Pages

Saturday 12 January 2013

: : Keutamaan Solat Sunat & Solat Malam : :

Sebelas Hadis Keutamaan Solat Sunat & Solat Malam
Susunan: Mohd Aziz


Allah swt berfirman di dalam Al-Quran, surah Al-Muzammil: 

"Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu." [Al-Quran 73:1-3]


1.       Hadis Pertama

Rubai’ah bin Ka’ab al-Aslami r.a berkata:

“Suatu hari aku bersama Rasulullah saw, lalu aku membawakan kepadanya benjana air untuk beliau berwudhu’ dan untuk segala keperluannya.

Lalu beliau berkata kepadaku, ‘Mintalah!’
Aku berkata, ‘Aku minta kepadamu untuk dapat menemanimu di Syurga kelak.’
Beliau bertanya pula, ‘Adakah lagi selain daripada itu’

Aku menjawab, ‘Hanya itu saja.’

Beliau bersabda, ‘Bantulah aku untuk mencapai keinginanmu itu dengan memperbanyakkan sujud’. ”

[HR Muslim:489]

2.       Hadis Kedua

Rasulullah saw bersabda: “Barang siapa yang melakukan solat sunnah selain solat fardu dalam sehari dua belas rakaat, maka Allah pasti akan membangunkan untuknya sebuah rumah di Syurga.”

[HR Muslim 728]

Diriwayatkan at-Termizi dan an-Nasai, dua belas rakaat yang dimaksudkan adalah ditafsirkan sebagai; 4-rakaat sebelum Zohor, 2-rakaat selepas Zohor, 2- rakaat selepas Maghrib, 2- rakaat selepas Isya’ dan 2-rakaat sebelum Subuh.

3.       Hadis Ketiga

Mi’dan bin abi Thalhah al-Ya’muri berkata, “Aku bertemu Tsauban, bekas budak Rasulullah saw, lalu aku berkata kepadanya, ‘Beritahulah kepadaku tentang amal ibadah yang jika aku lakukan, maka Allah akan memasukkanku kerananya ke dalam syurga!’

Ia (Tsauban) terdiam, lalu aku bertanya lagi. Ia masih terdiam, lalu aku bertanya lagi kali ketiganya. Akhirnya ia berkata, ‘aku telah menanyakan masalah ini kepada Rasulullah saw dan beliau bersabda:

“Perbanyakan sujud kepada Allah, kerana tidaklah engkau bersujud kepada Allah dengan satu kali sujud, melainkan Allah akan mengangkat bagimu satu derajat kerananya dan menghapuskan bagimu satu dosa kerananya.”

Mi’dan berkata: “Lalu aku bertemu Abu Darda’ dan aku tanyakan masalah ini kepadanya juga. Ia menjawab seperti jawaban yang diberikan Tsauban.

[HR Muslim:488]

Yang dimaksudkan dengan sujud dalam hadis ini adalah melakukan solat sunat. Bersujud, walaupun termasuk dalam solat fardu, namun melaksanakan solat fardu adalah kewajipan atas setiap muslim. Maka yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw di sini adalah, sesuatu yang khusus yang dengannya Mi’dan dapat meraih apa yang ia cari.

4.       Hadis Keempat

Dari Abu Umamah r.a, ia berkata, bahwa Rasulullah saw bersabda:

“Tidak ada sesuatu yang lebih baik yang Allah izinkan kepada seorang hamba selain melaksanakan solat dua raka’at dan sesungguhnya kebajikan akan bertaburan di atas kepala seorang hamba selama ia melakukan solat.”

[HR Termizi:2911]

5.       Hadis Kelima

Dari abu hurairah r.a, ia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya yang pertama sekali akan di hisab dari amal perbuatan ummat manusia kelak pada hari Kiamat adalah solat. (Beliau saw melanjutkan;) Allah Jalla wa ‘Azza berfirman kepada Malaikat-Nya dan Dia lebih mengetahui-: ‘Lihatlah solat hamba-Ku, apakah dia mengerjakannya dengan sempurna ataukah terdapat kekurangan padanya?’

Jika solat yang dikerjakannya itu sempurna, maka akan dicatat baginya (pahala) solat yang sempurna. Namun jika terdapat kekurangan padanya, maka Allah swt berfirman: ‘Lihatlah apakah hamba-Ku itu mempunyai ibadah tambahan? Jika hamba itu memiliki ibadah tambahan, Dia akan berfirman: ‘Sempurnakanlah ibadah fardu hamba-Ku dengan ibadah tathawwu’nya (sunatnya).

Kemudian amal-amal yang lain juga dihisab dengan cara yang sama seperti itu.

[Diriwayatkan oleh Ahmad dan keempat imam penyusun kitab as-Sunan]

6.       Hadis Keenam

Dari Aisyah r.anha, dari Nabi saw, beliau bersabda:

“Dua rakaat sebelum solat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya [Sungguh! Keduanya lebih aku sukai daripada dunia secara keseluruhannya].

[HR Muslim] 



7.       Hadis Ketujuh
  
Ibnu Umar r.anhuma, bahawa ia berkata: “ Seseorang di masa hidup Rasulullah saw apabila bermimpi menceritakannya kepada beliau. Maka aku pun berharap dapat bermimpi, agar aku dapat menceritakan kepada Rasulullah saw.

Saat aku muda, aku tidur di dalam masjid lalu aku bermimpi seakan dua Malaikat membawaku ke Neraka. Ternyata Neraka itu berupa sumur yang dibangun dari batu dan memiliki dua tanduk. Di dalamnya terdapat orang-orang yang aku kenal. Aku pun berkata ‘Aku berlindung kepada Allah dari Neraka!’.

Umar melanjutkan ceritanya, ‘Malaikat yang lain menemuiku seraya berkata, ‘Jangan takut!’ Akhirnya aku ceritakan mimpiku kepada Hafshah dan ia menceritakannya kepada Rasulullah saw, lalu beliau bersabda:

“Sebaik-baik hamba adalah Abdullah seandainya ia melakukan solat pada sebahagian malam.”

Akhirnya Abdullah tidak pernah tidur di malam hari kecuali hanya beberapa waktu sahaja.

[HR Bukhari:1122] 

Ibnu hajar berkata: “Yang menjadi dalil dari masalah ini adalah sabda Nabi saw: ‘Sebaik-baik hamba adalah Abdullah seandainya ia melakukan solat pada sebahagian malam.’ Kalimat ini menunjukkan bahawa orang yang melakukan solat malam adalah orang yang baik. Ia berkata lagi, ‘Hadis ini juga menunjukkan bahawa solat malam mampu menjauhkan pelakunya dari azab seksa.’

8.       Hadis Kelapan

Dari Abdullah bin Amr bin al-ash r.anhuma ia menuturkan, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Solat yang paling dicintai Allah adalah solat Nabi Dawud a.s dan puasa yang dicintai Allah juga puasa Nabi Dawud a.s. Beliau  tidur setengah malam, bangun sepertiga malam dan tidur lagi seperenam malam serta berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

[HR Bukhari;3420]

9.       Hadis Kesembilan

Dari Jabir bin Abdullah r.a ia berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya pada waktu malam terdapat satu waktu, yang apabila seseorang Muslim memohon kepada Allah dari kebaikan dunia dan akhirat pada waktu tersebut, maka Allah pasti akan memberikan kepadanya, dan hal tersebut ada pada setiap malam”.

[HR Muslim: 757] 


10.     Hadis Kesepuluh 

Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a ia berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang bangun pada waktu malam dan ia pun membangunkan isterinya lalu mereka solat bersama dua rakaat, maka keduanya akan dicatat termasuk kaum laki-laki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah”

[HR Abu Dawud: 1451]

11.     Hadis Kesebelas

Dari Abdullah bin Salam r.a, ia berkata, “Yang pertama sekali aku mendengar daripada Rasulullah saw adalah sabda beliau:

“Wahai manusia, tebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah tali silaturahim dan solatlah pada malam hari saat manusia tertidur, nescaya kalian akan masuk Syurga dengan selamat.”

[HR Termizi: 2485]

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...