan logam selepas berjuta tahun, telefon terjadi dengan sendiri secara kebetulan?

Penjelasan sedemikian sukar untuk dipercayai. Jelas bahawa telefon tidak terjadi begitu tetapi ada pengatur yang menyusun dan memproses bahan-bahan dengan begitu teratur. Samalah apabila kita melihat aturan yang wujud dalam alam semesta ini, tidakkah rasional untuk mengatakan bahawa alam semesta ini juga ada pengaturnya?

Keberadaan aturan alam semesta ini lebih baik dijelaskan dengan kewujudan pengaturnya iaitu Tuhan. Tuhanlah yang mengatur alam semesta ini.

2. Pemikiran Manusia

Apabila diteliti, sepanjang sejarah dunia, majoriti rakyat telah percaya akan kewujudan Tuhan. Ia menunjukkan ada sesuatu yang dibina di dalam minda manusia yang membuatkan manusia mahu percaya. Lebih sedekat yang lalu beberapa fakta yang benar-benar mengejutkan telah ditemui yang menunjukkan bahawa kanak-kanak mempunyai kepercayaan semula jadi tentang Tuhan.

Dr Justin Barret, seorang penyelidik kanan di pusat Antropologi dan Minda, Universiti Oxford berkata “sejak 10 tahun yang lalu bukti saintifik telah menunjukkan kelihatan wujud lebih banyak pembangunan minda semula jadi kanak-kanak telah berlaku dari apa yang pernah kita fikirkan, termasuklah kecenderungan untuk melihat alam semula jadi ini adalah direka bentuk dengan mempunyai tujuan dan wujud entiti intelek (Yang Maha Pencipta) di sebalik kewujudan tersebut”.

Tambahnya lagi, sekiranya kita menghantar segelintir (kanak-kanak) di sebuah pulau dan mereka membesar dengan sendiri di sana, mereka itu juga turut percaya akan kewujudan Tuhan.

Manakala Dr Olivera Petrovich, pakar pembangunan psikologi, Universiti Oxford menyatakan bahawa “kepercayaan adanya Tuhan adalah pemikiran yang terbina secara semula jadi namun sebaliknya bagi orang atheis (golongan yang tidak percaya adanya Tuhan). Mereka perlu membangunkan (mereka-reka) kepercayaan mereka sendiri”.

Oleh yang demikian, dari mana kepercayaan asli ini datang? Penjelasan terbaik untuk kepercayaan ini adalah bahawa Allah, Tuhan yang Maha Pencipta yang meletakkan kepercayaan ini dalam pemikiran manusia.

Sementara, Arnold Toynbee telah mengkaji sejarah manusia sepanjang zaman dan meletakkan hasil penemuannya dalam karya monumen yang terdiri daripada sepuluh jilid. Berdasarkan hasil kajiannya, beliau merumuskan bahawa dalam sejarah manusia, agama berdiri sebagai pusat. Dalam sebuah rencana The Observer pada 24 Oktober 1954, beliau menulis:

“Saya telah mula kembali percaya bahawa agama merupakan kunci kepada mesteri kewujudan.”

Terjemahan: Mohd Aziz

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...