Pages

Monday, 23 September 2013

: : Sahabat Rasulullah SAW : :

Sahabat Rasulullah saw Dalam Al-Quran
Oleh: Syeikh Dr Muhammad al-Arifi


Allah swt berfirman di dalam surah al-Fath, surah ke 48, ayat 18:

"Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuinya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;" [Al-Quran 48:18]

Firman Allah swt pada ayat 18 surah al-Fath ini menceritakan tentang 1400 sahabat yang telah memberikan taat setia kepada Rasulullah saw ketika perjanjian Hudaibiyah. Ayat di atas jelas memberitahu bahawa Allah swt reda terhadap 1400 sahabat radiallahuanhum yang memberikan taat setia kepada rasulNya.


Selanjutnya, Allah swt turut merakamkan di dalam surah at-Taubah surah ke 9, ayat 117:

"Sesungguhnya Allah telah menerima taubat nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat Belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka". [Al-Quran 9:117]

Orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikuti Nabi dalam ayat tersebut adalah para sahabat radiallahuanhum  yang terdiri daripada 30 000 orang yang keluar berperang ke Tabuk. Allah swt menerima taubat mereka.

Allah swt juga menyebut tentang sahabat radiallahuanhum di dalam surah al-Hasyr, surah ke 59, ayat 8:

"(Pemberian itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaannya, serta menolong (ugama) Allah dan rasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya)". [Al-Quran 59:8]

Di dalam ayat ini, Allah swt telah mengisytiharkan bahawa para sahabat radiallahuanhum adalah penolong agama Allah dan mereka mencari limpah kurnia serta reda Allah swt. Selain itu, Allah swt turut mengiktiraf bahawa sahabat radiallahuanhum adalah orang-orang yang benar, bukan orang-orang yang berdusta, atau mengikut hawa nafsu atau orang-orang kafir.

Sementara di dalam ayat yang ke 9, Allah swt menceritakan bahawa orang-orang Ansar mengasihi orang-orang Muhajirin yang datang berhijrah ke Madinah, bahkan mengutamakan orang-orang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri:  

"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." 
[Al-Quran 59:9]

Selanjutnya di dalam ayat yang ke 10, Allah swt menyebut tentang peranan orang-orang yang datang selepas zaman Rasulullah saw (iaitu zaman kita ini):

"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatMu". [Al-Quran 59:10]

Oleh yang demikian, sama-sama lah kita memuliakan para sahabat radiallahuanhum dan mendoakan mereka. Semoga dengan menyayangi para sahabat radiallahuanhum, kita termasuk orang-orang yang hampir dengan Allah swt (In sha Allah).

Sumber: YouTube

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...