Satu Hari di sisi Allah swt
Oleh: Dr Zakir Naik
Satu hari di
sisi Allah; adakah 1000 tahun atau 50000 tahun?
Dalam Al-Quran
terdapat ayat yang mengatakan bahawa satu hari di sisi Allah swt adalah sama dengan
seribu (1,000) tahun. Walau bagaimanapun dalam ayat yang lain Allah swt telah
mengatakan bahawa satu hari adalah bersamaan dengan lima puluh ribu (50 000) tahun. Justeru, adakah ayat yang terdapat dalam Al-Quran bercanggah antara satu
sama lain?
1. Masa di sisi
Allah swt tiada tandingan dengan masa duniawi
Al-Quran mengatakan
dalam dua ayat, iaitu (22:47 dan 32: 5), bahawa ukuran satu hari di sisi Allah
swt adalah sama dengan 1,000 tahun hitungan kita. Namun, di dalam ayat yang lain,
iaitu (70: 4), Allah swt telah mengatakan bahawa ukuran satu hari di sisiNya
adalah sama dengan 50,000 tahun hitungan kita.
Secara amnya,
ayat-ayat ini membawa maksud bahawa masa di sisi Allah swt tiada tandingan dengan
masa duniawi. Contoh-contoh yang diberikan adalah seribu tahun dan lima puluh
ribu tahun masa duniawi. Dalam erti kata lain, masa yang dinyatakan sebagai
beribu-ribu tahun di bumi adalah untuk menunjukkan bahawa sehari di sisi Allah
swt merupakan suatu masa yang sangat panjang.
2. Yaum (hari dalam
bahasa Arab) juga bermaksud jangkamasa atau tempoh
Perkataan Arab yang
digunakan dalam ketiga-tiga ayat (22:47, 32: 5 dan 70: 4) adalah Yaum; iaitu di
samping bermaksud sehari, Yaum turut membawa maksud suatu tempoh masa yang
panjang, atau suatu zaman. Sekiranya anda menterjemahkan perkataan Yaum sebagai
'tempoh' atau suatu ‘jangkamasa’, anda tidak akan menghadapi sebarang
kekeliruan.
a) Ayat ke 47
dari Surah Hajj menyatakan:
Dan mereka meminta
kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak
sekali-kali akan memungkiri janjinya; dan (katakanlah kepada mereka):
sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi tuhanmu adalah menyamai
seribu tahun dari yang kamu hitung. [Al-Quran 22:47]
Apabila orang-orang
kafir meminta untuk menyegerakan hukuman; Al-Quran selanjutnya berkata Allah
tidak akan memungkiri janjiNya. Sesungguhnya tempoh atau jangkamasa sehari di
sisi Allah adalah seperti seribu tahun daripada perhitungan mereka.
b) Ayat ke 5
dari Surah Al-Sajdah menyebut:
"Dia memerintah
(semua) urusan dari langit ke bumi, pada akhirnya (segala urusan) akan naik
kepadaNya pada suatu masa, tempoh itulah yang akan menjadi (seperti) satu ribu
tahun hitungan kamu?". [Al-Quran 32:5]
Ayat ini menunjukkan
bahawa tempoh yang diperlukan bagi semua urusan untuk naik kepada Allah (swt)
adalah seribu tahun mengikut hitungan kita.
c) Ayat ke 4
dari Surah Al-Maidah berkata:
"Malaikat-malaikat
dan roh (Jibril a.s) naik kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya adalah
(seperti) lima puluh ribu tahun". [Al-Qur'an 70: 4]
Ayat ini bermakna
tempoh yang diperlukan bagi para malaikat dan Jibril a.s naik kepada Allah
(swt) adalah lima puluh ribu tahun.
d) Tempoh masa bagi
dua tindakan yang berbeza tidak semestinya sama.
Sebagai contoh
tempoh yang diperlukan untuk saya melakukan perjalanan ke destinasi 'A' katakan
Vashi adalah satu jam dan tempoh yang diperlukan bagi saya untuk melakukan
perjalanan ke destinasi 'B' iaitu Kashmir adalah 50 jam. Ini tidak menunjukkan
bahawa saya membuat dua kenyataan yang bercanggah.
Oleh yang demikian, ayat-ayat
al-Quran tidak menunjukkan percanggahan antara satu sama lain, sebaliknya ia
berada dalam keadaan harmoni. Malah Al-Quran dapat mengukuhkan fakta saintifik
moden.
Terjemahan: Mohd
Aziz
No comments:
Post a Comment