Pages

Sunday, 18 November 2012

: : Bersyukurlah : :

Bersyukurlah
Oleh: Syeikh Dr. Muhammad al-‘Arifi

Suatu hari, saya telah berkunjung ke sebuah pekan yang terletak di pinggir pantai. Saya bersama seorang lagi sahabat ke sana untuk menikmati makan tengah hari. Sesudah menjamu, kami berjalan-jalan sambil menghayati keindahan pantai, sehinggalah tiba-tiba
kami ternampak sebuah rumah usang berhampiran pantai itu. Rumah itu cukup menggambarkan kemiskinan. Aktiviti berjalan-jalan kami lalu beralih menuju ke rumah tersebut.

Setibanya kami di depan laman rumah, seorang budak dalam lingkungan lapan tahun telah berada di situ. Tanpa melengahkan masa, saya terus bertanya: “Wahai anak kecil, di mana ayah kamu?” Budak itu lalu berkata: “Saya tidak tahu”. Saya melanjutkan pertanyaan: “Oo.. siapa pula yang ada di rumah?”. “Emak saya”, balasnya. Saya lalu memberitahunya agar memanggil emaknya keluar.

Beberapa minit kemudian, keluar seorang perempuan. Keluar dengan penampilannya itu sudah cukup untuk menceritakan kepayahan. Dengan muka manis, saya bertanya: “Di mana suami puan?” “Demi Allah, suami saya di penjara kerana hutang”, jawabnya. “Jadi, siapa yang menanggung puan sekeluarga”, soal saya lagi. “Tidak ada”, balasnya ringkas.


Saya mengambil peluang untuk meninjau keadaan rumah. Sungguh menyedihkan. Cukup daif. Lalu saya menghulurkan sedikit bantuan kepada beliau.Kami selanjutnya melangkah ke sebuah rumah lagi yang berdekatan. Kelihatan seorang perempuan tua sedang berdiri di depan rumahnya yang kecil.

“Assalamualaikum”, samput saya. “Waalaikumussalam”, balasnya. Saya lalu bertanya, “Di mana suami makcik?” “Demi Allah, suami saya sudah meninggal dunia”, jawabnya sayu.

Saya seterusnya berkata: “Ada tak anak-anak yang tinggal bersama makcik? Kalau ada, boleh tak salah seorang datang kepada kami”. “Ada, tetapi maaf tuan, anak-anak saya tak mampu untuk datang kepada tuan”, jawab makcik tadi. Lalu makcik itu berkata lagi: “Tuan masuklah ke rumah saya dan lihatlah anak-anak saya”.

Sungguh hiba, kami mendapati ada empat orang berada dalam rumah tersebut, di mana keempat-empat mereka adalah anak-anak istimewa. Yang sulung berumur lebih kurang lima belas tahun. Mereka mengalami masalah saraf, menyebabkan mereka tidak mampu untuk mengawal kaki dan tangan sendiri. Mereka makan hanya menggunakan mulut semata-mata. 

Manakala keadaan di dalam rumah pula tiada alas mahupun tilam. Keseluruhan rumah pun cuma ada satu bilik sahaja, iaitu dapur.Saya selanjutnya bertanya kepada makcik tadi: “Adakah ini semua anak-anak makcik?”. Dia berkata: “Ya! Dan kesemua mereka adalah kurang upaya”. Saya menyambung lagi dengan bertanya: “Dengan keadaan begini, mereka ada guna kerusi roda tak?”. Jawab makcik itu: “Dari mana datangnya kerusi roda, untuk membeli lampin sekalipun saya tidak mampu”. “Tuan lihatlah saya ini, umur pun sudah tua”, tambahnya lagi.

Wahai saudara-saudaraku yang dikasihi sekalian! Jika kalian mendapati anak kalian sihat katakanlah: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku!”

Andai kalian berasa dahaga, lalu mengambil segelas air, disuapkan ke mulut dan kalian minum dengan aman, ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku!”

Jika kalian melihat diri, anak-anak dan isteri berada di rumah dalam keadaan sejahtera katakanlah: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku!”


Sekiranya kalian melihat diri kalian menyembah Allah dan tidak menyembah berhala, lembu atau tidak mendatangi gereja, ucaplah: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku!”

Jika kalian bangun pagi, sebagai mukmin dan petang masih lagi beriman, katakanlah: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku!”

Apabila seseorang itu bersyukur nescaya Allah akan melipatgandakan kebaikan baginya. Sebagaimana firman Allah swt di dalam Al-Quran:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras". [Al-Quran 14:7]

Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: YouTube ~al-'Arifi~


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...