Pages

Tuesday, 8 October 2013

: : Ibrahim a.s & Berhala : :

Kisah Nabi Ibrahim a.s dengan Berhala


"Patung yang kamu sembah (puja), tidak bernyawa dan bikinan kamu sendiri tidak memberi apa-apa manfaat atau mudharat. Jangankan menolong kamu, sedangkan beralih dari tempatnya saja patung itu tidak kuasa kalau tidak kamu yang memindahnya." -Tafsir Al-Azhar

Allah swt berfirman di dalam surah al-Anbiya, surah ke 21, ayat 51-71:

51. Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid (mengesakan Allah), dan Kami adalah mengetahui akan halnya.

52. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?"

53. Mereka menjawab: "Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya".


54. Ia berkata: "Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata".

55. Mereka bertanya: "Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?"

56. Ia menjawab: "(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu.

57. "Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)".

58. Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya.

59. (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim".

60. (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya".

61. (Ketua-ketua) mereka berkata: "Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan (tindakan mengenainya).

62. (Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?"

63. Ia menjawab: "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata".

64. Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim".

65. Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka mengapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?"

66. Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?

67. "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?"

68. (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!"

69. Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".

70. Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).

71. Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.

[Al-Quran 21:51-71]

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...