Pages

Tuesday 1 January 2013

: : Asal Usul Al-Quran : :

Asal Usul Al-Quran
Oleh: Huda Academy

Pengenalan


Al-Quran adalah kitab suci bagi umat Islam. Kitab ini dibaca dan dijadikan panduan dalam segenap aspek kehidupan. Al-Quran merupakan kitab terakhir dalam siri kalam-kalam Ilahi yang diturunkan oleh Allah swt. 
Kitab Al-Quran merupakan kata-kata Allah swt yang diturunkan melalui malaikat Jibril a.s kepada Nabi Muhammad saw, nabi yang terakhir dan penutup bagi sekalian nabi kira-kira 1400 tahun yang lalu.

Islam adalah kesinambungan daripada ajaran nabi-nabi sebelumnya seperti Nabi Nuh a.s, Nabi Musa a.s, dan Isa a.s; sesetengah daripada mereka turut menerima kitab daripada Tuhan.

Umat Islam percaya mesej utama yang dibawa oleh kesemua nabi adalah sama; iaitu ‘tiada tuhan melainkan Allah’, tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, menjauhkan diri daripada dosa dan menjalani kehidupan untuk mendapatkan keredaan Allah swt (dengan mentaati perintahNya). 

Selain daripada itu, setiap nabi juga akan menyampaikan ajaran tentang kehidupan selepas mati (kehidupan di akhirat); iaitu dengan memberi khabar gembira kepada manusia yang patuh dan taat kepada Allah swt, sementara ancaman api neraka terhadap manusia yang memilih untuk mengingkari  perintah dan suruhanNya.

Kitab suci Al-Quran adalah sebuah kitab yang cukup unik; ini kerana inilah satu-satunya kitab wahyu yang wujud pada hari ini dalam kondisi dan kandungan yang murni; iaitu tidak berlaku sebarang perubahan sebagaimana pada asal ia diturunkan 1400 tahun yang lalu. Tambahan pula, Al-Quran aktif (senantiasa) direkodkan sewaktu penurunannya.

Selanjutnya, Al-Quran memiliki pendekatan yang tersendiri; iaitu mesej kerohanian dan amalan praktikalnya bermatlamat untuk kebaikan umum individu, masyarakat dan alam sekitar. Al-Quran menjaga kepentingan semua entiti.


Di samping itu, mesej Al-Quran juga adalah sejagat, merentasi perbezaan bangsa, warna kulit, etnik dan kewarganegaraan. Ia menyediakan panduan berhubung segenap aspek kehidupan manusia; dari aspek ekonomi dan etika perniagaan, perkahwinan, perceraian, isu-isu gender hinggalah pewarisan dan keibubapaan.  

Al-Quran tidak mengutuk atau mengancam tubuh badan, juga tidak mengabaikan jiwa (soul). Ia tidak menyamakan Tuhan dengan manusia, tidak juga mendewa-dewakan atau mempertuhankan manusia.

Al-Quran juga menerangkan tanda-tanda kewujudan Tuhan menerusi penciptaan alam semesta (makhluk) dan bagaimana segala-galanya diletakkan dan diatur dengan teliti.

Dua Persoalan

Artikel ini akan mengkaji dua soalan utama yang lazimnya diutarakan oleh pihak yang ingin memahami asal-usul kewujudan Al-Quran.

Soalan pertama; “Apakah bukti yang menyokong berhubung kesahihan Al-Quran- iaitu bahawa Al-Quran tidak diselewengkan?”

Soalan kedua; “Walaupun Al-Quran adalah terpelihara, apakah bukti yang menyokong bahawa ia benar-benar adalah firman Tuhan dan bukan datang dari penulisan Nabi Muhammad saw sendiri?”

Pemeliharaan Al-Quran

Al-Quran telah dipelihara atau dijaga selama lebih 1400 tahun melalui hafalan dan juga catatan. Allah swt menyebut di dalam surah Al-Hijr, surah ke15, ayat 9:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami pula yang memeliharanya.” [Al-Quran 15:9]

Kitab suci Al-Quran merupakan satu-satunya kitab yang telah dihafal secara keseluruhannya oleh berjuta-juta manusia. Proses hafalan ini bermula semasa Nabi saw masih hidup dan terus dititikberatkan oleh umat Islam, malah hingga ke hari ini.

Nabi Muhammad saw sangat berwaspada dalam memelihara keseluruhan Al-Quran baik dalam bentuk hafalan mahupun tulisan. Baginda saw sebenarnya adalah  seorang ‘ummi’; iaitu tidak tahu membaca atau menulis. Justeru, sebaik sahaja Al-Quran diturunkan kepada beliau, cepat-cepat beliau akan memanggil sahabatnya untuk merekodkan teks Al-Quran.

Proses merekodkan Al-Quran dijalankan di bawah seliaan yang amat teliti daripada Nabi Muhammad saw sendiri. Baginda saw mengarahkan sahabat membaca kembali ayat yang direkodkan bagi memastikan ia adalah bertepatan dengan apa yang diturunkan.

Oleh itu, Al-Quran yang lengkap bukan sahaja dihafal oleh Rasulullah saw dan juga para sahabatnya; tetapi wujud dalam bentuk bertulis semasa hayatnya. Namun, ketika itu Al-Quran ditulis secara berpecah-pecah; ada yang ditulis pada pelepah tamar, kulit haiwan, kulit-kulit kayu dan sebagainya.

Kira-kira dalam tempoh setahun selepas kewafatan baginda saw, satu jawatankuasa yang terdiri daripada sahabat-sahabat Rasulullah saw yang diketuai oleh Zaid bin Thabit r.a. telah ditubuhkan untuk mengumpulkan keseluruhan manuskrip Al-Quran. Proses pengumpulan Al-Quran ini mengikut kriteria yang ketat bagi memelihara Al-Quran dari sebarang kesilapan.

Manuskrip ini dinilai dan disahkan sebulat suara oleh para sahabat Nabi saw, termasuk beratus-ratus ‘huffaz’ yang telah menghafal seluruh Al-Quran. Kemudian, beberapa salinan Al-Quran telah disediakan sewaktu di bawah kepimpinan khalifah ketiga, Uthman bin Affan r.a dan diedarkan ke bahagian-bahagian utama pusat Islam.


Salah satu daripada salinan tersebut, kini masih terdapat di muzium di Tashkent, Rusia manakala satu salinan daripadanya yang dihasilkan pada tahun 1905, boleh didapati di perpustakaan Universiti Columbia, USA. 

Siapakah Pengarang Al-Quran

Umat Islam percaya bahawa Al-Quran adalah kata-kata (kalam) Tuhan dan bukannya sebuah buku yang ditulis sendiri oleh Nabi Muhammad saw. Lima fakta berikut mengemukakan bukti bahawa Al-Quran adalah kalam Allah swt;

1. Fakta sejarah dan Al-Quran

Secara terbuka, Al-Quran dan sejarah mengisytiharkan bahawa Nabi Muhammad saw tidak tahu membaca. Kitab suci Al-Quran menyebut di dalam surah Al-Ankabut, surah ke 29 ayat 48:

“Dan engkau (Muhammad) tidak pernah membaca sesuatu kitab sebelum (Al-Quran) dan engkau tidak pernah menulis suatu kitab dengan tangan kananmu; sekiranya (engkau pernah membaca dan menulis) nescaya ragu orang yang mengingkarinya. [Al-Quran 29:48]

2. Al-Quran diturunkan sewaktu bangsa Arab terkenal dengan puisi lisan.

Pada zaman dahulu, masyarakat Arab sering mengadakan pertandingan puisi di tempat-tempat terbuka seperti pasar. Peluang ini dimanfaatkan sebaiknya oleh Rasulullah saw untuk mengalunkan bacaan Al-Quran. Alunan tersebut memukau dan mengejutkan ramai pendengar. Tidak sedikit yang takjub lalu memeluk Islam hanya kerana menghayati irama, nilai kesusasteraan dan kebijaksanaan ayat-ayat Al-Quran ayat-ayat Al-Quran.

Tambahan pula, bahasa Arab 1400 tahun yang lalu, hanya terhad kepada ungkapan dan perkataan yang relevan kepada cara hidup ringkas masyarakat padang pasir. Bahasa Arab ketika itu, mustahil untuk mengungkapkan idea metafizik, atau fakta saintifik mahupun konsep agama dan falsafah sebagaimana yang dipersembahkan oleh Al-Quran.

Bahkan, Al-Quran senantiasa membuka cabaran kepada sesiapa yang ingin menghasilkan satu surah yang sebanding dengannya. Namun, cabaran ini masih tidak tercapai sehingga ke hari ini. Kitab suci Al-Quran menyebut di dalam surah Al-Baqarah, surah ke 2 ayat 23:

“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang kami turunkan (al-quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.” [Al-Quran 2:23]

3. Al-Quran adalah sebuah buku yang sangat komprehensif

Kitab suci Al-Quran bukan hanya membicarakan soal ibadah dan ketuhanan; tetapi kitab yang amat komprehensif ini turut menyentuh segala bidang ilmu. Ia mengandungi kebenaran Ilahi, perkara metafizik, kepercayaan gama, ibadah (solat,puasa, haji dll), undang-undang dan moral. Juga merupakan sebuah buku sosiologi, psikologi, epistemologi, sejarah, fakta saintifik dan prinsip-prinsip kehidupan utopia.

Walaupun amat komprehensif dan diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun, kitab suci ini dapat mengemukakan bukti bahawa ia datangnya dari Tuhan kerana; “tidak ada sebarang percanggahan ajaran atau fakta di dalamnya”. 

Allah swt berfirman di dalam surah An-Nisa, surah ke 4 ayat 82:

“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” [Al-Quran 4:82]

4. Mungkinkah Nabi Muhammad saw mempunyai kepentingan?

Timbul persoalan, mungkinkah Nabi Muhammad saw telah bertindak untuk berbohong atau mempunyai motif/kepentingan untuk mencipta Al-Quran?

Sejarah membuktikan, tahun-tahun awal misi dakwah nabi Muhammad saw telah diselangi dengan penganiayaan dan kesedihan. Pengikut-pengikutnya telah diseksa dengan begitu kejam, malah dibunuh dan ada yang terpaksa berhijrah. Puak beliau dipulaukan sementara beliau saw sendiri pernah dibaling batu.

Baginda saw juga pernah ditawarkan dengan kekayaan dan pemerintahan diraja seandainya meninggalkan seruan kepada tauhid (mengesakan Allah swt).

Namun sebaliknya, baginda saw memilih untuk hidup dengan sangat sederhana dan tidak pernah mengejar apa-apa keuntungan duniawi seperti kemasyhuran, kuasa atau kekayaan. Bahkan, kehidupan Nabi Muhammad saw adalah menterjemahkan apa yang disampaikan oleh mesej Al-Quran itu sendiri. Kajian-kajian hadis turut menjelaskan hakikat tersebut.

Selain daripada itu, sebelum baginda saw dilantik menjadi Rasul, beliau saw telah dikenali dalam masyarakatnya sebagai Al-Amin (orang yang amanah) dan As-Sidiq (orang yang jujur). Baik orang Islam mahupun bukan Islam sendiri mengesahkan kejujuran dan integriti beliau.

5. Al-Quran menyebut perkara-perkara baru

Kitab suci Al-Quran menyebut perkara-perkara yang tidak diketahui pada masa itu?

Bagaimana kewujudan ayat-ayat ini boleh dijelaskan? Al-Quran mempunyai penerangan saintifik yang hanya baru-baru ini ditemui oleh sains moden dan ini tidak mungkin diketahui oleh manusia 1400 tahun yang lalu. Sebagai contoh, kitab suci Al-Quran menyebut di dalam surah Al-Mukminun, surah ke 23 ayat 12-14;

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” [Al-Quran 23: 12-14]


Profesor Keith Moore, seorang saintis anatomi dan embriologi terkemuka di Universiti Toronto, Kanada telah mengulas;

“Ia telah menjadi keseronokan besar bagi saya untuk membantu menjelaskan kenyataan di dalam Al-Quran mengenai tahap perkembangan manusia. Ia adalah jelas kepada kita bahawa kenyataan-kenyataan ini mesti datang dari Tuhan atau “Allah” melalui Muhammad saw; kerana hampir kesemua pengetahuan ini belum ditemui sehinggalah beberapa abad kemudian. Ini membuktikan kepada saya bahawa Muhammad saw sudah pasti merupakan utusan Allah.” [Prof Keith Moore]

Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: www.huda.tv 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...