Pages

Sunday, 18 November 2012

: : Nikmat Islam : :

Nikmat Islam
Oleh: Sheikh Saleh al-Maghamsi

Apabila kita telah mengetahui bahawasanya Allah swt mengharamkan syurga bagi mereka yang kufur terhadapNya, maka dari itu kita tahu bahawa sebesar-besar nikmat ialah nikmat Islam.

Apabila Allah menginginkan hambanya kebaikan maka dia dimatikan dalam keadaan Islam. Nabi saw pernah berdoa; “Ya muqallibal qulub, thabit qalbi ‘ala dinik”  yang bermaksud; “Wahai yang menetapkan hati-hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu.”

Dan Nabi saw telah pun memberitahu bahawa antara tanda-tanda fitnah akhir zaman ialah apabila berlaku kejadian di mana orang yang malamnya beriman kemudian paginya kafir, atau paginya kafir manakala petangnya dia beriman. Dan hari ini kita lihat di sekeliling kita, berbagai-bagai perkara (maksiat)  yang disebarkan baik berbentuk syubuhat (penipuan) dan yang berbentuk syahwat (yang membangkitkan nafsu). Tiada syak lagi bahawa ini semua dapat menyebabkan seseorang itu berpaling (dari agamanya).

Justeru, hadirkanlah di hati kita rasa gembira tatkala kita menyembah Allah. Sesetengah manusia apabila melakukan sesuatu perkara yang mubah dan makruh seperti menghadiri majlis keramaian, dia merasa gembira kerana menghadirinya. Kita tidak ingin membicarakan perihal tentang aktiviti sesuatu golongan itu, tetapi kita ingin mengambil faedah dari “kegembiraan” ini.

Bagaimana kita tahu bahawa kita (tetap) di atas landasan Islam; iaitu apabila kita merasa gembira tatkala mentaati Allah. Jangan melakukan sesuatu ibadah semata-mata untuk menyelesaikannya, tetapi lakukanlah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Allah swt tidak dimudaratkan oleh kemaksiatan manusia, tetapi manusialah yang binasa apabila dia melakukan maksiat.

Dan mati di dalam Islam, dalam apa jua keadaan jauh lebih baik berbanding mati di dalam kekufuran. Seorang sahabat yang mulia Amru Ibn al-Ash tatkala hampir waktu kematiannya berkata:

 “Ya Allah, aku bukanlah seorang yang lepas (dari dosa), maka aku memohon pengampunan. Dan bukanlah aku orang yang kuat (dalam ibadat), maka aku memohon pertolongan. Dan tidak ada bantuan dan kekuatan kecuali dengan pertolonganmu ya Allah.”

Apabila Allah telah menetapkan bagi kita untuk solat subuh berjemaah, setelah kita keluar solat dari masjid (surau), hadirkanlah perasaan gembira bahawasanya Allah dengan rahmatNya telah membangunkan kita dari tempat tidur dan menggerakkan kita menuju ke rumahNya dan menyebabkan kita berdiri di hadapanNya.

Inilah yang kita harapkan, mereka yang apabila Allah swt inginkan kebaikan untuk mereka, mereka ditetapkan dan dimatikan di atas agama dan tidak ada kegembiraan yang lebih besar bagi seorang hamba selain kegembiraannya terhadap Islam.

Firman Allah swt di dalam Surah Ali Imran ayat 102 bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” [al-Quran 3:102]

Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: YouTube ~al-Maghamsi~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...