Pages

Tuesday, 24 September 2013

: : Wuduk : :

Hadis: Anjuran Berwuduk & Menyempurnakannya


1.       Dari Ibnu Umar r.anhuma, dari Nabi saw tentang pertanyaan Jibril kepadanya tentang Islam, beliau saw bersabda:

“Islam adalah hendaknya kamu bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan solat, membayar zakat, berangkat haji dan umrah, mandi junub, menyempurnakan wuduk dan berpuasa Ramadhan.” Jibril bertanya, “Jika aku melakukan itu apakah aku seorang Muslim?” Nabi Menjawab, “Ya.” Jibril lalu berkata, “Kamu benar.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya.

2.       Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda,

“Sesungguhnya umatku dipanggil pada Hari Kiamat dengan wajah, kedua tangan, dan kaki bersinar putih kerana bekas wuduk. Maka barang siapa di antara kalian yang mampu memanjangkan sinar putih wajahnya, maka hendaknya dia melakukannya.”

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Dan riwayat Muslim dari riwayat Abu Hazim mengatakan,

“Aku pernah berada di belakang Abu Hurairah, sementara dia berwuduk untuk solat. Dia menghulurkan tangannya hingga mencapai ketiaknya. Aku berkata kepadanya, ‘Wahai Abu Hurairah, wuduk apa ini?, ‘Dia menjawab, ‘Wahai Bani Farrukh, kalian ada di sini? Jika aku mengetahui kalian ada di sini, maka aku tidak berwuduk seperti ini. Aku mendengar kekasihku, Rasulullah saw bersabda, ‘Hiasan seorang Mukmin (pada hari kiamat), mencapai apa yang dicapai oleh wuduk’.”

3.       Darinya (Abu Hurairah r.a) bahawa Rasulullah mendatangi kuburan, beliau saw bersabda,

“Assalamualaikum negeri kaum mukminin. Kami in sha Allah tidak lama lagi akan menyusul (kalian). Aku ingin bahawa kita telah melihat saudara-saudara kita.” Mereka berkata, “Bukankah kami adalah saudara-saudaramu ya Rasulullah?”
Beliau kemudian menjawab, “Kalian adalah sahabat-sahabatku, sementara saudara-saudara kita adalah orang yang belum datang.” Mereka (sahabat) lalu bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana engkau mengetahui orang-orang yang belum datang dari kalangan umatmu?”

“Apakah kalian perhatikan jika seseorang mempunyai kuda dengan kepala dan keempat kakinya putih di antara kuda-kuda yang hitam legam, apakah dia bisa mengenali kudanya?”

Mereka menjawab, “Ya, ya Rasulullah.”

Beliau bersabda, “Sesungguhnya umatku akan hadir dengan wajah dan kedua tangan bersinar putih kerana bekas wuduk, dan aku mendahului kalian kepada haudh (telaga).”

Diriwayatkan oleh Muslim dan lain-lain.

4.       Dari Zir bin Abdullah saw, bahawa mereka bertanya,

“Ya Rasulullah, bagaimana engkau mengetahui umatmu yang belum engkau lihat?” Beliau saw menjawab, “Wajah dan kedua tangan mereka bersinar cerah, (seperti jelasnya) putih (pada) hitam kerana bekas wuduk.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Hibban di dalam sahihnya.

5.       Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda,

“Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk lalu dia membasuh wajahnya, maka seluruh kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya keluar dari wajahnya bersama air, atau bersama titisan air yang terakhir.

Apabila dia membasuh kedua tangannya, maka seluruh kesalahan yang dilakukan oleh kedua tangannya keluar dari tangannya bersama air, atau bersama titisan air yang terakhir.

Apabila dia membasuh kedua kakinya maka seluruh kesalahan yang kedua kakinya melangkah kepadanya keluar dari kedua kakinya bersama air, atau bersama-sama titis air yang terakhir, sehingga dia keluar dalam keadaan bersih dari segala dosa.”

Diriwayatkan oleh Malik, Muslim dan at-Tirmizi, dan di Malik dan at-Tirmizi tanpa menyebutkan, “Membasuh kedua kaki.”

6.       Dari Utsman bin Affan r.a, dia berkata, Rasulullah saw bersabda,

“Barangsiapa berwuduk lalu dia membaguskan wuduknya, maka kesalahan-kesalahannya keluar dari jasadnya hingga ia keluar dari bawah kuku-kukunya."

Sanadnya berdasarkan syarat as-syaikhan (Bukhari & Muslim)


Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah.

Sumber: Shahi at-Targhib wa at-Tarhib/ Kitab Thaharah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...