Perbetulkan Niat
Prof. Dr Hamka
Soalan
Saya adalah seorang pemuda yang mendapat
didikan barat, yang belum mengetahui tentang sari-sari dan hakikat agama Islam.
Kebanyakan pemuda-pemuda yang mendapat didikan barat, apabila mereka
mendengarkan soal-soal yang berhubung dengan agama, sentiasa mereka meminta
dalil yang tepat, alasan yang kuat, yang mampu masuk ke dalam akalnya. Oleh
sebab saya sendiri masuk golongan itu, maka saya ingin mendapat keterangan dari
tuan.
Jawapan
Pertanyaan ini adalah satu di antara
beberapa pertanyaan penting yang sekarang kerap kali dihadapi oleh
pemuda-pemuda kita. Pertanyaan yang seperti ini adalah alamat keinsafan yang
telah muncul di dalam kalangan kaum pemuda terpelajar, yang harus menjadi perhatian
daripada kaum ulama seumumnya.
Untuk menjawab pertanyaan pemuda yang
bertanya ini, haruslah menempuh beberapa jalan;
Jalan yang pertama, ialah berguru.
Jalan yang kedua, ialah membaca.
Jalan yang ketiga, ialah bergaul.
Jalan yang pertama, ialah berguru, lebih
penting daripada yang lain-lain. Sebab keagamaan itu, lebih besar jumlahnya
yang bergantung kepada penghayatan/perasaan (gevoel): Perasaan itu lebih mudah
didapati daripada guru-guru yang mursyid.
Tetapi sebelum belajar, haruslah ada niat
dari rumah benar hendak menambah pengetahuan dan pengatahuan yang akan membawa
kepada iman. Jangan semata-mata kerana hendak tahu, atau hendak menguji
kepandaian guru tentang dalam atau dangkal ilmunya. Kalau ada dasar niat yang
demikian dari rumah, maka walau pun ilmu tentang agama bertambah-tambah, belum
penghayatan/perasaan agama itu akan masuk meresap kedalam jiwa.
Perhatikanlah kepada berpuluh dan beratus
orientalis bangsa Barat yang datang ke tanah-tanah timur, terutama ke tanah
Arab, hendak menambah pengetahuannya tentang agama Islam, sampai diangkutnya
beratus-ratus jilid kitab Arab ke tanah airnya, dimasukkannya ke dalam muzium
yang besar-besar, sehingga orang Islam sendiri di dalam negerinya, tidaklah ada
menyimpan kitab selengkap itu.
Kadang-kadang pengetahuan mereka lebih luas
daripada pengetahuan ulama Islam sendiri, kitabnya lebih lengkap,
penyelidikannya lebih mendalam, tetapi adakah mereka menjadi mukmin? Tidak,
sama sekali tidak! Sebab dari mula lagi, bukan niat hendak menambah iman itu
maksudnya, tetapi hanyalah semata-mata mahu tahu! Maka tahulah dia, tetapi
hanya sekadar tahu.
Sebab itu tegakkanlah niat terlebih dahulu,
niat hendak menjadi orang Islam. Kosongkan hati daripada rasa bangga akan ilmu
yang telah didapati. Ketahuilah bahawa otak atau akal tuan belum dapat
dipercayai akan berpendapat benar selalu. Ketahui pula bahawa setinggi-tinggi
watenschap (pengetahuan) yang tuan dapat, ataupun yang didapat oleh ahlinya
sekalipun, masih tetap belum sampai ke hujung perjalanannya.
Einstein masih tetap berkata, “Menurut
kira-kira saya.” Pickard masih tetap berkata “barangkali demikian”, tidak
seorang juapun yang berkata, “pendapat saya inilah yang betul”…..
Sumber: 1001 Soal-Soal Hidup
Kepentingan memperbetul niat..nice article =)
ReplyDelete