Oleh:
Prof Dr Hamka
Bagaimanapun berlimpah ruah banyaknya harta
dan kekayaan, tidaklah harta dan kekayaan itu berguna, tidaklah akan dapat
menolong kalau kehendak Tuhan akan berlaku untuk menimpakan suatu bahaya.
Misalnya jika penyakit yang berat datang menyerang, berapalah harga harta di
waktu itu?
Teringatlah kita kisah ketika alim pendeta
Ibnus Samaak yang terkenal datang ke majlis Raja Harun al-Rasyid. Raja meminta
agar Baginda diberi pengajaran, diberi ceramah agama. Ketika itu hari sedang
tengah hari di musim panas.
Ketika mendengar ceramah itu, Raja terasa
haus. Lalu baginda titahkan seorang khadam mengambil air dingin buat diminum.
Setelah khadam itu datang membawakan air dan
seketika Raja akan meminum air itu, bertanyalah Ibnus Samaak.
"Tuanku! Patik hendak bertanya, Jika
tidak segera dapat air yang Tuanku minta itu, padahal Tuanku sedang sangat
haus, bagaimanakah sikap Tuanku?"
Raja menjawab: "Akan aku perintahkan
orang mencari air itu di mana saja di seluruh dunia, walaupun akan habis
separuh akan kekayaanku buat belanja mencari air itu!"
Maka perkataan itu disambut oleh Syaikh
Ibnus Samaak: "Tuanku! Kalau demikian halnya, adakalanya segelas air lebih
mahal daripada separuh kekayaan Tuanku!". Raja menganggukkan kepala tanda
setuju, bahawa kadang-kadang seteguk air lebih mahal daripada separuh kerajaan
Baginda.
Setelah air itu habis diminum oleh baginda,
Ibnus Samaak sekali lagi bertanya:
"Tuanku! Masih ada pertanyaan hamba!
Jika sekiranya air yang segelas yang Tuanku minum sebentar tadi, tidak mau
keluar dari dalam tubuh Tuanku, bagaimana akal Tuanku?"
"Itu adalah penyakit yang amat
berbahaya."
"Kalau misalnya kejadian demikian itu,
bagaimana ikhtiar Tuanku?" "Saya akan suruh cari doktor yang ahli di
mana saja, walaupun dia berada di ujung bumi ini. Aku suruh datangkan ke mari
buat mengobatkiku. Seluruh kekayaanku ini pun tidak mengapa licin tandas, asal
segelas air itu dapat keluar kembali dari badanku!"
"Maafkan daku, Tuanku! Sambung Ibnus
Samaak selanjutnya, "Dapatlah kiranya tuanku berfikir kadangkala segelas
air najis, lebih mahal harganya dari seluruh Kerajaan Tuanku. Apalah guna
Kerajaan kalau badan tidak ada kesihatannya lagi."
Raja termenung mendengarkannya.
Sumber: Tafsir Al-Azhar, Juzu' 24
No comments:
Post a Comment