Pages

Monday 21 October 2013

: : Pandangan Muslim Terhadap Jesus a.s : :

Pandangan Muslim Terhadap Jesus (Isa alaihi salam)

Umat Islam menghormati dan memuliakan Jesus a.s (Nabi Isa a.s). Tidaklah dikira Muslim seseorang Muslim itu jika dia tidak mempercayai Jesus a.s. Selain itu, umat Islam juga percaya bahawa Jesus a.s adalah salah seorang dari rasul Allah swt.

Seorang Muslim tidak merujuk kepada beliau hanya sebagai ‘Jesus’ atau  ‘Isa’, tetapi sentiasa menambah ungkapan “’alaihi salam (a.s)” yang bermaksud selamat dan sejahtera ke atasnya;


Al-Quran mengesahkan kelahiran Jesus a.s yang mengagumkan (ajaib); iaitu daripada seorang wanita yang perawan yang bernama Maryam (Mary). Malah, Maryam ketika zamannya itu dipilih sebagai wanita yang paling mulia di sisi Allah swt sebagaimana yang dirakamkan Al-Quran:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).” [Al-Quran 3:42]

Al-Quran merakamkan perihal kelahiran mengagumkan Jesus a.s di dalam surah Ali Imran, surah ke 3 ayat 45-47 sebagaimana berikut:

45. (Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa ibni Maryam (Jesus), seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didekatkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).

46. “Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh.”

47. Maryam berkata: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ‘Jadilah engkau ', lalu jadilah ia.”

[Al-Quran 3:45-47]

Kuasa Allah terhadap penciptaan atau kelahiran Jesus a.s yang ajaib ini adalah sama sepertimana Allah menciptakan Nabi Adam a.s sebagaimana firman Allah swt, di dalam surah Ali Imran, surah ke 3 ayat 59:

“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa (Jesus) di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka jadilah ia.” [Al-Quran 3:59]

Bahkan, penciptaan Nabi Adam a.s ini adalah lebih ajaib berbanding kelahiran Jesus a.s kerana Nabi Adam a.s bukan sahaja tidak mempunyai bapa, malah beliau juga tidak mempunyai ibu. Sebaliknya, Jesus a.s walau tidak berbapa namun masih lagi mempunyai ibu.

Semasa misi dakwah Jesus a.s sebagai pesuruh Allah, Allah swt telah menganugerahkan pelbagai keajaiban kepada beliau. Al-Quran menceritakan perihal ini di dalam surah Ali Imran, surah ke 3 ayat 49:

“Dan sebagai seorang rasul kepada bani Israel, (dia Jesus berkata kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah;

dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.

Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.” [Al-Quran 3:49]

Keajaiban yang telah diberikan oleh Allah swt ini adalah untuk mengisytiharkan atau membuktikan dirinya adalah rasul atau utusan Allah.

Selain itu, umat Islam percaya bahawa Jesus a.s tidak disalib sebaliknya diangkat ke langit seperti yang dirakamkan oleh Al-Quran di dalam surah an-Nisa, surah ke 4, ayat 157-158:

 “Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa ibni Maryam (Jesus), rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya (di kayu salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa (Jesus), sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.”

“Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa (Jesus) kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

[Al-Quran 4:157-158]

Baik Nabi Muhammad saw mahupun Jesus a.s (Nabi Isa a.s) kedatangan mereka bukan untuk menukar doktrin atau ajaran tauhid (kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa), yang telah di bawa oleh nabi-nabi sebelum ini, tetapi untuk mengesahkan dan melengkapkannya. Kitab suci Al-Quran menyebut di dalam surah Ali Imran, surah ke 3, ayat 50:

“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.” [Al-Quran 3:50]

Sumber: en.islamway.net

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...