7 Alasan Mengapa Kita Perlu Membaca
Al-Quran
Oleh: Shabir Ali
1. Mukjizat
Al-Quran
merupakan mukjizat teragung yang diberikan kepada baginda Nabi Muhammad saw.
Mukjizat ini tidak mampu untuk ditiru atau ditandingi oleh mana-mana makhluk.
Malah Allah swt sendiri telah menegaskan di beberapa tempat di dalam Al-Quran, bahawa
manusia tidak mampu untuk mendatangkan sesuatu yang sama seperti Al-Quran,
walaupun mereka (manusia dan jin) berkumpul bersama-sama dan saling bantu
membantu. Sejak lebih 1400 tahun Al-Quran diturunkan sehingga ke hari ini;
telah ada berbilion buah buku yang dihasilkan, tetapi tidak ada satu pun yang
sama dengan Al-Quran.
2. Tulen/Asli
(Tiada sebarang perubahan)
Al-Quran
merupakan sebuah kitab suci yang cukup tua. Ia diturunkan lebih 1400 tahun yang
lalu. Walaupun telah lama beredar di serata pelusuk, namun Al-Quran tetap utuh,
tidak ada sebarang perubahan sejak ia mula diturunkan. Bahkan, Tuhan sendiri
menegaskan bahawa Dia yang telah memelihara Al-Quran. Al-Quran benar-benar
kekal asli sebagaimana ia diturunkan sejak 1400 tahun yang lalu.
3. Kitab
Wahyu Terakhir
Al-Quran
adalah wahyu Allah swt yang terakhir kepada manusia. Sebelum itu, Allah swt
telah menurunkan Taurat kepada Nabi Musa a.s, Zabur kepada Nabi Daud, Injil
kepada Nabi Isa a.s, dan akhirnya Al-Quran kepada baginda Nabi Muhammad saw. Tidak
ada lagi wahyu yang lain yang akan datang dari Allah untuk mengatasi/menggantikan wahyu
terakhir ini.
4. Kebenaran
Al-Quran
Tidak ada sesiapapun
yang boleh mempertikaikan kebenaran kitab suci ini. Al-Quran bercakap tentang
sejarah masa lalu dan ternyata betul. Ia membicarakan tentang masa depan dan
ternyata betul. Ia menyebut perihal butiran fenomena fizikal yang tidak
diketahui oleh manusia pada masa itu; namun penemuan saintifik moden
kemudiannya mengesahkan bahawa selama ini Al-Quran adalah betul. Buku-buku yang
lain perlu disemak semula supaya selaras dengan pengetahuan moden. Al-Quran
sebaliknya tidak pernah bercanggah dengan penemuan moden.
5. Buku
Panduan Terbaik
Al-Quran merupakan
buku panduan terbaik untuk memandu kehidupan manusia ke arah kesejahteraan,
keamanan dan keharmonian. Tidak ada buku selain Al-Quran yang mengutarakan
pelbagai sistem yang menyeluruh yang melibatkan semua aspek kehidupan manusia. Selain
itu, Al-Quran juga menunjukkan cara untuk mendapatkan kebahagiaan yang kekal di
akhirat nanti. Ia adalah pelan tindakan atau peta yang menunjukkan dan
menerangkan kepada anda bagaimana untuk sampai ke syurga.
6. Anugerah
Rahmat Dari Tuhan
Allah swt setelah
mencipta kita, tidak membiarkan kita begitu sahaja atau tanpa panduan. Kita
manusia dicipta bukan untuk sia-sia. Tuhan telah memberitahu kita mengapa Dia
menciptakan kita, apa yang perlu kita lakukan, dan apa yang telah disediakan untuk
kita. Katakan kita mengendalikan satu mesin, tetapi kita tidak mengikut manual
atau spesifikasi pencipta mesin tersebut, sudah tentu kita akan merosakan mesin
tersebut. Bagaimana pula dengan diri kita? Adakah kita juga mempunyai manual yang
disediakan oleh Pencipta untuk kita? Sudah pasti ya dan manual bagi kita adalah
Al-Quran. Al-Quran adalah manual istimewa dari Tuhan untuk kita berfungsi
dengan baik. Ia adalah rahmat penyembuhan dari Allah. Ia memenuhi keperluan
jiwa dan membersihkan hati. Ia juga membuang keraguan dan membawa keamanan.
7. Bahan
Perantara Untuk Berkomunikasi Dengan Tuhan
Manusia
adalah makhluk sosial. Manusia suka berkomunikasi dan berinteraksi dengan
kehidupan pintar yang lain. Al-Quran memberitahu kita bagaimana untuk
berkomunikasi dengan sumber bagi segala kepintaran yakni Allah swt Tuhan Yang
Maha Esa. Al-Quran memberitahu kita siapa Tuhan, bagaimana kita seharusnya menyebut
nama Tuhan, dan bagaimana cara untuk berkomunikasi dengan-Nya.
Terjemahan: Mohd Aziz
No comments:
Post a Comment