Oleh: Sheikh Usman Al-Khamees
Apakah kedudukan hadis
sahih bagi Ahli Sunnah wal Jamaah? Adakah penting untuk mengamalkan hadis
sahih? Atau memadai sekadar bergantung kepada Al-Quran?
Apabila kita berbicara
tentang “As-Sahihain” atau dua sahih, ia adalah merujuk kepada Sahih Bukhari
dan Sahih Muslim. Dua sahih ini adalah kitab paling sahih di sisi Ahli Sunnah
wal Jamaah selepas Kitab Allah swt, Al-Quran.
Dua sahih ini mengandungi hadis-hadis yang disahkan sahih dari Nabi Muhammad saw sama ada daripada perkataan, perbuatan atau kenyataan baginda.
Majoriti umat Islam
telah bersetuju dengan apa yang terkandung di dalam sahih Bukhari dan Muslim
ini.
Berbalik kepada
perbincangan asal kita tadi, adakah memadai sekadar berpegang dengan Al-Quran
di dalam soal agama, aqidah atau amalan (spt. solat, zakat, haji dan puasa)?
Atau mungkinkah kita juga memerlukan sunah (hadis)?
Tiada pertikaian bahawa
sunah Nabi saw telah membenarkan ayat-ayat Al-Quran. Dan pada dasarnya, sunah
Nabi saw adalah berperanan menerangkan dan memperjelaskan Al-Quran. Sunah Nabi
saw ini juga mengandungi hukum-hakam tambahan yang tidak terkandung di dalam
Al-Quran.
Oleh yang demikian,
sesiapa yang berkata bahawa memadai sekadar bergantung dengan Al-Quran dan
tidak perlu kepada sunah bermakna dia menafikan firman Allah swt di dalam surah
Al-Hasyr surah ke 59 ayat 7 yang bermaksud:
“..Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada kamu maka
terimalah (serta amalkan), dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka
patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah
amatlah berat azab seksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya).”
[Al-Quran 59:7]
Juga firman Allah swt
di dalam surah An-Nisa surah ke 4 ayat 59 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu
kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa)
dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam
sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada (kitab) Allah (Al-Quran)
dan (sunnah) RasulNya - jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
[Al-Quran 4:59]
Merujuk kepada surah
An-Nisa ayat ke 59 ini, maka sesiapa yang menolak sunah Nabi saw bermakna dia
tidak taat kepada Nabi saw.
Ulama juga bersepakat
bahawa sesiapa yang menolak sunah Nabi saw dan berkata bahawa memadai dengan
Al-Quran, maka dia adalah kafir di sisi Allah swt.
Analoginya, kita tidak
mungkin dapat mengetahui sifat (cara-cara) solat Nabi saw tanpa sunah. Allah
swt memerintahkan kita untuk bersolat namun tidak memberitahu bagaimana
(cara-cara) melaksanakannya. Allah swt juga tidak menerangkan jenis-jenis solat
seperti Maghrib, Isyak’, Fajr (Subuh), Zuhur dan Asar.
Bilakah waktu
mengerjakannya? Bagaimana cara melaksanakannya? Semua itu kita belajar melalui
sunah Nabi saw.
Saya rasa mereka yang
hanya berpegang dengan Al-Quran tidak mampu melaksanakan ibadah solat, begitu
juga zakat, puasa, haji dan sebagainya kerana amalan ini diambil daripada sunah
Nabi saw.
Sumber: YouTube
No comments:
Post a Comment