Pages

Thursday 21 March 2013

: : Istiqamah : :

Istiqamah
Oleh: TG Haji Abdul Hadi


 Dari Sufian bin Abdillah r.a katanya:

“Aku pernah berkata kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah katakanlah kepada saya berkenaan dengan Islam perkataan atau ucapan yang jelas dan yang tidak perlu lagi saya bertanya kepada orang lain”.

Lalu Rasulullah saw bersabda:

“Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamah”.

Hadis ini memberi pengajaran yang sangat penting kepada kita bagi menentukan keselamatan , kebahagiaan serta kejayaan seseorang itu di dunia dan di akhirat; iaitu apabila ia berpegang kuat dengan agama yang dikenali dengan istiqamah.
Allah swt memerintahkan kepada orang-orang yang beriman supaya memohon pertolongan dari Allah untuk beristiqamah mengikut jalan yang betul dan tetap di atas jalan itu; kerana di dunia ini terdapat banyak ujian dan cabaran yang boleh memesongkan manusia dari jalan yang betul itu.

Allah mengajar kita supaya memohon kepada-Nya pada tiap-tiap rakaat sembahyang seperti yang terdapat di dalam surah Al-Fatihah ayat ke 6 yang bermaksud:

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus” [Al-Quran 1:6]

Sesiapa yang beriman kepada Allah swt dan mengikut jalan yang betul serta beristiqamah dengannya, Allah menyelamatkannya dan mengurniakan kekuatan kepadanya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Allah swt berfirman di dalam surah Fussilat ayat 30-31 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; di dalamnya (syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu minta.” 
[Al-Quran 41: 30-31]

Itulah kejayaan yang dicapai oleh orang-orang yang istiqamah.

Sumber: Penghujung Kehidupan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...