Pages

Friday 18 October 2013

: : Hadis Sahih : :

Hadis Sahih



Takrif Hadis Sahih

Hadis Sahih adalah hadis musnad yang diriwayatkan oleh perawi yang ‘adil, dhabit daripada perawi seumpamanya sehingga sampai kepada Rasulullah saw atau sahabat atau tabiin. Hadis Sahih juga tidak bersifat mu’allal atau shaz

Huraian takrif:

1.       Al-Musnad : di sini bermaksud hadis yang diriwayatkan dengan sanad yang muttasil (bersambung-sambung tanpa putus) daripada permulaan sanad sehingga ke akhirnya.

2.       Al-‘Adil : ialah perawi yang bersifat dengan sifat ‘adalah , iaitu berpegang teguh dengan ajaran agama dan menjauhi segala bentuk kefasiqan, kejahatan dan perbuatan yang bertentangan dengan akhlak dan syariat.

3.       Al-Dhabit : ialah perawi yang bersifat dengan sifat dabt (kebolehan meriwayatkan hadis sebagaimana didengari), iaitu memelihara dan menjaga dengan baik setiap hadis yang telah didengari dan difahaminya sehingga tidak timbul walaupun sedikit keraguan atau kesangsian tentang ketepatan (mengenai) apa yang ingin disampaikan. Sifat ini sentiasa wujud dalam diri perawi sejak dia mendengar hadis sehingga ketika menyampaikannya.

4.       Al-Mu’allal : ialah hadis yang mempunyai keaiban tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadis tersebut, meskipun kecacatan tersebut tidak kelihatan secara zahirnya.

5.       Al-Shaz : ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah bertentangan dengan riwayat perawi yang lebih thiqah daripadanya.

Pembahagian Hadis Sahih

Hadis Sahih terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Sahih li zatihi (pada dirinya sendiri) dan Sahih li ghairihi (kerana selainnya).

Takrif bagi hadis Sahih li zatihi adalah sama seperti perbincangan takrif hadis sahih di atas. Manakala hadis Sahih li ghairihi pada asalnya adalah hadis hasan li zatihi, kerana perawinya tidak mempunyai tahap hafalan dan dabt sebagaimana yang disyaratkan untuk hadis sahih. Tetapi ia telah diangkat ke tahap hadis sahih kerana faktor luaran iaitu sanad (turuq) berbilang-bilang yang menampung kekurangan hafalan dan dabt para perawinya.

Kedudukan Hadis Sahih li gharihi

Kedudukan hadis Sahih li gharihi adalah lebih tinggi daripada hadis hasan li zatihi dan lebih rendah daripada hadis Sahih li zatihi

Kedudukan Hadis Sahih

Muhaddithin dan fuqaha bersepakat bahawa hukum hadis sahih adalah wajib beramal dengannya. Ia merupakan hujah dan dalil syarie dan tidak harus bagi mana-mana orang Islam meninggalkannya atau tidak beramal dengannya.

Sumber: al-muyassar fil ilmi mustholah al-hadis

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...