Pages

Monday, 22 April 2013

: : Surat Berantai : :

Surat Berantai: MIMPI SYEIKH AHMAD



Dari beberapa orang pembaca “Panji Masyarakat” dan juga dari beberapa peminat kuliah subuh di RRI, pemimpin majalah ini disedari pertanyaan tentang satu Surat Selebaran (Surat Berantai), yang katanya berisi pesan Rasulullah SAW yang disampaikan dengan mimpi kepada seluruh umat Muhammad, melalui juru kunci makam beliau di Madinah yang bernama Sheikh Ahmad. Yang membawa pesan mimpi itu ke Indonesia ialah seorang Haji bernama Haji Abdul Malik, pesuruh dari desa Sambujangan Madura.

Di antara yang mengirim Surat Berantai Mimpi Syeikh Ahmad ini, bertanya demikian;

Pada hari ini anakanda telah mendapat Surat Berantai seperti terlampir dalam surat ini yang mungkin buya telah menerimanya.

Kerana kami ini awam dan mungkin juga surah selebaran yang tidak benar dan membingungkan ini serta menggelisahkan umat ini telah tersebar di pelosok maka bagaimana pendapat Buya Hamka? Mohon penjelasan setenang-tenangnya. Surat Berantai seperti ini pernah muncul dan kenapa muncul lagi dan nampaknya memang disengaja untuk mengeruhkan suasana.

Surat Berantai itu berbunyi sebagai berikut;

SURAT UNTUK MANUSIA
(UMAT ISLAM)

Syeikh Ahmad juru kunci makam Nabi Muhammad (SAW) dan berfirmanlah Allah SWT. “Umatku banyak yang berdosa di muka bumi dan banyak yang takabur.” Syeikh Ahmad, aku berpesan kepadamu, supaya menyampaikan kepada umatku akan mengaku dirinya Islam, agar bertaqwa kepada Allah SWT dan harus bersabar dari bahaya dan jangan sampai menjadi ahli neraka, kerana zaman sudah berakhir.

1.            Pada tahun 1971 banyak orang perempuan meninggalkan rumah tanpa setahu suaminya.
2.            Pada tahun 1972 ada tanda dari langit sebesar telur ayam.
3.            Pada tahun 1981/1982 orang laki-laki dan perempuan akan dihilangkan kebiasaannya dan sesudah itu turunlah dajjal, akan tetapi keislaman kembali lagi.
4.            Pada tahun 1980 dunia akan gelap 3 hari 3 malam.

Pesan Syeikh Ahmad yang membaca surat ini dan mendengarkan berita ini akan tetapi tidak disebarkan ke Daerah lain, seperti kampung dan Negeri lain, maka orang itu bukan golongan saya, dan barang siapa membaca surat ini harus disebarkan dan memberitahukan kepada orang lain serta Desa dan Negeri lain, orang tersebut adalah golongan syurga.

(Surat dari Mekah dari Syeikh Ahmad)

SUMPAH SYEIKH AHMAD

“Saya bersumpah kepada Allah swt kalau saya berdusta tentang mimpi saya ini, saya keluar dari agama Islam dan barangsiapa yang tidak percaya akan mimpi saya ini kafirlah ia, nanti di akhirat ia mendapat tempat di neraka jahannam.”

PERHATIAN:

Kepada siapa yang mengaku dirinya beragama Islam harap supaya surat ini diteruskan ke Daerah lain sebanyak-banyaknya, disalin dari salinan tarikh 27 November 1972.

Untuk umat Islam bacakan dengan teliti, ini adalah sumpah Allah swt, wasiat untuk semua umat Islam dari Syeikh Ahmad (Saudi Arabia). Pada malam tatkala hamba membaca Al-Quran di makam Nabi Muhammad saw, berkata-kata kepada hamba dalam 1 minggu ada 80,000 (lapan puluh ribu) orang umat Islam meninggal dunia, tetapi jumlah bilangan itu tidak seorang pun yang mati dalam beriman.

Isteri yang tidak mendengarkan nasihat suami, orang kaya tidak menolong dengan orang miskin dan tidak berzakat dan menunaikan ziarah Haji dan tidak mahu berbuat kebajikan.

Sebab itu Syeikh Ahmad mengeluarkan nasihat ini kepada umat Islam semuanya membuat kebajikan kerana hari Kiamat menjelang tiba.

Bintang di langit akan terbit dan semua pintu taubat ditutup, tulisan Al-Quran akan hilang, maka hari kiamat bertambah dekat. Tapa akan menjadi rayu, permintaan akan dikabulkan jika ia mencetak dan menyiarkan dua minggu orang itu akan bahagia.

Di Bombay ada yang membuat wasiat itu maka ia telah mendapat keuntungan yang besar dalam perniagaannya, seorang lagi menyatakan surat ini palsu, maka adanya laki-laki meninggal dunia setelah membaca surat ini, difahamkan sengaja tidak mahu memberitahukan kepada orang lain, ia akan mendapat rintangan sengsara. Siapa yang mencetak dan menyebarkannya ialah yang akan mendapat keuntungan dan nikmat besar.

Yang membawa ke Indonesia ialah Haji Abdul Malik, pesuruh dari Desa Hanabal Sambujangan Madura.

JAWAPAN.

Jawapan pertanyaan berkenaan dengan Mimpi Sheikh Ahmad ini kita bahagi menjadi beberapa bahagian;

1.            Sumber Agama- Al-Quran & Sunnah

Sumber kita beragama, menurut ajaran Islam hanya dua; 1. Al-Quranul Karim, 2. Sunnah Nabi saw. Dan Sunnah itu ialah pertama perkataan (dan perbuatan) beliau, kedua perbuatan orang lain yang tidak beliau tegur atau beliau salahkan.

2.            Mimpi Syeikh Ahmad Berlawanan Dengan Al-Quran

Al-Quran itu sendiripun telah ditulis menurut peraturan tulisan yang tertentu. Satu ayat pun tidak ada perubahan, tidak ada pengurangan dan tidak ada penambahan. Satu titik pun tidak boleh berubah, kerana bila berubah satu titik, makna atau ertinya pun berubah. Tulisan Al-Quran yang kita terima sekarang ini bernama Mushaf Usmani, iaitu yang ditulis menurut peraturan Saidina Usman bin Affan seketika beliau jadi Khalifah yang ke-3 dari Nabi.

Maka di dalam Surat Berantai “Mimpi Syeikh Ahmad” sudah nyata ada yang sangat berlawanan dengan ketentuan Al-Quran.

Pada selebaran itu Syeikh Ahmad mendapat mimpi bahawa tahun sekian akan terjadi itu, tahun sekian terjadi begini. Tahun 1971 perempuan akan keluar dari rumah tidak seizing suaminya; alangkah kacaunya mimpi ini, pada hal berpuluh tahun sebelum 1971 sudah banyak juga perempuan yang keluar rumah tanpa setahu suaminya. Dikatakan tahun 1972 akan kelihatan tanda-tanda di langit sebesar telur ayam.

Tentu orang bodoh yang akan takut mendengarkan itu. Tahun 1972 telah berlalu dengan selamat, namun tanda-tanda di langit telah terdapat sejak berjuta-juta tahun yang lalu, iaitu berjuta-juta bintang. Bukan sebesar telur ayam, bahkan banyak binatang itu yang lebih besar dari bumi kita, sampai 1000 kali lebih besar dari bumi kita ini. Tetapi kelihatan dari jauh tidak ada ada yang sebesar telur ayam, melainkan sebesar pasir.  Syeikh Ahmad tidak menjelaskan mimpinya, apakah sebesar telur ayam kelihatan dari bumi? Kalau “tanda” itu sebesar telur ayam, nescaya dalam jarak satu kilometer saja tidak kelihatan lagi.

Seterusnya Syeikh Ahmad menerangkan apa yang akan terjadi tahun 1980, dunia agak gelap 3 hari 3 malam, tentu hal itu akan terjadi empat tahun lagi. Maka melihat bukti bahawa tahun 1971 dan 1972 telah lewat, namun tanda-tanda itu tidak terdapat, tidak perlu lagi orang takut bahawa 3 hari 3 malam dunia akan gelap, 4 tahun lagi.

Orang yang percaya kepada Al-Quran, pasti tidak percaya kepada mimpi Syeikh Ahmad itu! Sebab dalam Al-Quran telah dijelaskan bahawa tentang bila akan kiamat cuma Tuhan saja yang tahu (Lihat surah Al-Ahzab 63). Di saat itu juga dijelaskan bahawa Nabi Muhammad sendiri tidaklah tahu bila kiamat terjadi! Demikian juga dalam surah Asy-Syuaara ayat 17.

Di dalam satu hadis sahih riwayat Bukhari Muslim disebut bahawa Malaikat Jibrail pernah menyamar menyerupai manusia datang bertanya Nabi Muhammad SAW tentang beberapa soal. Ketika ditanyakan oleh Jibrail a.s tentang bila akan kiamat, Nabi menjaw b, “Orang yang bertanya tidaklah lebih tahu dalam hal yang bertanya.” Ertinya Muhammad dan Jibrail sama-sama tidak tahu.

Sekarang kita boleh memilih, apakah mimpi Syeikh Ahmad yang kita pegang atau keterangan Al-Quran dan Al-Hadis?
Saya tidak menolak mungkin Syeikh Ahmad bermimpi. Tetapi yang menemuinya dalam mimpi bukan Nabi melainkan Iblis Laknatullah.

Atau kerana tidak mungkin syaitan meniru Nabi (SAW) maka Syeikh Ahmad sendirilah yang pembohong.

3.            Selidiki Terlebih Dahulu Khabar-Khabar Atau Berita-Berita Yang Diterima.

Sejak agama Islam mulai berkembang 14 abad yang lalu, orang Islam telah diajar menilai khabar-khabar yang diterima. Sehingga hadis-hadis yang diterima dari Nabi SAW dinilai, dari siapa diterima, siapa yang mengkhabarkan, bertemu sendirikah orang yang meriwayatkan hadis itu dengan Rasul SAW? Atau dia terima dari orang lain? Siapa orang lain itu? Bolehkah dipercaya? Sehingga hadis-hadis yang dikatakan orang dari Nabi, “Bersabda Rasulullah SAW” dikaji, sahihkah hadis itu atau daif (lemah). Atau maudhu’ (hadis palsu)

Sekarang ada “Mimpi Syeikh Ahmad” Sudahkah diselidiki siapa Syeikh Ahmad itu? Beribu-ribu orang naik haji tiap tahun, dan mereka sampai ke Madinah, ziarah ke kubur Nabi. Bertemukah seorang bernama Syeikh Ahmad jadi juru-kunci Kubur Nabi? Bolehkah di lihat daftar nama-nama pegawai penyelenggara Masjid Rasul di Madinah, untuk melihat nama Syeikh Ahmad?

Demikianlah pula Haji Abdullah Malik, Pesuruh dari Desa Hanabal, Sambujangan, Madura! Siapa orang itu?

Di Madura ada Kantor Urusan Agama, dapatkah dicari seorang bernama Haji Abdullah Malik di desa Hanabal, Sambujagan Madura, orang Islamkah dia? Atau seorang tukang sate Madura yang baru pulang dari Mekah?

Sedangkan hadis yang terang diterima dari perawi hadis terkenal, lagi ditilik keaslian atau kepalsuannya, apatah lagi mimpi seorang Syeikh Ahmad jurukunci! Beribu-ribu Syeikh Ahmad di dunia; Syeikh Ahmad yang mana?

4.            Syeikh Ahmad: “Kafir Terhadap Orang Yang Tidak Percaya Kepada Mimpi”

Disebutkan bahawa Syeikh Ahmad berkata bahawa barang siapa yang tidak percaya kepada mimpi ini kafirlah dia!
Saya termasuk yang tidak percaya kepada mimpi ini, apakah saya kafir?

Pada hal saya saksikan dan juga disaksikan oleh berates-ratus orang bahawa sejak berpuluh tahun sebelum 1971, sebelum 1961 sebelum 1901 dan seterusnya telah banyak juga perempuan yang keluar dari rumah tidak seizing suaminya!

5.            Tahun Masihi Bukan Tahun Hijrah

Yang lebih menjolok mata lagi tentang jelas bahawa Surat Berantai ini adalah selebaran bohong yang dibuat oleh orang-orang tolol ialah setelah menyebut hitungan tahun memperkatakan bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, pada hal catitan tahunnya bukan tahun hijrah Nabi Muhammad SAW melainkan hitungan tahun lahirnya Nabi Isa a.s Seribu Sembilan ratus (atau tahun 2000), bukan tahun seribu tiga ratus (atau tahun 1400). Perhitungan Kristian, bukan perhitungan Islam.

6.            Ada Lagi Ancaman Dan Ada Lagi Hiburan

Iaitu barangsiapa yang segera menyalin “Surat Berantai Syeikh Ahmad” banyak-banyak dan menyebarkannya, dia akan mendapat kekayaan dan keuntungan, sebagai pernah kejadian dengan seorang saudagar di Bombay. Dan ada yang mengatakan Surat ini palsu, dia mati sebentar itu juga. Pada hal kitab Suci Al-Quran sendiri kalau kita tidak salin dan kita tidak siarkan, tidaklah kita mendapat ancaman akan mati tegang, sebentar itu juga, seperti ancaman dalam surah Selebaran itu. Di ancam pula barang siapa yang tidak menyiarkannya atau menyebarkannya kepada orang lain, dia akan mendapat rintangan sengsara!

Apakah ancaman Allah di dalam Al-Quran sendiri kepada orang yang derhaka kepada Tuhan, tidak mencukupi lagi, sehingga Nabi merasa perlu menemui Syeikh Ahmad jurukunci di dalam mimpi buat mengancam-ancam umatnya?

ALHASIL: Lebih baik sebagai orang Islam kita pegang teguh saja bimbingan Allah dari dalam Al-Quran dan bimbingan Rasulullah SAW dalam hadis-hadis yang sahih; tidak usah kita surut ke belakang menjadi orang yang diperbodoh oleh penipu-penipu, yang untuk mendinding dirinya supaya jangan diselidiki orang siapa dia, dia berlindung di balik ancaman barangsiapa yang tidak percaya akan dapat celaka.

Agama kita terima dari Allah, dari Rasul dengan sanad hadis-hadis, pendapat-pendapat dari imam-imam ikutan umat sebagai Maliki, Hanafi, Syafie, Hanbali, mempelajari kitab-kitab tafsir dan hadis dan fekahyang terang sumbernya, bukan dari mimpi. Sumber agama kita bukan mimpi seorang tukang jaga kubur!

Belum tentu juru-kunci bernama Syeikh Ahmad itu ada orangnya.

Belum jelas siapa itu Haji Abdullah Malik orang Madura! Agama Islam bukanlah agama mimpi kacau, bukan kepalsuan, bukan tahyul, bukan khurafat, bukan dongeng dan bukan rentetan dari kebodohan!

Kedatangan Nabi Muhammad SAW diutus Tuhan ke dunia ini ialah “liyukhri jahum minazh-zhulumati ilan nuur” iaitu mengeluarkan mereka dari gelap-gulita ke tempat yang terang benderang. Bukan sebaliknya, membawa kembali dan tempat yang terang benderang. Bukan sebaliknya. Membawa kembali dari tempat yang terang ke alam fikiran yang gelap-gulita kepada orang yang percaya kepada Mimpi Syeikh Ahmad.

Selama Kaum Muslimin masih juga mempergunakan akalnya yang sihat untuk mempertimbangkan dan menilai kebenaran sesuatu, menurut dasar perintah Al-Quran; “Afala ta’qiluun” (apakah tidak kamu pergunakan akalmu), selama itu pula mereka akan dapat saja diperbodoh oleh surat-surat berantai seperti ini.

Dengan surat-surat berantai seperti ini mudah saja tukang-tukang provokasi mengacukan fikiran masyarakat umum, sehingga mereka kehilangan pimpinan yang sejati.

Tambahan:

Pimpinan Panji Masyarakat memberi izin kepada siapa saja memperbanyak dan menyebarkan penjelasan kami ini, dan kami bertanggungjawab di hadapan Allah, di hadapan Pimpinan Negara dan di hadapan Kaum Muslimin dalam mempertahankan kebenaran yang kami kemukakan ini, tentang kebohongan mimpi Syeikh Ahmad bertemu Rasulullah SAW.

Pers Release

Kini sedang beredar lagi surat berantai seperti yang penah terjadi pada tahun-tahun lalu. Jumlah peredarannya makin lama, makin banyak kerana setiap orang memperbanyak takut akan mendapat celaka bila tidak menyebarkannya. Lebih-lebih lagi kerana ancaman kecelakaan itu ada hubungannya dengan kepercayaan keagamaan.

Demi untuk memurnikan Kaum Muslimin, Majlis Ulama Indonesia menyerukan kepada umat Islam agar jangan mudah terpengaruh dengan sesuatu isu-isu, apalagi yang tidak jelas sumbernya, demi untuk memelihara iman yang berdasarkan Tauhid.

Sedangkan sebuah hadis yang mempunyai sanad sampai pada Nabi, masih menjadi sasaran penyelidikan yang teliti tentang kesahihan hadis itu, apa lagi sebuah cerita yang berasal dari mimpi berjumpa dengan Nabi.

Jakarta, 18 Mac, 1976.

DEWAN PIMPINAN
MAJELIS ULAMA INDONESIA


PROF. DR HAMKA  -Ketua                                                     

H.MUSYTARY YUSUF L.A – S/U

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...