Pages

Monday 21 April 2014

: : Mukjizat : :

Mukjizat


Dalam Islam mukjizat atau keajaiban adalah suatu perkara yang luar biasa atau peristiwa yang bertentangan dengan hukum alam dan hanya berlaku melalui campur tangan langsung daripada Allah swt sendiri. Mukjizat berasal daripada perkataan 'ajz, yang bererti sesuatu yang berketidakupayaan, tidak boleh ditentang atau unik. 

Menurut ajaran Islam, mukjizat hanya berlaku kepada para Nabi dan Rasul Allah dengan izin-Nya. Mukjizat bukan sihir yang merupakan suatu helah atau ilusi. Bukan juga karamah yang berlaku kepada orag-orang yang soleh.
Para Nabi dan Rasul yang diutus oleh Allah swt berperanan untuk membimbing manusia. Mereka terdiri daripada kalangan manusia sendiri. Namun mereka memiliki watak yang cemerlang, soleh, boleh dipercayai dan menjadi contoh kepada manusia yang lain sebagai ikutan (role model). 

Selain itu, adalah mustahak untuk diketahui bahawa para Nabi dan Rasul adalah bukan Tuhan atau separa-Tuhan dan bukan juga manusia yang bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan.


Namun, walau datang dari kalangan manusia biasa, para Nabi dan Rasul memiliki ciri-ciri akhlak yang agung kerana mereka mempunyai kewajipan untuk menghadapi ujian dan dugaan yang hebat bagi menyebarkan mesej kepada manusia supaya menyembah Allah swt yang Maha Esa semata-mata.

Kitab suci Al-Quran menyebut di dalam surah az-Zariyat, surah ke 51, ayat 56:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [Al-Quran 51:56]

Dalam usaha untuk menjadikan para Nabi dan Rasul yang berwibawa dalam menyampaikan mesej dakwah pada masa, tempat dan kaum yang tertentu, Allah telah menganugerahkan kepada mereka mukjizat yang relevan, sesuai dan mudah difahami oleh kaum mereka pada masa itu.

Sebagai contoh, pada zaman Nabi Musa a.s, sihir dan ilmu hitam tersebar dengan meluas. Untuk itu, Nabi Musa dianugerahkan mukjizat yang relevan pada masa beliau seperti tongkat menjadi ular.

Begitu juga dengan Nabi Isa a.s. Ketika zamannya, kaumnya yang berbangsa Israel sangat berpengetahuan dalam bidang perubatan. Oleh yang demikian, Mukjizat Nabi Isa a.s antaranya adalah berkisar tentang perubatan seperti baginda mampu mengembalikan penglihatan kepada orang buta, menyembuhkan penyakit kusta dan menghidupkan orang yang telah mati dengan izin Allah swt.

Kitab suci Al-Quran menyebut:

“(Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa Ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan ruhul-qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis, membaca dan hikmat pengetahuan, khasnya kitab taurat dan kitab injil; 

dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinKu; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; 

dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: "Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata.” [Al-Quran 5:110]

Sebuah keajaiban atau mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada para RasulNya dalam apa jua bentuk akan menghasilkan sesuatu yang akan memberikan kebaikan serta sebagai tanda kebenaran.

Sihir juga menghasilkan sesuatu yang luar biasa; walau bagaimanapun perkara luar biasa yang datang dari sihir akan menghasilkan sesuatu yang memudaratkan. Ini kerana sihir hanya dilakukan oleh orang-orang jahat serta dilakukan dengan bantuan daripada syaitan. 

Selain itu, perbezaan lain yang ketara antara mukjizat dan sihir adalah; mukjizat tidak boleh dipelajari atau dibuat-buat, sebaliknya sihir boleh dipelajari dan dibuat-buat.

Al-Quran mengisahkan perihal perbezaan sihir dan mukjizat ini ketika peristiwa Nabi Musa a.s berhadapan dengan ahli sihir Firaun. 

Kitab suci Al-quran menyebut:

“Mereka berkata: "Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?" 

Nabi Musa menjawab: "Campakkanlah kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya). 

Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan. Oleh itu, kalahlah Firaun dan ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina. 

Dan (Kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud, sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam. "(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun". [Al-Quran 7:115-122]

Ahli sihir yakin bahawa Nabi Musa a.s tidak melakukan suatu helah atau ilusi. Mereka faham akan perbuatan sihir dan helah. Sebab itulah mereka (ahli sihir) menerima kebenaran dan turun sujud kepada Allah, walaupun mereka yakin sepenuhnya bahawa ia akan membawa mereka kepada kematian kerana telah melanggar arahan dan perintah Firaun.

Selanjutnya, pada zaman Nabi Muhammad saw, orang-orang Arab, walaupun kebanyakannya adalah ummi (orang yang tidak tahu membaca dan menulis), namun masyarakat Arab ketika itu adalah pakar dalam perkataan yang dituturkan oleh mereka. Mereka terkenal dengan syair-syair mereka. Bahkan, syair dan prosa yang mereka miliki dianggap cemerlang dan model kecemerlangan sastera pada waktu itu.  Untuk itu, Al-Quran hadir sebagai Mukjizat bagi Nabi Muhammad saw.

Umat Islam meyakini bahawa Al-Quran merupakan mukjizat teragung baginda Nabi Muhammad saw. Namun, berbanding mukjizat-mukjizat yang terdapat pada Nabi dan Rasul yang lain, mukjizat Al-Quran dilihat lebih utama. Ini kerana Al-Quran bukan sahaja merupakan sebuah mukjizat ketika zaman baginda saw, namun masih kekal relevan sebagai mukjizat teragung pada hari ini, bahkan sehingga hari kiamat.

Adaptasi dari artikel Miracle, www.islamreligion.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...