Selawat Tanda Mahabbah (Cinta) Kepada
Rasulullah saw
Allah swt berfirman di dalam surah al-Ahzab,
surah 33 ke ayat 56:
“Sesungguhnya Allah
dan para MalaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang
yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera
dengan penghormatan yang sepenuhnya.” [Al-Quran 33:56]
Cukuplah ayat di atas menegaskan kepada
manusia betapa tinggi dan mulianya kedudukan Nabi Muhammad saw di sisi Rabbul ‘alamin.
Dan cukuplah ayat di atas membuat nama
baginda saw disebut, disanjung dan dipuji di langit dan di bumi oleh para
Malaikat dan orang-orang yang beriman yang memang sangat mencintai beliau saw.
Sehingga, tidak ada satu pun manusia yang
namanya paling banyak disebut selain nama beliau yang kemudian mereka iringi
dengan ucapan selawat shalallahu ‘alaihi wa salam.
Jutaan kitab kaum Muslimin dipenuhi dengan
nama beliau saw seiring dengan tulisan dan ucapan selawat dan salam dari para
penulisnya atau di mana saja kaum Muslimin berada mereka dapat mengucapkan
selawat dan salam sebagaimana perintah baginda saw:
“Berselawatlah kepadaku!
Sesungguhnya selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana saja kamu berada.”
[Hadis diriwayatkan Imam Abu Daud & Ahmad]
Dari Abu Hurairah,
ia berkata: “Bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda:
‘Barangsiapa yang
berselawat kepadaku satu kali (saja), nescaya Allah akan berselawat kepadanya
sepuluh kali’.” [Hadis riwayat Muslim]
Di antara sekalian banyak faedah dan buah
yang dihasilkan dari mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi saw ialah
mahabbah (kecintaan) kepada beliau saw. Yakni, kecintaan yang mendalam, yang
bertambah dan terus menerus tertanam dan memenuhi hati seorang Muslim.
Tambahan, mencintai Nabi saw (serta
mengikuti sunnahnya), adalah satu kewajipan kepada setiap Muslim yang merupakan
ujian keimanan baginya. Allah swt berfirman di dalam surah at-Taubah, surah ke
9 ayat 24:
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara
kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan
harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot,
dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada)
berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusannya (azab seksanya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasik (derhaka). [Al-Quran 9:24]
Allah swt juga berfirman di dalam surah
Ali-Imran, surah ke 3 ayat 31:
“Katakanlah (Wahai
Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah
mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.” [Al-Quran 3:31]
Manakala berikut merupakan hadis-hadis
berhubung keutamaan cinta kepada Rasulullah saw:
Dari Anas bin Malik,
ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah saw: ‘Tidak beriman salah seorang dari
kamu sehingga aku lebih ia cintai dari anaknya, orang tuanya dan manusia
seluruhnya’.” [Hadis riwayat Bukhari]
Dari Abu Hurairah
r.a (ia berkata): “Bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda: ‘Demi Allah! Yang
jiwaku ada di tanganNya! Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga aku
lebih ia cintai dari orang tuanya dan anaknya’.” [Hadis riwayat Bukhari]
Dari Abdullah bin
Hisyam, ia berkata: “Kami pernah bersama Nabi saw, dan beliau sedang memegang
tangan Umar bin al-Khattab. Maka berkatalah Umar kepada beliau saw: ‘Ya
Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari segala sesuatu kecuali
terhadap diriku sendiri.’ Bersabda Nabi sawa (kepada Umar): ‘Tidak! Demi Allah
yang jiwaku berada di tanganNya! Sehingga aku lebih engkau cintai dari dirimu
sendiri.’ ‘Umar pun berkata kepada beliau: ‘Maka, sesungguhnya sekarang, demi
Allah! Engkau lebih aku cintai dari diriku sendiri .’ Nabi saw bersabda: ‘Sekarang
wahai Umar.’” [Hadis riwayat Bukhari]
Sumber: Sifat selawat dan salam kepada Nabi
saw
No comments:
Post a Comment