Pages

Monday 11 March 2013

: : Syurga : :

Syurga
Oleh: Prof. Dr. Hamka


Gambar hiasan

Pertanyaan:

Kalau kita lihat al-Quran dan Hadis banyaklah diceritakan tentang syurga, tetapi melulur berputar di sekeliling air mengalir, mata air, air mancur , air sejuk penghilang dahaga, bidadari berkecimpung di telaga biru, naung rendang tempat berteduh dan sebagainya.


Sepanjang pengetahuan saya, belum pernah disebut tentang sinar suria yang memberi imbangan udara lembap dan penghangat tubuh jasmani sehingga saya menarik kesimpulan bahawa jannah yang tujuh jumlahnya itu hanya tersedia buat penduduk padang pasir belaka, bukan untuk semua.

Kalau penduduk daerah dingin yang agak kritis yang selalu merindukan sang suria dan sinar bulan purnama tentu tergaris pada hati mereka purbasangka yang saya sebut di atas.

Saya minta keterangan bagaimana yang sebenarnya?

Jawapan:

Saudara yang budiman! Bagus benar pertanyaan saudara. Iramanya sangat menarik hati. Saudara sudah menafsirkan ayat-ayat tentang syurga dalam al-Quran dengan bahasa yang indah.

Saya setuju dengan saudara, bahawa kalau yang menarik orang ke dalam Islam hanya bayangan tentang syurga itu saja, maka penduduk daerah yang bukan sahara nescaya akan berfikir-fikir dahulu baru masuk Islam.

Tetapi inti sari ajaran Islam bukanlah menyifatkan syurga itu saja. Inti sari ajaran Islam ialah pengabdian kepada Tuhan sebagai pencipta hidup kita. Tuhan yang telah memberi kita akal buat berfikir.

Umar bin Khattab orang padang pasir sahara itu, yang menarik hatinya kepada Islam bukanlah cerita tentang syurga itu, tetapi nilai Tauhid yang diajarkan oleh Islam itu sendiri.

Rabi’atul Adawiyah, seorang ahli sufi wanita pernah berkata: “Ada orang yang beramal beribadat kerana mengharapkan masuk syurga dan ada yang menjauhi kejahatan kerana takut masuk neraka. Padahal tidak pun dijanjikan syurga itu dan diancamkan ke neraka, seorang yang insaf akan nilai hidupnya sudah patut merasai betapa cinta Tuhan kepadanya, dan betapa pula mestinya dia membalas cinta itu.”

Lalu Rabiah berkata pula: “Bagiku yang menjadi tujuan adalah jalan mencapai redha Allah. Asal Tuhan tetap redha kepadaku, di mana pun aku ditempatkannya, itulah syurgaku.

Dan seketika pengembang-pengembang Islam datang ke tanah air kita, yang bukan padang sahara ini, di antaranya ialah nenek moyang saudara sendiri, bukanlah soal masuk syurga itu soal utama menarik hati mereka, melainkan keindahan Tauhid ajaran Nabi Muhammad saw itulah.

Dan apa yang dibayangkan dalam al-Quran itu dipercayai orang. Belum pernah pada masa itu orang menilai syurga untuk “anak padang pasir”.


Mereka telah berkeyakinan bahawa syurga itu pun disediakan buat sekalian hamba Allah yang percaya, walaupun dia tinggal di daerah yang bukan pasir. Setelah orang ramai “pintar-pintar” sekarang inilah baru timbul pertanyaan seperti itu.

Saya bersyukur sekali kerana saudara telah menelaah Al-Quran dan Hadis. Oleh kerana itu tentu saudara telah membaca Surah Fussilat ayat 31 dan 32.

"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat;. Di sana kamu akan memperolehi semua apa yang menjadi keinginan jiwamu, dan di sana kamu akan memperolehi semua apa yang kamu minta."(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) dikurniakan oleh Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!" 
[Fussilat: 31-32]

Alhasil; meskipun kebanyakan ayat-ayat yang menerangkan syurga itu adalah yang lebih dekat kepada penggambaran jiwa orang yang hidup di padang pasir, sebagai umat yang terlebih dahulu mendapat kehormatan menerima Al-Quran, tidaklah bererti bahawa syurga hanya begitu saja. Di sana terdapat apa saja yang diingini oleh orang yang beramal untuk mencapainya.

Dan sebagai seruan yang timbul dan hati yang jujur, ingin kami memperingatkan kepada saudara yang bertanya ini, bahawa berita-berita tentang syurga atau neraka itu bernama “Sam’iyat”, tidaklah dia termasuk soal yang harus dipecahkan dengan yang sekarang kita namai rasional.

Di sini adalah tempat untuk kepercayaan. Kalau saudara menyebut-nyebut orang yang “agak kritis”, akan dapatlah dia membezakan, mana yang harus “dikritis” dan mana yang tidak. Orang-orang yang semua hendak dikritis itu biasanya bukanlah orang yang benar-benar kritis, tetapi orang yang sombong.

Sumber: Membahas Kemusykilan Agama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...