Pages

Wednesday 20 July 2016

: : 7 Alasan Mengapa Kita Perlu Membaca Al-Quran : :

7 Alasan Mengapa Kita Perlu Membaca Al-Quran
Oleh: Shabir Ali


1.      Mukjizat

Al-Quran merupakan mukjizat teragung yang diberikan kepada baginda Nabi Muhammad saw. Mukjizat ini tidak mampu untuk ditiru atau ditandingi oleh mana-mana makhluk. Malah Allah swt sendiri telah menegaskan di beberapa tempat di dalam Al-Quran, bahawa manusia tidak mampu untuk mendatangkan sesuatu yang sama seperti Al-Quran, walaupun mereka (manusia dan jin) berkumpul bersama-sama dan saling bantu membantu. Sejak lebih 1400 tahun Al-Quran diturunkan sehingga ke hari ini; telah ada berbilion buah buku yang dihasilkan, tetapi tidak ada satu pun yang sama dengan Al-Quran.

2.      Tulen/Asli (Tiada sebarang perubahan)

Al-Quran merupakan sebuah kitab suci yang cukup tua. Ia diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu. Walaupun telah lama beredar di serata pelusuk, namun Al-Quran tetap utuh, tidak ada sebarang perubahan sejak ia mula diturunkan. Bahkan, Tuhan sendiri menegaskan bahawa Dia yang telah memelihara Al-Quran. Al-Quran benar-benar kekal asli sebagaimana ia diturunkan sejak 1400 tahun yang lalu.

3.      Kitab Wahyu Terakhir

Al-Quran adalah wahyu Allah swt yang terakhir kepada manusia. Sebelum itu, Allah swt telah menurunkan Taurat kepada Nabi Musa a.s, Zabur kepada Nabi Daud, Injil kepada Nabi Isa a.s, dan akhirnya Al-Quran kepada baginda Nabi Muhammad saw. Tidak ada lagi wahyu yang lain yang akan datang dari Allah untuk mengatasi/menggantikan wahyu terakhir ini.

4.      Kebenaran Al-Quran

Tidak ada sesiapapun yang boleh mempertikaikan kebenaran kitab suci ini. Al-Quran bercakap tentang sejarah masa lalu dan ternyata betul. Ia membicarakan tentang masa depan dan ternyata betul. Ia menyebut perihal butiran fenomena fizikal yang tidak diketahui oleh manusia pada masa itu; namun penemuan saintifik moden kemudiannya mengesahkan bahawa selama ini Al-Quran adalah betul. Buku-buku yang lain perlu disemak semula supaya selaras dengan pengetahuan moden. Al-Quran sebaliknya tidak pernah bercanggah dengan penemuan moden.

5.      Buku Panduan Terbaik

Al-Quran merupakan buku panduan terbaik untuk memandu kehidupan manusia ke arah kesejahteraan, keamanan dan keharmonian. Tidak ada buku selain Al-Quran yang mengutarakan pelbagai sistem yang menyeluruh yang melibatkan semua aspek kehidupan manusia. Selain itu, Al-Quran juga menunjukkan cara untuk mendapatkan kebahagiaan yang kekal di akhirat nanti. Ia adalah pelan tindakan atau peta yang menunjukkan dan menerangkan kepada anda bagaimana untuk sampai ke syurga.

6.      Anugerah Rahmat Dari Tuhan

Allah swt setelah mencipta kita, tidak membiarkan kita begitu sahaja atau tanpa panduan. Kita manusia dicipta bukan untuk sia-sia. Tuhan telah memberitahu kita mengapa Dia menciptakan kita, apa yang perlu kita lakukan, dan apa yang telah disediakan untuk kita. Katakan kita mengendalikan satu mesin, tetapi kita tidak mengikut manual atau spesifikasi pencipta mesin tersebut, sudah tentu kita akan merosakan mesin tersebut. Bagaimana pula dengan diri kita? Adakah kita juga mempunyai manual yang disediakan oleh Pencipta untuk kita? Sudah pasti ya dan manual bagi kita adalah Al-Quran. Al-Quran adalah manual istimewa dari Tuhan untuk kita berfungsi dengan baik. Ia adalah rahmat penyembuhan dari Allah. Ia memenuhi keperluan jiwa dan membersihkan hati. Ia juga membuang keraguan dan membawa keamanan.

7.      Bahan Perantara Untuk Berkomunikasi Dengan Tuhan

Manusia adalah makhluk sosial. Manusia suka berkomunikasi dan berinteraksi dengan kehidupan pintar yang lain. Al-Quran memberitahu kita bagaimana untuk berkomunikasi dengan sumber bagi segala kepintaran yakni Allah swt Tuhan Yang Maha Esa. Al-Quran memberitahu kita siapa Tuhan, bagaimana kita seharusnya menyebut nama Tuhan, dan bagaimana cara untuk berkomunikasi dengan-Nya.

Terjemahan: Mohd Aziz

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...