Pages

Friday 8 November 2013

: : Apakah Makan Daging Dibenarkan Dalam Islam : :

Apakah Makan Daging Dibenarkan Dalam Islam
Oleh: Dr Zakir Naik


Soalan

Membunuh haiwan adalah suatu perbuatan kejam. Mengapa pula orang
Islam makan makanan daging (bukan vegetarian)?

Jawapan

‘Vegetarianisme’ kini merupakan suatu aliran di serata dunia. Ramai yang mengaitkannya dengan hak asasi haiwan. Sesungguhnya, ada juga sebilangan besar orang menganggap pengambilan daging dan hasil bukan vegetarian sebagai pencabulan hak asasi haiwan.

Islam menyarankan belas dan ihsan ke atas semua makhluk hidup. Pada masa yang sama, Islam menegaskan bahawa Allah SWT telah mencipta bumi dan tumbuhan dan binatang yang menakjubkan untuk manfaat umat manusia. Terpulang kepada manusia untuk menggunakan sumber alam secara bijaksana sebagai nikmat dan amanat Allah SWT.

Mari kita melihat hujah ini dari pelbagai aspek lain.

1. Orang Muslim boleh menjadi vegetarian tulen.

Seorang Islam boleh menjadi seorang Islam yang baik walaupun menjadi pengamal vegetarian tulen. Seorang Islam tidak diwajibkan mengamalkan pemakanan vegetarian.

2. Bagaimanapun, Al-Quran membenarkan seorang Islam untuk mengambil makanan bukan vegetarian.

Ayat Al-Quran berikut menjadi bukti hakikat ini:

“Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu. Dihalalkan bagi kamu binatang ternak kecuali yang akan dibicarakan kepadamu..” [Al-Maaidah 5:1]

“Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu, padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat dan sebahagiannya kamu makan.” 
[An-Nahl 16:5]

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak benar-benar terdapat pelajaran yang penting bagi kamu, Kami memberi minum kamu dari air susu yang ada dalam perutnya dan (juga) pada binatang-binatang ternakan itu terdapat faedah yang banyak untuk kamu dan sebahagian darinya kamu makan”. [Al-Mu’minuun 23:21]

3. Daging berkhasiat dan kaya dengan protein lengkap.

Makanan bukan vegetarian merupakan sumber protein yang sangat baik iaitu ke semua 8 amino asid yang diperlukan badan yang tidak disintesiskan oleh tubuh dan perlu dibekalkan di dalam diet. Daging juga mengandungi zat besi, vitamin B1 dan niasin.

4. Manusia mempunyai gigi-gigi omnivor.

Jika diperhatikan gigi haiwan herbivor seperti lembu, kambing dan biri-biri, anda akan menjumpai persamaan ketara pada ke semuanya. Semua haiwan tersebut mempunyai gigi-gigi yang rata iaitu bersesuaian untuk diet herbivor.

Jika anda memerhatikan gigi-gigi haiwan karnivor seperti singa, harimau atau harimau bintang, ke semuanya mempunyai gigi-gigi taring. Manakala bagi gigi-gigi manusia terdapat gigi rata dan juga gigi bertaring. Oleh itu, gigi manusia bersesuaian untuk kedua-dua makanan herbivor dan karnivor, iaitu dikenali sebagai omnivor.

Mungkin ada yang bertanya, jika Tuhan Yang Maha Kuasa mahukan manusia memakan sayuran sahaja mengapa Dia juga memperlengkapkan diri kita dengan gigi taring? Secara logik, Tuhan menjangkakan manusia memerlukan dan memakan kedua-dua makanan vegetarian dan bukan vegetarian.

5. Manusia mampu menghadamkan kedua-dua makanan vegetarian dan bukan vegetarian.

Sistem pencernaan haiwan herbivor hanya berupaya menghadam tumbuhan (vegetarian). Sistem pencernaan haiwan karnivor hanya dapat menghadamkan daging (bukan vegetarian). Tetapi sistem pencernaan manusia dapat menghadam kedua-dua makanan vegetarian dan bukan vegetarian. Sekiranya Tuhan Yang Maha Kuasa hanya mahukan kita memakan sayuran, mengapa Dia mengurniakan kita dengan sistem pencernaan yang dapat menghadam kedua-dua makanan vegetarian dan bukan vegetarian?

6. Kitab Hindu membenarkan pemakanan bukan vegetarian.

a. Terdapat ramai penganut Hindu yang berpegang teguh kepada amalan vegetarian. 

Mereka berpendapat bahawa memakan makanan bukan vegetarian dilarang oleh agama. Tetapi hakikatnya, kitab Hindu membenarkan pemakanan daging. Kitab itu juga menyebut bahawa pendeta Hindu juga memakan bukan vegetarian.

b. Kitab Hindu Manu Smruti, ada menyebut di dalam Bab 5, rangkap 30:

“Orang yang memakan daging yang boleh dimakan tidak melakukan keburukan, walaupun dia memakannya setiap hari, kerana Tuhan telah mencipta sebahagian untuk dimakan dan sebahagian lagi pemakan daging.”

c. Rangkap seterusnya Manu Smruti, ada menyebut di dalam Bab 5, rangkap 31:

“Memakan daging boleh sebagai korban, secara tradisi, ini dikenali sebagai peraturan dewa-dewa.”

d. Seterusnya Manu Smruti, Bab 5, rangkap 39 dan 40 menyebut:

“Tuhan sendiri mencipta haiwan korban untuk dikorbankan…., oleh itu membunuh untuk korban bukanlah pembunuhan.”

e. Mahabharatta Anushashan Parva, Bab 88 menceritakan perbincangan di antara Dharmaraj Yudhishthira dan Pitamah Bhishma tentang makanan yang sepatutnya dipersembahkan kepada Pitris (nenek moyang) semasa Shraddha (upacara kematian) untuk memuaskan mereka. Perenggan itu menyebut seperti berikut:

“Oh, yang maha hebat, beritahu saya, apakah benda, sekiranya dipersembahkan kepada Pitris (nenek moyang yang telah mati), tidak mudah habis-habis! Havi apakah, sekali lagi (jika dipersembahkan) bertahan sepanjang masa? Sesungguhnya, apakah (jika dipersembahkan) menjadi abadi?”

“Bhisma berkata, ‘dengarlah kataku, wahai Yudhisthira, Havi tersebut adalah orang-orang yang fasih dengan ritual Shradda dan buah-buahan yang bertaut kepada setiapnya. Dengan biji-bijian dan beras dan barli dan Masha dan air dan akar dan buah-buahan, jika diberikan kepada Shradda, Pitri, Oh Raja, akan memuaskan mereka untuk tempoh masa sebulan. 

Dengan persembahan ikan kepada Shradda, Pitri akan berpuas hati selama dua bulan. Untuk daging kambing biri-biri, mereka akan berpuas hati selama tiga bulan, dengan arnab empat bulan, dengan daging kambing selama lima bulan, dengan bakon (daging khinzir) selama enam bulan dan daging burung tujuh bulan.

Dengan daging kijang yang dipanggil Prishata, mereka akan berpuas hati selama lapan bulan, dan yang diperoleh daripada Ruru selama sembilan bulan, dan dengan daging Gavaya selama sepuluh bulan. Untuk daging kerbau, mereka akan berpuas hati selama sebelas bulan. Dengan daging lembu yang dipersembahkan di Shradda, mereka akan berpuas hati selama satu tahun. Payasa yang dicampurkan bersama minyak sapi diterima oleh Pitri sebagaimana daging lembu.

Dengan daging Vadhrisnasa (kerbau yang besar), Pitri akan berpuas hati selama dua belas tahun. Daging badak sumbu, yang dipersembahkan kepada Pitri pada hari ulang tahun lunar kematian mereka, akan bertahan selamanya. Daun perasa yang dipanggil Kalaska, kelopak bunga kanchana, dan daging kambing (merah) juga, jika dipersembahkan akan memuaskan hati mereka selamanya. Oleh itu, jika ingin memuaskan hati nenek moyang, persembahkan kepada mereka daging kambing merah’.”

7. Agama Hindu dipengaruhi oleh agama lain.

Walaupun kitab Hindu membenarkan pengikutnya memakan makanan bukan vegetarian, ramai penganut Hindu mengamalkan sistem vegetarian kerana dipengaruhi agama lain seperti Jainisme.

8. Tumbuhan juga bernyawa.

Beberapa agama telah mengamalkan vegetarianisme tulen sebagai peraturan diet kerana mereka menentang sama sekali pembunuhan makhluk hidup. Jika ada sesiapa yang mampu hidup tanpa membunuh sebarang makhluk hidup saya akan menjadi orang pertama untuk mengamalkan cara hidup sebegitu. Dahulu, manusia beranggapan tumbuhan tidak bernyawa. Pada hari ini, fakta bahawa tumbuhan juga bernyawa diketahui umum. Oleh itu, logik untuk tidak membunuh makhluk hidup tidak dapat dipenuhi sungguhpun mereka menjadi vegetarian tulen.

9. Tumbuhan juga dapat merasai kesakitan.

Mereka berhujah lagi dengan berkata bahawa tumbuhan tidak dapat merasai kesakitan, oleh itu membunuh tumbuhan adalah jenayah yang lebih ringan berbanding pembunuhan haiwan.

Hari ini, sains mendedahkan bahawa tumbuhan juga dapat merasai kesakitan. Tetapi, tangisan tumbuhan tidak boleh didengari manusia. Ini disebabkan ketidakmampuan telinga manusia untuk mendengar bunyi yang tidak berada dalam lingkungan 20 hingga 20,00 Hertz. Apa sahaja yang berada di bawah atau di atas lingkungan tersebut tidak akan dapat didengari oleh manusia.

Seekor anjing boleh mendengar sehingga tahap 40,000 Hertz. Oleh itu, wisel anjing yang mempunyai frekuensi melebihi 20,000 Hertz tetapi kurang daripada 40000 Hertz tidak kedengaran.

Wisel itu hanya dapat didengar oleh anjing tetapi tidak kepada manusia. Anjing itu mengecam wisel tuannya dan akan menghampirinya. Seorang petani di Amerika Syarikat telah melakukan penyelidikan dan mencipta alat yang berupaya menukarkan tangisan tumbuhan sehingga dapat didengari oleh manusia. Dia dapat menyedari dengan segera apabila tumbuhan itu menangis untuk mendapatkan air.

Penyelidikan terkini mendedahkan bahawa tumbuhan dapat merasai kegembiraan dan kesedihan. Tumbuhan juga boleh menangis.

10. Membunuh makhluk hidup yang mempunyai kurang dua deria bukanlah jenayah yang lebih ringan.

Seorang vegetarian pernah berhujah dengan mengatakan tumbuhan hanya mempunyai dua atau tiga deria sahaja manakala haiwan mempunyai lima deria. Oleh yang demikian, jenayah membunuh tumbuhan lebih ringan berbanding haiwan.

Katakan, saudara lelaki anda dilahirkan pekak dan bisu dan kekurangan dua deria berbanding manusia lain. Apabila dewasa dia dibunuh. Apakah anda akan meminta hakim mengenakan hukuman lebih ringan kerana saudara lelaki anda mempunyai kurang dua deria? Sebaliknya, anda akan mengatakan bahawa orang tersebut telah membunuh seorang yang tidak bersalah dan berdosa dan hakim sepatutnya menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap pembunuh tersebut. 

Al-Quran menyebut:

“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi...” [Al-Baqarah 2:168]

11. Populasi lembu ternakan yang berlebihan.

Jika setiap manusia menjadi vegetarian ini akan mengakibatkan lebihan populasi lembu di dunia kerana pembiakan dan penggandaan lembu sangat cepat. Allah SWT Yang Maha Bijaksana mengetahui bagaimana mengimbangi ciptaan-Nya dengan cara Dia menghalalkan daging lembu.

12. Harga daging berpatutan kerana kebanyakan orang bukan vegetarian.

Saya tidak kisah sekiranya beberapa orang menjadi vegetarian tulen. Namun begitu, mereka tidak sepatutnya mengutuk pengamal bukan vegetarian sebagai kejam. Malahan jika semua orang India menjadi bukan vegetarian misalnya, orang bukan vegetarian yang ada akan kerugian kerana harga daging akan meningkat.


Sumber: 20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam

5 comments:

  1. petani pun buat penyelidikan ke? apa cerita karut ni.tumbuhan pun menangis.janganlah mengarut sampai macamni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Petani di Amerika..bukan Petani mcm kamu

      Delete
  2. kalau bagi dua pilihan kepada orang islam iaitu bunuh kucing kesayangan atau cabut ubi keledek di belakang rumah? yang mana nampak kejam?woi brader pikirlah secara waras.tumbuhan memang hidup tapi takan rasa sakit

    ReplyDelete
  3. memang binatang ternakan terasa sakit dan perit waktu disembelih.saya sanggup tidak makan apa jua daging sampai saya mati dan bila bila pun.saya tidak mahu mengemukkan daging saya dengan memakan daging binatang lain.

    ReplyDelete
  4. Lebih baik tuan jangan makan apa apa..kesian tumbuhan kena rebus dan kunyah dengan tuan..jadilah manusia yang baik dengan tidak makan..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...