Pages

Thursday, 13 December 2012

: : Triniti (Tiga Dalam Satu)- Bhg. I : :

Triniti (Tiga Dalam Satu)
Oleh: Prof. Dr Hamka

Gambarajah Triniti

Allah swt berfirman di dalam surah An-Nisa, surah ke 4 ayat 171 yang bermaksud:

“Wahai ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi pengawal (yang mentadbirkan sekalian makhlukNya).” [Al-Quran 4:171]


Ada mazhab Kristian yang mengatakan bahawa
Tuhan itu mempunyai tiga oknum. Oknum Bapa, Oknum Putera (Jesus Kristus) dan Oknum Rahul-Qudus. Di dalam pelajaran iman Kristian ada disebutkan: satu Tuhan di dalam tiga oknum- Bapa dan Putera dan Rahul-Qudus. Bapa ialah Allah, dan Putera ialah Allah dan Rahul-Qudus Allah juga.

Tetapi kesemuanya itu bukan tiga Tuhan, tetapi satu Tuhan yang ada dalam tiga oknum, yang bersamaan jauharnya dan berbeza oknumnya.

Kerana kesemuanya itu mempunyai jauhar yang satu, ketuhanan yang satu dan zat yang satu. Tidak ada satu pun di antara oknum itu yang lebih besar atau lebih mulia atau lebih berkuasa dari yang dua lagi, oleh sebab ketiganya sama dalam kebesarannya dan keazaliannya dan kekuasaannya atas tiap-tiap sesuatu, selain dari kekuasaannya.

Dan tidaklah kita akan dapat menahan hakikat ini dengan sempurna, kerana ini adalah suatu rahsia yang sangat dalam, melebihi kekuatan akal dan hasil pemikiran manusia.

Salah seorang pendeta berkata: “Kami tidaklah mengatakan bahawa Allah itu mempunyai tiga keperibadian, atau satu peribadi. Pengakuan kami adalah bahawa Allah itu mempunyai tiga oknum dalam satu. Di antara tiga oknum, dengan tiga peribadi, jauh sangat perbezaannya sejauh langit dengan bumi.”

Di dalam buku tuntunan mengerjakan sembahyang (Kristian) yang dikeluarkan oleh Gereja Anglicant yang dicetak pada tahun 1818 disebutkan demikian: “Wahai yang tiga, yang maha suci, yang memberi berkat dan yang maha tinggi, yang ketiganya adalah satu!”.

Dalam penyataan doa begini nyata sekali disebut tiga diri atau tiga peribadi dalam satu ketuhanan. Bahkan, ada yang mempercayai bahawa Maryam adalah Ibu Tuhan. Sampai mereka menyembah kepada patung Maryam sujud memohon selamat.

Setelah pertentangan faham yang begitu hebat, sampai tumpah menumpahkan darah dan peperangan-peperangan yang besar kerana pertentangan antara Katolik dan Protestan, maka banyaklah golongan Protestan yang berpindah ke benua baru (Amerika Syarikat), pada abad ke 17. Di Amerika mereka bebas dari tekanan keras kependetaan Katolik.

Sehingga kaum Protestan di sana merdeka menciptakan berbagai-bagai penafsiran, yang terlepas dari kongkongan gereja. Maka timbullah berbagai-bagai gereja dan sekta (mazhab). Di antara sekta itu ialah sekta Unitarian yang sama sekali tidak percaya kepada Tuhan tiga dalam satu itu. Dan tidak pula percaya bahawa Isa Al-Masih adalah Tuhan.

Benarlah apa yang dikatakan oleh penafsir Al-Quran yang terkenal, iaitu Syeikh Ibn Kathir: “Orang Kristian mempunyai kepercayaan tentang Tuhan itu berbagai-bagai ragam, satu sama lain tidak dapat dipertemukan. Sehingga kalau misalnya berkumpul sepuluh orang Nasrani, diminta menyatakan kepercayaan mereka tentang Tuhan, akan keluarlah sebelas macam perjawaban.

Mempertahankan kepercayaan bahawa Tuhan Allah satu, tetapi mempunyai tiga oknum: Allah Bapa, Allah Putera dan Rahul-Qudus, adalah menjauhkan diri sendiri.

Sehingga kalau misalnya seorang pendeta Kristian yang telah belajar Teologi (ilmu ketuhanan) berpuluh tahun, bila berhadapan memperkatakan soal ini dengan seorang Muslim yang hanya mempelajari ilmu Tauhid dengan sederhana, tidaklah pendeta itu akan dapat bertahan.

Banyak orang menjadi Missie da Zending (Pendakwah Kristian), dikirim ke barang mana negeri, bertemu dengan seorang Islam yang sedar akan agamanya, terpaksa tidak dapat melanjutkan pertukaran fikiran, sebab si Muslim hendak mengemukakan akal, sedang si Pendeta menutup perbicaraan yang akan sampai kepada penggunaan akal.

Orang-orang Kristian sendiri sampai sekarang banyak yang mengakui bahawa ajaran seperti ini tidak jelas diberikan Nabi Isa sendiri. Barulah dikembangkan sesudah beliau meninggal, sehingga ajaran beliau yang asli telah ditimbuni oleh ajaran seorang yang bernama Paul (Paulus), yang di waktu Isa masih hidup tidak pernah bertemu dengan dia.

Dan setelah murid-murid Isa menyebarkan ajaran Isa yang asli, Paul itulah yang menjadi penghalangnya yang terbesar. Dengan mendakwa bahawa dia mendengar suara Isa dari langit, menyuruhnya menyebarkan ajaran Kristian. Dari sinilah Paul memulai tindakan dan dengan beransur-ansur menegakkan ajaran baru, lalu membangsakannya kepada Isa.

Sejak mula lagi mereka telah terpecah kepada tiga faham. Pertama kaum Nastouriyah (Nastouriyan)- kaum ini mengatakan bahawa Isa itu ialah Allah sendiri. Kedua, kaum Ya’kubiyah (Yacobin)- Isa itu adalah anak Allah. 

Ketiga kaum Malkaniyah- mereka berkata: Tuhan itu adalah tiga, iaitu tiga oknum; oknum Bapa, oknum Anak dan oknum Ruhul-Qudus, tetapi satu dalam jauharnya. Oknum bapa adalah zat, oknum anak adalah kalimah dan oknum Ruhul-Qudus adalah hayat (hidup).

Tentang erti oknum dan apa yang dimaksudkan dengan oknum tidak pula sama pendapat mereka. Setengah mengatakan oknum ialah keistimewaan (Khawas). Setengah berkata oknum ialah keperibadian. Dan setengah mengatakan tiga oknum ialah tiga sifat. Setengah berkata kalimah bersatu padu dalam Jesus (Isa a.s).

Sebab itulah maka ayat Al-Quran ini menyerukan lebih baik hentikan sajalah kepercayaan demikian.

“..dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu..” [Al-Quran 4:171]

Sebab setengah daripada akibat kepercayaan itu ialah timbulnya persimpang-siuran di antara Kristian dan Kristian sendiri.

“..Hanyasanya Allah ialah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi pengawal (yang mentadbirkan sekalian makhlukNya).” [Al-Quran 4:171]

 Sumber: Tafsir Al-Azhar

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...