Pages

Monday, 16 September 2013

: : Pengharaman Rokok : :

Pengharaman Rokok[1]
oleh: Syeikh Muhammad al-Arifi


Pada suatu hari di bulan Ramadan, bulan yang mulia, saya telah dijemput untuk menghadiri satu majlis berbuka puasa. Terdapat ramai jemaah yang turut hadir pada majlis tersebut.

Setelah azan berkumandang, saya bersama-sama para jemaah yang lain berbuka puasa dengan menjamah terlebih dahulu beberapa biji kurma dan mendapatkan air sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah. Santapan utama pula, akan kami nikmati selepas Maghrib berjemaah.

Tatkala bersiap-siap untuk bersolat, salah seorang jemaah, mengeluarkan sekotak rokok, lalu mengambil sebatang rokok dan cuba untuk menghisapnya. Melihat keadaan tersebut, saya cuba untuk menghalangnya dari berbuat demikian (menghisap rokok).

Saya selanjutnya menasihatinya dengan berkata, “Kita telah berpuasa sepanjang hari, mengapa pula kita mahu mencemarkan puasa kita dengan perbuatan begini. Sepatutnya kita perlu bersyukur kepada Allah swt dengan melaksanakan ibadah solat, dan bertakwa kepadaNya bukannya dengan merokok.”

Namun, beliau berhujah bahawa merokok tidak menyalahi hukum Islam.

Saya terkejut bila mendengar jawapannya. Saya kemudian memintanya untuk berhenti merokok kerana saya boleh mengemukakan 16 dalil daripada Al-Quran dan 12 dalil daripada Hadis bahawa merokok haram dalam Islam.

Maklumat saya itu seolah-olah baru kepada lelaki tersebut. Seterusnya, saya memetik beberapa ayat suci Al-Quran yang menyokong pengharaman merokok.


Kitab suci Al-Quran menyebut di dalam suran al-A’raf surah ke 7 ayat 157:

“...ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk..” [Al-Quran 7:157]

Kita sedia maklum, semua telah bersepakat, baik orang-orang Islam mahupun bukan Islam, bahawa merokok adalah perkara yang buruk dan keji.

Allah swt juga berfirman di dalam surah al-Isra surah ke 17 ayat 27:

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” 
[Al-Quran 17:27]

Pembelian rokok termasuk dalam membelanjakan harta dengan sia-sia dan ia adalah satu pembaziran.

Al-Quran juga menyebut:

“...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..” [Al-Quran 2: 195]

Selepas saya memberikan kira-kira 10 dalil yang membuktikan merokok adalah haram, lelaki itu lalu mengakui bahawa merokok adalah haram dan bermula saat itu, dia bertekad untuk berhenti merokok.





[1] Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...