Pages

Tuesday 9 September 2014

: : Satu Hari di sisi Allah swt : :

Satu Hari di sisi Allah swt
Oleh: Dr Zakir Naik


Satu hari di sisi Allah; adakah 1000 tahun atau 50000 tahun?

Dalam Al-Quran terdapat ayat yang mengatakan bahawa satu hari di sisi Allah swt adalah sama dengan seribu (1,000) tahun. Walau bagaimanapun dalam ayat yang lain Allah swt telah mengatakan bahawa satu hari adalah bersamaan dengan lima puluh ribu (50 000) tahun. Justeru, adakah ayat yang terdapat dalam Al-Quran bercanggah antara satu sama lain?

1. Masa di sisi Allah swt tiada tandingan dengan masa duniawi

Al-Quran mengatakan dalam dua ayat, iaitu (22:47 dan 32: 5), bahawa ukuran satu hari di sisi Allah swt adalah sama dengan 1,000 tahun hitungan kita. Namun, di dalam ayat yang lain, iaitu (70: 4), Allah swt telah mengatakan bahawa ukuran satu hari di sisiNya adalah sama dengan 50,000 tahun hitungan kita.
Secara amnya, ayat-ayat ini membawa maksud bahawa masa di sisi Allah swt tiada tandingan dengan masa duniawi. Contoh-contoh yang diberikan adalah seribu tahun dan lima puluh ribu tahun masa duniawi. Dalam erti kata lain, masa yang dinyatakan sebagai beribu-ribu tahun di bumi adalah untuk menunjukkan bahawa sehari di sisi Allah swt merupakan suatu masa yang sangat panjang.

2. Yaum (hari dalam bahasa Arab) juga bermaksud jangkamasa atau tempoh

Perkataan Arab yang digunakan dalam ketiga-tiga ayat (22:47, 32: 5 dan 70: 4) adalah Yaum; iaitu di samping bermaksud sehari, Yaum turut membawa maksud suatu tempoh masa yang panjang, atau suatu zaman. Sekiranya anda menterjemahkan perkataan Yaum sebagai 'tempoh' atau suatu ‘jangkamasa’, anda tidak akan menghadapi sebarang kekeliruan.

a) Ayat ke 47 dari Surah Hajj menyatakan:

Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjinya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung. [Al-Quran 22:47]

Apabila orang-orang kafir meminta untuk menyegerakan hukuman; Al-Quran selanjutnya berkata Allah tidak akan memungkiri janjiNya. Sesungguhnya tempoh atau jangkamasa sehari di sisi Allah adalah seperti seribu tahun daripada perhitungan mereka.

b) Ayat ke 5 dari Surah Al-Sajdah menyebut:

"Dia memerintah (semua) urusan dari langit ke bumi, pada akhirnya (segala urusan) akan naik kepadaNya pada suatu masa, tempoh itulah yang akan menjadi (seperti) satu ribu tahun hitungan kamu?". [Al-Quran 32:5]

Ayat ini menunjukkan bahawa tempoh yang diperlukan bagi semua urusan untuk naik kepada Allah (swt) adalah seribu tahun mengikut hitungan kita.

c) Ayat ke 4 dari Surah Al-Maidah berkata:

"Malaikat-malaikat dan roh (Jibril a.s) naik kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya adalah (seperti) lima puluh ribu tahun". [Al-Qur'an 70: 4]

Ayat ini bermakna tempoh yang diperlukan bagi para malaikat dan Jibril a.s naik kepada Allah (swt) adalah lima puluh ribu tahun.

d) Tempoh masa bagi dua tindakan yang berbeza tidak semestinya sama.

Sebagai contoh tempoh yang diperlukan untuk saya melakukan perjalanan ke destinasi 'A' katakan Vashi adalah satu jam dan tempoh yang diperlukan bagi saya untuk melakukan perjalanan ke destinasi 'B' iaitu Kashmir adalah 50 jam. Ini tidak menunjukkan bahawa saya membuat dua kenyataan yang bercanggah.

Oleh yang demikian, ayat-ayat al-Quran tidak menunjukkan percanggahan antara satu sama lain, sebaliknya ia berada dalam keadaan harmoni. Malah Al-Quran dapat mengukuhkan fakta saintifik moden.

Terjemahan: Mohd Aziz

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...