Yaumul Azan
Oleh: TG Hj Nik Abdul Aziz
Hari akhirat juga disebut yaumul azan iaitu hari seruan
(azan). Diriwayatkan, seorang alim bernama Towus pergi berjumpa khalifah yang
bernama Hisyam bin Abdul Malik, di zaman Hajjaj as-Saqafi menjadi gabenornya.
Lalu tuan guru bernama Towus itu berkata kepada khalifah Hisyam, “Wahai khalifah,
hendaklah kamu merasa gerun kepada suatu hari yang diberi nama Yaumul Azan.”
Lalu Khalifah Hisyam bin Abdul Malik bertanya kepada Towus, “Apakah
yang dimaksudkan Yaumul Azan itu?” Lalu Thowus membacakan firman Allah swt surah Al-A'raf, surah ke 7 ayat 44:
Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat
masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata:
"Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh
Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah
dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?". Mereka menjawab:
"Benar ada". Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka
(kedua-dua puak itu) menyatakan: "Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas
orang-orang yang zalim". [Al-Quran 7:44].
Azan yang dilaungkan oleh malaikat itu bukan azan yang
menyeru Haiya ‘alas Solah, Haiya ‘alal Falah, sebaliknya azan itu berbunyi An
La’natullah ‘Alaz Zolimin yang bermaksud; ‘Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas
orang-orang yang zalim’. Mendengar penjelasan itu Khalifah Hisyam bin Abdul
Malik jatuh pengsan.
Apabila Thowus melihat Khalifah Hisyam bin Abdul Malik
pengsan, Towus berkata, “Khalifah Hisyam bin Abdul Malik ini pengsan hanya
sekadar mendengar firman Allah mengenai Yaumul Azan, beliau belum lagi melihat
hari kiamat yang bernama Yaumul Azan.”
Demikianlah seorang khalifah yang beriman kepada Allah swt
dan juga hari akhirat. Seorang khalifah yang menjalankan pemerintahannya
berdasarkan hukum dan syariat Allah swt, sangat mudah menerima teguran ataupun
nasihat daripada kalangan ulama. Beliau sedia mendengar sebarang nasihat yang
ditujukan kepadanya, lebih-lebih lagi nasihat yang dibacakan kepadanya itu
adalah daripada Al-Quran.
Sumber: Bertemu Janji Allah.
No comments:
Post a Comment