Pages

Saturday 19 October 2013

: : Hadis Hasan : :

Hadis Hasan


Takrif Hadis Hasan

Hasan ialah hadis yang diriwayatkan dengan sanad yang bersambung-sambung oleh perawi-perawi yang adil[1] tetapi qalil al-dabt (kurang ketepatan/lemah ingatan) serta tiada shuzuz[2] mahupun ‘illah (kecacatan) padanya.

Perbezaan di antara Sahih dan Hasan:

Perbezaan di antara sahih dan hasan ialah perawi hasan adalah qalil al-dabt atau kurang dabt (kurang ketepatan/lemah ingatan) sementara perawi sahih adalah kamil al-dabt atau sempurna dabt (sempurna ketepatan/kuat ingatan)

Pembahagian Hadis Hasan

Hadis Hasan terbahagi kepada dua bahagian iaitu: hasan li zatihi dan hasan li gharihi.

Hasan li zatihi

Apabila sesuatu hadis itu dikatakan hasan secara mutlak tanpa sebarang qaid atau syarat maka ia bermaksud hasan li zatihi. Pengertian atau takrif bagi hadis hasan li zatihi sama dengan takrif hadis hasan seperti di atas.

Hasan li gharihi

Hasan li gharihi ialah hadis yang wujud pada sanadnya perawi ‘mastur’ iaitu perawi yang tidak diketahui keadaan atau kedudukan yang sebenar. Syaratnya dia bukanlah perawi yang banyak melakukan kesilapan dalam meriwayatkan hadis bukan juga seorang yang muttaham bi al-kizb (disyaki berdusta pada hadis) dan dan hadis yang diriwayatkannya juga perlu disokong oleh hadis lain.

Hukum Hadis Hasan

Sebagaimana hadis sahih, hadis hasan juga boleh digunakan sebagai hujah atau dalil. Walau bagaimanapun dari segi kekuatan ia tidak dapat menandingi hadis sahih. Fuqaha (ahli-ahli fiqh) menggunakan hadis-hadis hasan sebagai hujah dan beramal dengannya.

Sumber: al-muyassar fil ilmi mustholah al-hadis



[1] Ialah perawi yang bersifat dengan sifat ‘adalah , iaitu berpegang teguh dengan ajaran agama dan menjauhi segala bentuk kefasiqan, kejahatan dan perbuatan yang bertentangan dengan akhlak dan syariat.
[2] Riwayat kuat berlawanan dengan riwayat yang lebih kuat

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...