Pages

Monday 31 December 2012

: : Adakah Al-Quran dari Syaitan? : :

Adakah Al-Quran Datang dari Syaitan?
Oleh: Dr Zakir Naik

Gambar sekadar hiasan

Terdapat segolongan daripada manusia yang mendakwa bahawa Al-Quran ditulis oleh Syaitan; iaitu Al-Quran bukan firman Tuhan, sebaliknya adalah hasil kerja Syaitan. 

Dalam jawapan kepada dakwaan yang sama dikemukakan oleh Musyrikin Mekkah; iaitu “Nabi saw menerima ayat-ayat dari Syaitan”, Al-Quran menyatakan di dalam surah Al-Waqiah, surah ke 56, ayat 77-80:

“Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.” [Al-Quran 56: 77-80]

“Kitabim Maknun” bermaksud kitab yang dijaga dengan baik atau kitab yang dipelihara; adalah merujuk kepada Luh-Mahfuz di syurga yang tidak disentuh melainkan oleh “Muthahirin”. 

“Muthahirin” adalah makhluk-makhluk suci, iaitu tidak mempunyai apa-apa kotoran, najis mahupun kejahatan seperti dosa; ia merujuk kepada malaikat dan sudah pasti Syaitan adalah dilarang.

Oleh sebab itu, adalah mustahil bagi Syaitan untuk mendekati atau menghampiri Luh-Mahfuz apatah lagi menyentuhnya. Justeru, persoalan tentang adakah Al-Quran ini hasil kerja Syaitan adalah tidak berbangkit.

Selanjutnya di dalam surah Shura, surah ke 26 ayat 210-212, Allah swt menyebut:

“Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh syaitan-syaitan. Dan tidak layak bagi syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya. Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh malaikat.” [Al-Quran 26: 210-212]

Ramai di kalangan manusia yang memiliki konsep yang salah tentang Syaitan. Mereka ini berfikir bahawa Syaitan mungkin mampu untuk melakukan apa-apa sahaja; kecuali beberapa perkara yang hanya boleh dilakukan oleh Tuhan. Mereka menyangka bahawa kuasa yang dimiliki Syaitan ini berada di bawah sedikit sahaja daripada kuasa Tuhan.

Justeru, bagi mereka yang tidak mahu menerima hakikat bahawa Al-Quran yang begitu menakjubkan ini adalah wahyu Tuhan; lantas mereka katakan sahaja Al-Quran datang dari Syaitan.

Walau bagaimanapun, seandainya Syaitan yang menghasilkan Al-Quran, sudah tentu Syaitan tidak akan menyebut sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah ayat di dalam surah An-Nahl, surah ke 16 ayat 98:

“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang direjam.” [Al-Quran 16:98]

Cuba bayangkan, adakah munasabah, sekiranya Syaitan yang menulis Al-Quran, dia (Syaitan) berkata; “sebelum kamu membaca kitab aku, mohonlah perlindungan kepada Tuhan daripada hasutan aku.”

Di sana, terdapat beberapa ayat yang mengesahkan atau memberi bukti yang kukuh bahawa Syaitan bukan pengarang Al-Quran. Al-Quran menyebut di dalam surah Al-‘Araf surah ke 7, ayat 200 yang bermaksud:

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [Al-Quran 7:200]

Kenapa syaitan akan memberitahu pengikutnya, apabila dia memberi sebarang cadangan atau idea, pengikutnya perlu minta perlindungan dari Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Kitab suci Al-Quran juga menyebut di dalam surah Al-Baqarah, surah ke-2 ayat 168:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” [Al-Quran 2:168]

Sementara di dalam surah Yasin, surah ke 36 ayat 60, Al-Quran menyebut:

“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!” [Al-Quran 36:60]

Syaitan merupakan makhluk yang sangat bijak; justeru tidak hairanlah dia boleh meletakkan idea; bahawa dia adalah pengarang Al-Quran ke dalam minda manusia.


Namun, dibandingkan dengan Allah swt, Syaitan itu tidaklah begitu ketara (penting). Dan Allah swt adalah jauh lebih pintar. Allah swt adalah Maha Bijaksana (Al-Hakim). 

Allah swt tahu perancangan atau niat jahat syaitan; jadi, tidak hairanlah Allah swt telah mengemukakan beberapa bukti (dalil) di dalam Al-Quran, untuk mengesahkan bahawa Al-Quran adalah kata-kata Allah swt dan bukan perkataan Syaitan. 

Kitab Bible menyatakan di dalam Markus (Mark), bab 3, ayat 24-26:

“Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, akan runtuh.”
“Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur.”
“Oleh itu, jika kerajaan Syaitan mempunyai golongan yang saling berlawanan, kerajaan itu tidak tahan lama dan pasti akan lenyap.” [Mark 3: 24-26]

Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: www.ilovezakirnaik.com 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...