Pages

Monday 11 March 2013

: : Mengahwini Perempuan Lacur : :

Mengahwini Perempuan Lacur
Oleh: Prof. Dr. Hamka



Soalan

Saya adalah seorang pemuda yang telah bekerja sebagai verkooper pada salah satu toko di Padang. Sifat saya selama ini berbeza dengan pemuda-pemuda yang lain, iaitu saya takut sekali berhubungan dengan kaum perempuan.

Akan tetapi, pada suatu hari saya bertemu dengan seorang perempuan di tengah jalan. Mungkin kerana telah datang agaknya masa bagi saya untuk mendirikan rumah tangga, kerana hati, saya terus tertarik kepada perempuan yang lalu itu. Sesudah saya selidiki, ternyata perempuan itu hidup bersama orang tuanya di dalam kesempitan.

Kerana kasihan pula melihat penghidupannya, apatah lagi cinta saya kepada perempuan itu sudah muncul, maka saya majukan lamaran kepada orang tuanya, supaya anaknya itu berkahwin dengan saya mengikut hukum Islam.

Dalam pada itu saya minta pula keizinan kepada orang tua saya dan mereka lantas memperkenankan. Semuanya sudah muafakat, tinggal menanti hari pernikahan sahaja.

Akan tetapi, menjelang perkahwinan kami yang akan berlangsung, saya mendapat berita yang penuh dengan bukti-bukti yang sah, bahawa bakal isteri saya itu adalah perempuan kotor, iaitu perempuan lacur. Perasaan cinta dan kasihan saya mendalam benar.

Di samping itu, saya juga berpendapat, kalau saya langsungkan terus pernikahan itu, bukankah bererti saya telah berjasa mengurangkan jumlah perempuan lacur yang merosakkan masyarakat kita? 

Setelah orang kampung saya mengetahui akan hal itu, mereka tidak setuju kalau saya mengahwini perempuan itu. Kalau saya kahwini juga, maka saya akan dibuang dari masyarakat di negeri saya. Di sini saya seperti makan buah simalakama, ke mari sulit ke sana sukar.

Jika perempuan itu tidak jadi saya kahwini tentu perempuan itu akan meneruskan pekerjaan yang terkutuk itu. Sebaliknya kalau saya kahwini, saya akan dibuang dari lingkungan orang kampung saya. Bagaimanakah yang sebaiknya sikap saya?

Jawapan

Sudah nyata oleh kami apa sebab makanya orang kampung halaman tuan itu keberatan menerima pernikahan ini. Keberatan mereka adalah berdasarkan atas adat istiadat dan agama.

Perempuan lacur dimisalkan dengan pepatah “sumur di tepi jalan”, tempat minum orang yang tengah kehausan, pelepas nafsu angkara syaitan. Kalau sekiranya orang kampung tidak setuju atas pernikahan itu, bukanlah lantaran mereka benci kepada tuan, tetapi kerana sayang. Orang baik-baik janganlah dijodohkan dengan orang yang terkenal tidak baik.

Keberatan agama pun telah nyata pula, di dalam perkara ini. Iaitu kalau sekiranya seorang perempuan penzina, yang akan menjadi jodohnya ialah lelaki penzina juga.

Kerana kalau sekiranya mereka beroleh anak daripada pernikahan itu, bentuk suasana pergaulan dan kelakuan ayah bondanya tentu akan menurun kepadanya.

Agama Islam mengehendaki keturunan yang suci bersih, jangan hendaknya, kerosakan keturunan itu timbul lantaran kesalahan orang tua, yang akan menimbulkan sesalnya di kemudian hari.

Memang, setelah diselidiki jalan masyarakat ini, dilihat pergaulan hidup sehari-hari, maka sebab pelacuran itu ramai sekali. Ada orang perempuan yang melacurkan diri lantaran keturunannya bangsa pelacur juga.

Ada pula disebabkan terlampau bebas pergaulan, buruk pembacaan, dan kurang penjagaan di masa umur pancaroba. Tetapi ada lantaran ditipu orang. Dan tidak kurang pula lantaran ditimpa kemiskinan. Tidak ada lagi baginya jalan lain untuk mencari makan, melainkan dengan melacurkan diri.

Di negeri-negeri yang besar-besar terdapat ramai perempuan lacur yang berasal daripada kemiskinan dan kelaparan itu. Di kampung-kampung masih teguh pertalian keluarga, baik yang hampir atau jauh.

Kemiskinan belumlah sampai menyebabkan lapar. Sawah ladang masih ada, sekurang-sekurangnya masih dapat menerima upah menanam, menerima upah ke ladang dan lain-lain.

Sebab itu, maka perempuan melacur di desa yang belum termasuk kota, bukanlah kerana kelaparan asalnya, hanya kerana kurang didikan, rosak keturunan, bebas pergaulan, dan pujuk cumbu pemuda yang biasa dinamai orang “hidung belang”.

Ada pula pelacuran muncul lantaran tidak tahan berlaki tua bangka, yang beristeri pula yang lain sampai bertiga dan tidak sanggup mencukupkan nafkah batin, hanya bergilir ke rumah segenap isterinya.

Biasanya perempuan-perempuan yang melacur kerana sesat langkah dan kerana kelaparan itu, ada pula datang masanya insaf. Dia menyesal akan perbuatannya, dia ingin berumah tangga seperti orang lain pula, dia ingin hendak bersuami dan beranak.

Tetapi masyarakat telah memuntahkannya. Dia hanya di pandang orang pelepas nafsu, bukan hendak dipelihara orang. Orang tidak percaya lagi kepadanya, orang menjangka, kalau asal anjing, walau pun dipukul 10 kali, dia akan kembali juga ke tempat tulang busuk itu. Sebab itu, walau bagaimanapun perempuan demikian menyatakan taubatnya, tidaklah orang cepat menerima.

Pernah juga kita bertemu dengan perempuan lacur yang taubat itu, menjadi seorang isteri yang setia, taat beribadat, kuat bersedekah, giat mengaji dan amat hormat akan guru, berbaik dengan keluarga dan tetangganya. Kerana rupanya dari bermula sudah ada juga dasar baik di dalam jiwa, cuma “nasib” yang memaksa terpesorok ke sana.

Sekali-kali memang ada perempuan lacur demikian, bertemu dengan lelaki yang ada keinsafan pula. Jika datang tawaran dari lelaki tadi, melihat kejujuran perempuan itu, sudilah dia berkorban, sudi dia memeliharanya.

Sebab jika orang lain hanya sanggup membawa perempuan baik-baik dan gadis ke dalam lembah pelacuran, maka dia pun sanggup hendak membawa perempuan lacur ke atas daratan kesucian.

Kalau ada niat yang begini, dan ada pula perempuan yang begini, tentu agaknya larangan agama yang keras tadi, bisa longgar, bisa diringankan. Kita memang menyuruh tuan berfikir benar dahulu sebelum pekerjaan itu dilangsungkan.

Jangan hanya kerana memperturutkan agan-angan dan rasa “tertarik” sebagai seorang anak muda, lalu kurang difikirkan apakah hikmatnya, maka ada larangan agama pada perkara demikian, walau pun jika terjadi nikah, nikah itu sah juga.

Satu perkara yang mesti diulang kembali memikirkan, iaitu mengapa kemudian baru tahu bahawa perempuan yang akan dikahwini itu rupanya perempuan lacur? Apakah murah saja menjadi “tertarik”? Kalau sekiranya seseorang mudah “tertarik” kepada sesuatu, alamat kelak akan mudah pula hilang tarikan itu.

Padahal, sedangkan akan membeli atau menyewa rumah baru, bukan rumah yang dibicarakan, melainkan tetangga berdekatan rumah itulah terlebih dahulu dibicarakan.

Untuk berangkat ke negeri lain, sebelum menentukan jalan mana yang akan ditempuh, lebih dahulu mesti ditentukan siapa kawan di dalam perjalanan. Ini seorang teman hidup, kawan selapik seketiduran, sehidup semati, baru dapat diketahui bahawa dia perempuan lacur?

Sehendaknya, kalau secara jujur, kalau memang ada dasarnya hendak baik dari bermula sudah dapat ditilik. Sayang setengah anak muda gelap tilikannya itu lantaran dorongan “cinta”.

Kalau memang perempuan itu ada dasar akan baik, tentu dikenalkan dirinya dahulu kepada lelaki yang ingin kepadanya itu. “Hamba ini bangsa di bawah, hamba ini orang hina. Sudikah tuan menerima kehinaan hamba?”

Seandainya bahawa tidak dinyatakan bagaimana cacat dirinya itu, maksudnya ialah supaya cepat bersuami dan cepat ada baginya kesempatan untuk memperbaiki diri di belakang hari. Lelaki itu haruslah benar-benar percaya akan kekuatan dirinya, kenal akan sebab-sebab kekuatan itu.

Jangan hanya menurutkan angan-angan pada suatu perkara yang belum terjadi. Kerana kalau sekiranya dia kurang kuat kelak, lalu kedapatan olehnya (maaf pembaca) isterinya seketiduran dengan lelaki lain di dalam kamarnya, ke manakah mukanya akan dia sembunyikan? Andai kata dia murka atau marah, diambilnya pisau, disembelihnya lelaki lain itu. Apakah kata masyarakat kepadanya?

Tentu masyarakat akan berkata, “si anu membunuh orang, si anu terbuang, kerana mempertahankan perempuan lacur!”.

Ah, anak muda, memang kita akui seorang itu kuat kalau dia sanggup membersihkan barang yang kotor. Tetapi cubalah dahulu menjaga kebersihan barang yang masih suci, kerana itu tidaklah seberat mengasah barang yang telah kotor. Carilah barang yang suci itu, barang itu masih banyak dikelilingi tuan-tuan. Kalau tidak ada lagi, apa boleh buat, ambillah barang kotor, dan usahakanlah membersihkannya.

Kata tuan cukup bukti menyatakan, bahawa dia perempuan lacur. Dan tuan sangat cinta kepadanya! Kalau demikian ternyata cinta tuan itu berpenyakit. Tiap-tiap penyakit itu ada masa krisisnya, dan kelak akan datang pula masa hadapi krisis itu.

Ubatnya yang paling mujarab hanya satu, iaitu tunduk kepada perintah agama di dalam perkara ini. Setelah itu cari perempuan yang baik-baik, cari perempuan suci. Tentu tuan akan berkata, “Saya tak cinta kepada perempuan baik itu, sebab itu belum tentu akan selamat pergaulan saya. Sedang kepada perempuan lacur itu saya cinta, tentu akan selamat suatu pergaulan yang dibawa dengan cinta.”

Di dalam perkara ini lebih baik kita menilik “tuah kepada yang menang, celaka kepada yang kalah”. Biasanya memang tiap-tiap pernikahan dengan perempuan suci yang tidak dimulai dengan “bismi cinca” itu hambar saja bermula, tetapi kian lama kian manis. Ada pun dengan perempuan sebagai yang tuan rasai, tak ubahnya dengan tipu daya dunia, awalnya manis, akhirnya pahit, penutupnya sesal.

Tidak salah Allah memisalkan dunia kepada Nabi Muhammad ketika Nabi Mikraj ke langit, dengan perempuan lacur itu. Tuan berkata bahawa, tuan takut kalau-kalau tidak tuan nikahi dia, dia akan terus juga dalam pelacuran?

Ah, tuan penyayang benar tuan kiranya. Syukur tuan tinggal di negeri kecil. Kalau sekiranya tuan tinggal di kota yang agak besar sebagai tinggal kami ini, tentu kerap tuan mengeluh kerana hampir setiap saat, setiap waktu, kelihatan perempuan muda, yang kelmarin masih gadis, kelmarin masih babu di rumah orang baik-baik, kelmarin masih anak sekolah di dalam pergaulan sopan, tetapi kemudian telah kelihatan menjadi kupu-kupu malam…


Tak usahlah itu tuan pedulikan. Masih banyak perkara yang lain. Setengah di antara perkara besar itu ialah mencari bakal isteri orang baik-baik, bukan tertarik oleh cantik rupanya, bukan oleh kaya rayanya, bukan pula oleh tinggi keturunannya, melainkan tertarik oleh keagamaannya.

Dengan isteri itu kelak, berdiri sebuah rumah tangga permai, lahir anak-anak yang segar bugar, akan menyambung keturunan yang sundut-bersundut, sehingga kalau mati kelak ada peninggalan yang akan disebut orang.

Inilah nasihat yang dapat kami berikan. Entah kolotkah ini, entah sefaham dengan orang kampung itu, pulang ma’lum kepada tuan. Tetapi jika langsung juga pernikahan itu, tidaklah kami akan menyisihkan tuan dari masyarakat kami, sebagai kejadian dengan orang kampung itu. Melainkan kami akan mengeluh saja, kerana ada pula nasihat kami tidak terpakai.

Sumber: 1001 Soal-Soal Hidup

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...