Pages

Friday, 8 February 2013

: : Bacalah Al-Quran : :

Bacalah Al-Quran
Oleh: Sheikh Saleh al-Maghamsi




Tuan-tuan yang saya rahmati dan kasihi sekalian, antara perkara yang dapat meruntun dan merendahkan hati serta membawa kejayaan yang besar adalah menghormati Al-Quran dengan; menatapnya, memikirkannya, membaca dan menghayatinya serta berasa gembira kerananya.

Antara rahmat yang besar dari Allah swt kepada hambaNya juga adalah apabila hambaNya itu beriman kepada kitabNya dan bertindak dengan apa yang terkandung di dalamnya.

Allah swt telah berfirman di dalam suarh Al-Hijr surah ke 15 ayat 87-88 yang bermaksud:

Dan sesungguhnya kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.

Janganlah engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh hati) kepada nikmat kesenangan yang kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu) dan janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka (kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana yang engkau harapkan); dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin).
[Al-Quran 15:87-88]

Dengan demikian jelas bahawa dunia keseluruhannya tidak akan memberi apa-apa makna tanpa kalam atau kitab Tuhan.

Tuan-tuan sekalian, simpanlah Al-Quran di dalam rumah anda. Seandainya anda mendapat sedikit ruang, maka ambillah Al-Quran dan bacalah apa yang terkandung di dalamnya. Dengan harapan semoga Allah swt akan mengganjari anda dengan pahala bacaan tersebut.

Mungkin anda mempunyai pengalaman tinggal di hotel, rumah tumpangan atau berada di lapangan terbang. Di sana, boleh jadi anda akan mendapati Al-Quran di simpan di ruangan-ruangan solat. Untuk itu, antara cara yang boleh mendekatkan diri anda kepada Allah swt adalah dengan tidak membiarkan kitab Allah ditinggalkan.  

Justeru, pergilah kepada Al-Quran, buka dan bacalah ia walau anda tidak duduk dan terus berdiri. Bacalah beberapa ayat supaya Kitab Allah tidak dibiarkan begitu sahaja! Kemudian kembalilah Al-Quran ke tempatnya dan berlalulah mengikut destinasi anda.

Dengan cara ini anda menunjukkan kepada Allah dengan rendah diri, walau anda tidak mampu menghafal Al-Quran, atau bukan ulama Al-Quran mahupun guru Al-Quran, paling tidak; sekurang-kurangnya anda tergolong dalam orang yang diberkati Allah swt dengan Al-Quran.

Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: YouTube

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...