Pages

Monday 15 June 2015

: : Puasa : :

Puasa
oleh: Mohd Aziz


Dalil diwajibkan berpuasa

Allah swt berfirman (berkata) dalam Al-Quran, surah al-Baqarah, surah ke 2 ayat 183;

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” [Al-Quran 2:183].

Pada bulan Ramdahan, bulan ke 9 dalam kalendar Islam umat Islam diwajibkan untuk berpuasa iaitu menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkannya dari waktu subuh sehingga terbenamnya matahari (maghrib).

Kitab Bible menyebut Jesus berpuasa

Dalam Kitab Matius, Fasal 4 ayat 2 menyatakan:

"Dan setelah berpuasa empat puluh hari dan empat puluh malam, akhirnya laparlah Yesus." [Matius 4:2]

Menolak ajakan untuk mencuri/merompak

Dari sudut kehidupan sosial puasa memberikan impak yang besar dan agung. Puasa mendidik manusia untuk menghormati hak dan milik orang lain.

Selama sebulan, ibadah puasa mendidik kita untuk tidak makan dan minum walau makanan atau minuman itu milik kita. Yang kita cari dengan harta yang halal dan cara yang benar.

Orang yang benar-benar menghayati madrasah puasa tentu dapat mengambil pelajaran besar dengan ibadah puasa ini. Orang ini sudah pasti akan menolak ajakan untuk mencuri atau mengambil hak orang lain.

Bila mana datang ajakan untuk mencuri atau merompak, orang berpuasa pasti berkata,

“Oo..mohon maaf yea! Puasa telah mengajar dan mendidik saya untuk tidak makan dan minum walau dari harta saya..yang saya dapat dari rezeki yang halal. Mengapa  saya mahu makan harta dari rezeki yang haram? Rezeki dari sumber yang halal pun saya tahan untuk makan.”

Itulah indah dan nikmatnya puasa.

Puasa dari sudut kesihatan  

Seorang pakar pemakanan & rawatan alternatif, Paul C. Bragg dari Amerika Syarikat telah menulis dalam bukunya yang bertajuk Miracle of Fasting tentang keajaiban berpuasa. Dalam tulisannya berhubung puasa sebagai rawatan kepada penyakit atau masalah fizikal Paul menyebut:

“Puasa telah diamalkan oleh manusia dan haiwan sejak permulaan masa lagi. Pada zaman dahulu, manusia primitif tidak mempunyai kaedah lain untuk menjalankan rawatan penyembuhan kecuali dengan puasa. 

Seandainya mereka mendapatkan kecederaan atau sakit, mereka akan segera berpuasa, kerana puasa adalah satu naluri semula jadi untuk memelihara diri. Di samping berpuasa mereka juga menggunakan rawatan herba dari hutan sebagai tonik dan antiseptik.

Selain itu, saya juga percaya bahawa puasa adalah ibu kepada rawatan atau ubat semula jadi! Kerana, seperti yang kita dapat lihat dan perhatikan, puasa yang dijalankan dengan betul mampu membersihkan badan dan selanjutnya mengembalikan kesihatan selepas segala-galanya telah gagal.

Dalam lebih 70 tahun menyelia aktiviti puasa, saya telah melihat keajaiban yang berlaku kepada orang-orang yang menjalani rawatan dengan berpuasa, yang benar-benar boleh dipanggil ajaib.

Puasa bukan sahaja kaedah rawatan yang tertua untuk melawan masalah fizikal, tetapi ia juga adalah rawatan yang terbaik daripada semua ubat-ubatan, kerana ia tidak mempunyai kesan sampingan. Puasa adalah proses yang paling asli dan semula jadi dalam proses pembersihan dan penyucian tubuh badan.”

Hadis Keutamaan Berpuasa

1. Pahala yang tidak terbatas

Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Allah berfirman, ‘Semua amal anak Adam adalah untuknya[1] kecuali puasa, ia adalah untukKu dan Aku yang membalasnya. Puasa itu adalah perisai, jika salah seorang di antara kalian berpuasa pada hari tersebut, maka janganlah bercakap kotor dan jangan mengumpat. Jika seseorang mencelanya atau menyakitinya, maka hendaklah dia berkata, ‘Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa’.

Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada di TanganNya, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada aroma minyak wangi kasturi. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka ia gembira, dan ketika dia bertemu Tuhannya dia bergembira dengan (pahala) puasanya.”

[Hadis riwayat  al-Bukhari dan Muslim]

[1] Yakni, dia mendapatkan pahala yang terbatas kecuali puasa, pahalanya tidak terbatas.

2. Puasa memberi syafaat di akhirat

Dari Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah saw bersabda,

“Puasa dan Al-Quran memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari Kiamat. Puasa berkata, ‘Ya Rabbi, aku menghalanginya (dari) makan dan syahwatnya maka berikan syafaat untukku kepadanya’. Lalu Al-Quran pula berkata, ‘Aku menghalanginya tidur di malam hari, maka berikan syafaat untukku kepadanya’. Sabda beliau saw, ‘Lalu keduanya pun memberi syafaat.”

[Hadis riwayat Ahmad]

3. Pintu kebaikan

Dari Muadz bin Jabal r.a , bahawa Nabi saw bersabda kepadanya,

“Maukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan?” Aku menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah.” Beliau bersabda, “Puasa itu adalah perisai dan sedekah itu melenyapkan kesalahan seperti air memadamkan api.”

[Hadis riwayat at-Tirmidzi]

4. Jalan menuju ke syurga

Dari Abu Umamah r.a, di berkata,

“Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku suatu amal yang dengannya aku masuk syurga.’ Rasulullah saw menjawab, ‘Berpuasalah, kerana puasa tidak ada yang menyamainya.’

[Hadis riwayat Ibnu Hibban]

5. Penyelamat dari api neraka

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda,

“Barangsiapa berpuasa satu hari di jalan Allah, maka Allah menyelamatkan wajahnya dari neraka dengan hari itu (sejauh) tujuh puluh tahun (perjalanan).”

[Hadis riwayat an-Nasai]

Dari Abu ad-Darda’ r.a, dia berkata, Rasulullah saw bersabda,
“Barangsiapa berpuasa satu hari di jalan Allah, maka Allah membuat antara dirinya dengan neraka parit seperti antara langit dan bumi.”

[Hadis riwayat at-Thabrani]

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...