Pages

Saturday 24 November 2012

: : Keajaiban Selawat : :

Keajaiban Selawat
Oleh: Syeikh Saleh al-Maghamsi

Suatu hari saya telah menjalani pembedahan jantung. Pada hari kedua pembedahan, saya telah bangun atau sedar. Saya lihat badan saya siap dijahit dan segala-galanya telah selesai. Sekumpulan pakar dari unit rawatan rapi datang untuk memeriksa saya tepat pada masa saya sedar.

24 jam selepas pembedahan, seorang doktor di sebelah saya perasan
terdapat masalah dengan darah saya. Doktor ini lalu memberitahu doktor yang kedua. Kemudian doktor yang kedua memberitahu pula doktor yang ketiga. Ia seterusnya berlanjutan sehingga kepada 14 orang doktor datang mengelilingi saya untuk memeriksa kes tersebut.

Kesemua mereka hairan, apa seterusnya yang patut dilakukan. Bagi saya, perkara ini langsung saya tidak tahu. Namun, saya dapat lihat reaksi muka mereka berubah. Saya dapat mendengar peralatan elektronik di belakang saya yang memberi isyarat yang tidak baik walau saya tidak dapat lihat. Ekspresi muka pakar-pakar memberitahu saya sesuatu yang buruk telah berlaku.

Pakar-pakar tadi kemudiannya memanggil seorang pakar warga Sudan bernama Adam. Dia seorang doktor yang cukup dihormati. Dari apa yang dia perhatikan, dia mengandaikan terdapat darah beku selepas pembedahan dalam tubuh saya. Lalu, secara ringkas, dia berkata kepada saya: “Oh Syeikh Saleh, kami mesti membawa semula kamu ke bilik pembedahan, terdapat darah beku yang mesti dikeluarkan segera.”

Sudah tentu, berita mengejutkan saya ini bagaikan petir datang menyambar. Waktu itu, Allah memberi petunjuk kepada saya supaya berharap agar operasi kedua berjaya dan selamat. Untuk kali kedua, ketakutan mula menjalar dan saya mula membaca dua kalimah syahadah:

“Asshadualla ila ha illallah..Waasshadu anna muhammadar rasulullah”
(Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah)

Kemudian saya menganggukkan kepala tanda bersedia untuk di operasi. Peranti elektronik disambungkan ke badan saya dengan berhati-hati. Para doktor mula memakai topeng, dalam masa yang sama seorang jururawat warga Lubnan di sebelah saya memanggil saya: “Saleh”. Dia tidak tahupun saya seorang Syeikh.

Dia (jururawat) tadi berkata: “Saleh, dengar sini, ucaplah selawat ke atas junjungan Nabi, nanti semuanya akan mudah”. Jadi, cepat-cepat saya menyebut seperti orang ramai menyebutnya:

“Allahumma solli `ala muhammadin wa`ala aali muhammad”
(Ya Allah, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya)

Demi Allah, sebaik sahaja saya berselawat, darah beku mulai hilang. Isyarat peranti turut berubah! Doktor mulai cemas, apa yang telah berlaku! Sesuatu telah berlaku. Justeru, doktor Adam dipanggil semula. Apabila dia datang, dia melihat skrin dan memeriksa darah. Selepas itu, beliau berkata: “Oh Syeikh Saleh, apa yang akan kami lakukan untuk menyelamatkan kamu, Allah swt lebih dahulu melakukannya.”

Sudah tentu, kita sekarang bukan memperkatakan isu tentang Saleh, tetapi isu wanita (jururawat Lubnan) tadi, bahawa Allah swt telah memberkati beliau untuk mengingatkan saya.

Allah swt berfirman di dalam Al-Quran, surah Al-Ahzab, ayat 56:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam penghormatan dengan sepenuhnya.” [Al-Ahzab : 56]

Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: YouTube ~al-Maghamsi~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...