Pages

Saturday 17 November 2012

: : Perbetulkan Niat : :

Perbetulkan Niat
Prof. Dr Hamka

Soalan

Saya adalah seorang pemuda yang mendapat didikan barat, yang belum mengetahui tentang sari-sari dan hakikat agama Islam. Kebanyakan pemuda-pemuda yang mendapat didikan barat, apabila mereka mendengarkan soal-soal yang berhubung dengan agama, sentiasa mereka meminta dalil yang tepat, alasan yang kuat, yang mampu masuk ke dalam akalnya. Oleh sebab saya sendiri masuk golongan itu, maka saya ingin mendapat keterangan dari tuan.

Bagaimanakah mestinya kami pemuda-pemuda didikan barat
mempelajari agama Islam itu, sejak dari awalnya benar sehingga akan memberikan kepuasan zahir dan batin kepada kami? Haraplah tuan tunjukkan jalan-jalan supaya kami pemuda-pemuda didikan barat jangan bertambah dekat juga ke jurang kesesatan.

Jawapan

Pertanyaan ini adalah satu di antara beberapa pertanyaan penting yang sekarang kerap kali dihadapi oleh pemuda-pemuda kita. Pertanyaan yang seperti ini adalah alamat keinsafan yang telah muncul di dalam kalangan kaum pemuda terpelajar, yang harus menjadi perhatian daripada kaum ulama seumumnya.

Untuk menjawab pertanyaan pemuda yang bertanya ini, haruslah menempuh beberapa jalan;

Jalan yang pertama, ialah berguru.
Jalan yang kedua, ialah membaca.
Jalan yang ketiga, ialah bergaul.

Jalan yang pertama, ialah berguru, lebih penting daripada yang lain-lain. Sebab keagamaan itu, lebih besar jumlahnya yang bergantung kepada penghayatan/perasaan (gevoel): Perasaan itu lebih mudah didapati daripada guru-guru yang mursyid.

Tetapi sebelum belajar, haruslah ada niat dari rumah benar hendak menambah pengetahuan dan pengatahuan yang akan membawa kepada iman. Jangan semata-mata kerana hendak tahu, atau hendak menguji kepandaian guru tentang dalam atau dangkal ilmunya. Kalau ada dasar niat yang demikian dari rumah, maka walau pun ilmu tentang agama bertambah-tambah, belum penghayatan/perasaan agama itu akan masuk meresap kedalam jiwa.

Perhatikanlah kepada berpuluh dan beratus orientalis bangsa Barat yang datang ke tanah-tanah timur, terutama ke tanah Arab, hendak menambah pengetahuannya tentang agama Islam, sampai diangkutnya beratus-ratus jilid kitab Arab ke tanah airnya, dimasukkannya ke dalam muzium yang besar-besar, sehingga orang Islam sendiri di dalam negerinya, tidaklah ada menyimpan kitab selengkap itu.

Kadang-kadang pengetahuan mereka lebih luas daripada pengetahuan ulama Islam sendiri, kitabnya lebih lengkap, penyelidikannya lebih mendalam, tetapi adakah mereka menjadi mukmin? Tidak, sama sekali tidak! Sebab dari mula lagi, bukan niat hendak menambah iman itu maksudnya, tetapi hanyalah semata-mata mahu tahu! Maka tahulah dia, tetapi hanya sekadar tahu.

Sebab itu tegakkanlah niat terlebih dahulu, niat hendak menjadi orang Islam. Kosongkan hati daripada rasa bangga akan ilmu yang telah didapati. Ketahuilah bahawa otak atau akal tuan belum dapat dipercayai akan berpendapat benar selalu. Ketahui pula bahawa setinggi-tinggi watenschap (pengetahuan) yang tuan dapat, ataupun yang didapat oleh ahlinya sekalipun, masih tetap belum sampai ke hujung perjalanannya.

Einstein masih tetap berkata, “Menurut kira-kira saya.” Pickard masih tetap berkata “barangkali demikian”, tidak seorang juapun yang berkata, “pendapat saya inilah yang betul”…..

Sumber: 1001 Soal-Soal Hidup

1 comment:

  1. Kepentingan memperbetul niat..nice article =)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...