Pages

Sunday 31 July 2016

: : Yaumul Azan : :

Yaumul Azan
Oleh: TG Hj Nik Abdul Aziz


Hari akhirat juga disebut yaumul azan iaitu hari seruan (azan). Diriwayatkan, seorang alim bernama Towus pergi berjumpa khalifah yang bernama Hisyam bin Abdul Malik, di zaman Hajjaj as-Saqafi menjadi gabenornya. Lalu tuan guru bernama Towus itu berkata kepada khalifah Hisyam, “Wahai khalifah, hendaklah kamu merasa gerun kepada suatu hari yang diberi nama Yaumul Azan.”

Lalu Khalifah Hisyam bin Abdul Malik bertanya kepada Towus, “Apakah yang dimaksudkan Yaumul Azan itu?” Lalu Thowus membacakan firman Allah swt surah Al-A'raf, surah ke 7 ayat 44:

Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: "Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?". Mereka menjawab: "Benar ada". Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: "Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim". [Al-Quran 7:44].

Azan yang dilaungkan oleh malaikat itu bukan azan yang menyeru Haiya ‘alas Solah, Haiya ‘alal Falah, sebaliknya azan itu berbunyi An La’natullah ‘Alaz Zolimin yang bermaksud; ‘Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim’. Mendengar penjelasan itu Khalifah Hisyam bin Abdul Malik jatuh pengsan.

Apabila Thowus melihat Khalifah Hisyam bin Abdul Malik pengsan, Towus berkata, “Khalifah Hisyam bin Abdul Malik ini pengsan hanya sekadar mendengar firman Allah mengenai Yaumul Azan, beliau belum lagi melihat hari kiamat yang bernama Yaumul Azan.”

Demikianlah seorang khalifah yang beriman kepada Allah swt dan juga hari akhirat. Seorang khalifah yang menjalankan pemerintahannya berdasarkan hukum dan syariat Allah swt, sangat mudah menerima teguran ataupun nasihat daripada kalangan ulama. Beliau sedia mendengar sebarang nasihat yang ditujukan kepadanya, lebih-lebih lagi nasihat yang dibacakan kepadanya itu adalah daripada Al-Quran.

Sumber: Bertemu Janji Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...