Syahwat Perut Dan Syahwat Faraj
Oleh: Prof Hamka
Seabad yang lalu Karl Marx menyatakan bahawasanya yang menentukan perang
dan damai di dunia ini, yang hidup pertentangan di antara manusia ialah
perebutan mencari makan ataupun mengisi perut.
Segala soal dalam dunia ini, berpusat kepada perut. Semua orang ingin
kenyang dan tak mahu lapar lalu merebut makanan. Maka terjadilah pertentangan
yang tidak dapat dielakkan, suatu hukum besi di antara golongan yang mempunyai
(berada) atau golongan yang tidak mempunyai (miskin).
Dan setengah abad yang lalu datang pula seorang bernama Sigmund Freud,
menyatakan bahawasanya bukan urusan perut yang menjadi sebab timbulnya
pertentangan dan perebutan di dalam dunia ini. Bukan perut, melainkan faraj
(kelamin). Kecerdasan orang berfikir menurut Freud, atau kegoblokannya
(kebodohannya), sukses (berjaya) atau gagal, soalnya hanya satu iaitu soal
libido! Iaitu soal keinginan jantan kepada betina dan betina kepada jantan.
Lebih popular lagi ialah soal seks.
Kedua-duanya Marx dan Freud adalah keturunan Yahudi yang lahir dalam Getho,
di masa Eropah masih memandang kaum Yahudi seperti najis. Mereka membanting
otak mencari sebab kegawatan ekonomi dan sosial di benua Eropah dan mereka
telah mengeluarkan hasil ilmiah, berdasarkan materialisme semata-mata. Mereka
telah menyatakan pendapat.
Tetapi 700 tahun sebelum Marx mengeluarkan fahamannya dan 750 tahun pula
sebelum Freud muncul ke gelanggang ilmiah seorang pujangga dan filosof Islam,
iaitu Imam Ghazali telah menyatakan bahawa dua faktor menentukan hidup manusia
dan kedua-dua faktor itu amat perlu bagi hidup, iaitu syahwat perut dan syahwat
faraj.
Ghazali memandang bukan dari segi perutnya saja, sebagai pandangannya Marx.
Dan bukan dari segi faraj saja sebagai pandangan Freud, malahan kedua-duanya,
kalau kedua-duanya itu tidak ada, manusia musnah dari muka bumi ini.
Kalau manusia tidak mempunyai syahwat faraj, iaitu lelaki tidak
menginginkan perempuan lagi dan perempuan tidak lagi bersyahwat kepada lelaki
punahlah keturunan manusia dari muka bumi ini.
Kedua-dua orang Yahudi itu, Marx dan Freud, tidak memandang soal ini dari
segi kerohanian, atau segi agama. Malahan kedua-duanya mengutuk penggunaan
agama untuk menyelesaikan persoalan. Kedua-dua fahaman ini adalah penambahan
belaka bagi pengukuhan materialisme dalam dunia ini.
Adapun Ghazali, sesudah mengakui bahawa perut dan faraj adalah kepastian
mutlak bagi kelanjutan hidup manusia, memberi peringatan lagi bahawa manusia
adalah satu-satunya makhluk yang berakal yang dapat menimbang buruk dan baik.
Kalau sekiranya manusia hanya menurutkan syahwat perutnya, nescaya benarlah
apa yang dikatakan Marx iaitu perebutan rezeki yang tidak mengenal damai, di
antara manusia dengan manusia kerana hendak mengisi perut. Timbul pertentangan
kelas, di antara yang kaya dengan yang miskin, dan timbullah dendam yang tidak
berkeputusan.
Demikian juga kalau sekiranya syahwat faraj tidak terkendali, darjat
manusia nescaya akan runtuh menjadi binatang. Orang tidak perlu lagi mengenal
siapa bapanya kerana semua lelaki boleh menyetubuhi ibunya.
Maka diberikan tuhan manusia itu akal dan diberi tuhan pula manusia itu
agama. Akal yang murni sesuai dengan agama yang suci. Agama mengatur agar dalam
mencari pengisi perut, manusia harus mengenal halal dan haram. Dan di dalam
mengisi syahwat faraj, manusia harus menuruti peraturan nikah dan kahwin.
Sebab itu kehidupan di antara manusia jangan hanya di atur dari luar
hitoronomus tetapi lebih penting lagi peraturan yang datang dari dalam diri
manusia itu sendiri, autonomus.
Setiap orang berakal dapat merasakan bahawa orang lain akan bertahan,
walaupun nyawanya akan melayang, kalau harta-bendanya atau periuk nasinya
dirampas. Sebab itu, kalau tidak mempunyai kelebihan kekuatan, tidaklah si kuat
hendak menindas si lemah. Namun demikian seluruh manusia berkeinginan agar
boleh mempunyai persediaan makanan yang cukup. Bukan saja cukup, malahan
berlebihan daripada persediaan yang ada pada orang lain.
Setelah melihat perebutan rezeki ini, benarlah apa yang dikatakan Marx
bahawa perebutan makananlah dari segala bencana dalam dunia ini pangkal segala
permusuhan dan pertentangan kelas. Asal mulanya hanya mencari sepiring nasi,
sepiring siang dan sepiring malam, tetapi dalam masa yang tidak lama, naik
menjadi mengumpul harta banyak-banyak dan tidak mempedulikan lagi kepada orang
lain, apakah mereka dihimpit, ditindas atau dihancurkan.
Dari nafsu makan naiklah kepada nafsu menguasai, dari sinilah sumbernya fahaman
kapitalis dan imperialis, penindasan manusia atas manusia.
Asalnya cuma soal sedikit saja; saol perut.
Perut yang panjangnya hanya sejengkal dan lebarnya hanya dua jengkal.
Tetapi dari perut sejengkal panjang dan lebar dua jengkal itulah pangkal
kemelut dunia.
Demikian juga dari syahwat faraj.
Meskipun agama sudah mengatur supaya hubungan kelamin, seks atau nafsu
berjalan dengan tenteram, jangan rebutan dan teratur anak cucu dan keturunan,
namun nafsu syahwat manusia masih saja ada. Orang Islam yang dibolehkan
beristeri empat kalau dapat berlaku adil, boleh menyalahgunakan kebolehan ini.
Lalu dia kahwin sampai empat, kalau bosan dia ceraikan setengah dan dia cari
lagi ganti pengisi tempat yang kosong. Adapun orang yang agamanya hanya membolehkan
beristeri satu, kerana syahwatnya, mencarilah dia luar dengan tidak berbatas.
Ajaran Freud tentang seks ini pun sangat besar pengaruhnya di zaman moden.
Perempuan, sejak ajaran Freud tersohor, sudah jauh lebih maju dari dahulu. Maju
ke dalam kehidupan binatang.
Nilai dan kesucian perkahwinan tidak ada lagi. Hubungan lelaki dengan
perempuan sudah sangat chaos dan mengerikan. Seorang Yahudi lain namanya Jean
Paul Sartre dengan tegas mengajarkan pula apa guna berkahwin! Perkahwinan
mengikat kebebasan diri peribadi kita, padahal kita telah wujud, telah ‘exist’
di dunia ini. Sehingga terjadilah hubungan seks tanpa nikah, sama seperti
binatang. Muncul pula bacaan dan gambar-gambar pornografi, yang dijual di
pinggir-pinggir jalan, bahkan di Eropah, Amerika dan Jepun, berdiri toko-toko
SEKS, ‘Shop Seks’ yang menjual gambar dan video kaset porno.
Semua orang berakal budi, filosof moral seluruh dunia, ahli-ahli dalam soal
etika dan sosiologi, sependapat bahawa ini adalah bahaya besar bagi peri
kemanusiaan di zaman depan.
Di sinilah kita merasakan perlunya ajaran agama tentang berpuasa.
Puasa adalah kendali atas syahwat perut dan syahwat faraj yang datang dari
dalam diri kita sendiri, autonomus.
Satu bulan lamanya nafsu makan dan nafsu seks dikendali. Latihan satu bulan
bukanlah perkara kecil, ia akan sangat berbekas bagi jiwa.
Diri kita ini mesti dikendalikan! Kalau tidak, dia akan berlarut-larut
dalam keadaannya. Asal kantong berisi, diri ini kadang-kadang tidak peduli lagi
dari mana akan datang sumbernya.
Perebutan pangkat, perebutan kekuasaan, hasad dengki, siku-menyiku, baik
dalam percaturan ekonomi atau percaturan politik, maksudnya yang tersembunyi
adalah untuk merebut jaminan hidup tadi. Tegasnya untuk merebut makanan.
Kemewahan yang berlebih-lebihan dan lelaki yang jual tampang ialah kerana
hendak memikat hati kaum Hawa. Sehingga soal libido ini kadang-kadang secara
langsung atau tidak langsung mempengaruhi kebijakan politik suatu Negara.
Lebih-lebih apabila kaum Hawa telah mendedahkan diri kepada umum, mahu turut
serta di dalam segala urusan. Lantaran itu timbullah perlumbaan hidup mewah,
dan dua kali dua sama dengan empat; timbullah korupsi! Korupsi dalam segala
bidang!
Di mana semua bahaya ini akan dibatasi? Bahaya syahwat perut dan bahaya
syahwat faraj ini?
Dibatasi pada diri kita sendiri dengan puasa. Dengan mengendalikan diri
dari dalam autonomus itu. Dengan sengaja, dengan kesedaran melatih diri
meninggalkan makan dan minum di siang hari dan beribadat di malam hari, sebulan
lamanya.
Walaupun beras yang dimasak jadi nasi, hasil pencarianmu yang halal, bukan
barang tipuan atau curian, namun ia tidak boleh engkau makan ketika puasa.
Walaupun isteri sendiri, telah sah nikah ijab dan kabul, telah berlaku dan
telah bergelanggang di mata orang ramai, namun bila perintah puasa datang,
wajib hubungan suami-isteri dihentikan pada siang hari bulan Ramadan.
Apabila puasa ini dipraktikkan dengan sedar, terjadilah perubahan pandangan
hidup, harta tidak lagi sebagai panglima yang menentukan, melainkan dijadikan
alat untuk berbuat baik.
Cubalah lihat tatacara hidup seorang Muslim di bulan puasa. Kegiatannya
mencari nafkah tidak terhenti kerana puasa. Tetapi hasil usahanya sudah
didorong oleh satu niat, iaitu niat berbuat baik dengan harta itu.
Sehabis puasa dia mengeluarkan zakat fitrah untuk fakir miskin. Dan
dibiasakannya juga sehabis puasa itu membahagikan zakat hartanya kepada yang
berhak menerima. Dengan demikian nafsu individualis telah dibatasi.
Dan pertentangan kelas ajaran Marx tidak terjadi. Sebab yang kaya bukan
membenci yang miskin, melainkan merasa sayang dan wajib memberikan sebahagian
hartanya. Dan yang miskin tidak dengki kepada yang kaya melainkan mendoakan,
moga-moga bertambah rezekinya. Sebab dia sendiri mempunyai bahagian di
dalamnya.
Dalam kekalutan dan keributan politik yang tidak menentu, akibat perebutan
rezeki dan dorongan nafsu perut dan faraj, saat orang yang dengan segala senang
hati, berkenan menjual ‘akidah’, asyik menyikat dan mengambil muka demi
memuaskan nafsu, tiba-tiba bulan Ramadan datang.
Dan marilah kita berpuasa dengan penuh kesedaran.
Sumber: Tuntunan Puasa, Tarawih & Solat Aidilfitri, m/s 23-28
No comments:
Post a Comment