Pages

Tuesday 1 January 2013

: : Kedudukan Hadis Sahih : :

Kedudukan Hadis Sahih
Oleh: Sheikh Usman Al-Khamees

Apakah kedudukan hadis sahih bagi Ahli Sunnah wal Jamaah? Adakah penting untuk mengamalkan hadis sahih? Atau memadai sekadar bergantung kepada Al-Quran?


Apabila kita berbicara tentang “As-Sahihain” atau dua sahih, ia adalah merujuk kepada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Dua sahih ini adalah kitab paling sahih di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah selepas Kitab Allah swt, Al-Quran.

Dua sahih ini mengandungi hadis-hadis yang disahkan sahih dari Nabi Muhammad saw sama ada daripada perkataan, perbuatan atau kenyataan baginda.

Majoriti umat Islam telah bersetuju dengan apa yang terkandung di dalam sahih Bukhari dan Muslim ini.

Berbalik kepada perbincangan asal kita tadi, adakah memadai sekadar berpegang dengan Al-Quran di dalam soal agama, aqidah atau amalan (spt. solat, zakat, haji dan puasa)? Atau mungkinkah kita juga memerlukan sunah (hadis)?

Tiada pertikaian bahawa sunah Nabi saw telah membenarkan ayat-ayat Al-Quran. Dan pada dasarnya, sunah Nabi saw adalah berperanan menerangkan dan memperjelaskan Al-Quran. Sunah Nabi saw ini juga mengandungi hukum-hakam tambahan yang tidak terkandung di dalam Al-Quran.

Oleh yang demikian, sesiapa yang berkata bahawa memadai sekadar bergantung dengan Al-Quran dan tidak perlu kepada sunah bermakna dia menafikan firman Allah swt di dalam surah Al-Hasyr surah ke 59 ayat 7 yang bermaksud:

“..Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada kamu maka terimalah (serta amalkan), dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya).” [Al-Quran 59:7]

Juga firman Allah swt di dalam surah An-Nisa surah ke 4 ayat 59 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (sunnah) RasulNya - jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” 
[Al-Quran 4:59]

Merujuk kepada surah An-Nisa ayat ke 59 ini, maka sesiapa yang menolak sunah Nabi saw bermakna dia tidak taat kepada Nabi saw.

Ulama juga bersepakat bahawa sesiapa yang menolak sunah Nabi saw dan berkata bahawa memadai dengan Al-Quran, maka dia adalah kafir di sisi Allah swt.

Analoginya, kita tidak mungkin dapat mengetahui sifat (cara-cara) solat Nabi saw tanpa sunah. Allah swt memerintahkan kita untuk bersolat namun tidak memberitahu bagaimana (cara-cara) melaksanakannya. Allah swt juga tidak menerangkan jenis-jenis solat seperti Maghrib, Isyak’, Fajr (Subuh), Zuhur dan Asar. 

Bilakah waktu mengerjakannya? Bagaimana cara melaksanakannya? Semua itu kita belajar melalui sunah Nabi saw.

Saya rasa mereka yang hanya berpegang dengan Al-Quran tidak mampu melaksanakan ibadah solat, begitu juga zakat, puasa, haji dan sebagainya kerana amalan ini diambil daripada sunah Nabi saw.

Sumber: YouTube

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...