Pages

Tuesday, 27 November 2012

: : Hadiah Untuk Amir (Cerpen) : :

Hadiah Untuk Amir (Cerpen)
Oleh: Saudara Saifullizan Yahaya

(Allah swt di dalam surah Taha, surah ke 20 ayat ke 132 yang bermaksud:

“Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun sabar mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Al-Quran 20: 132])

Mama dan papa sudah datang. Amir harus balik kerana sudah tiga minggu Amir
tinggal bersama-sama atuk dan nenek di kampung. Mama dan papa tentu rindukan Amir. Amir pun rindukan mereka. Tetapi Amir seronok tinggal di kampung kerana di sini ramai kawan. Atuk dan nenek juga selalu ada. 

Di rumah Amir pula, Amir hanya tinggal dengan Kakek Suhaya, orang gaji dari seberang. Amir juga tidak pernah tengok Kakek Suhaya solat. 

Di rumah nanti, Amir hendak ajak Kakek Suhaya solat bersama-sama Amir jika mama dan papa tak ada di rumah. Tetapi jika ada mama, papa dan kakek solat sekali, lagi seronok. Amir memang seronok jika solat beramai-ramai.

“Apa Amir buat di sini?” Mama terus cium pipi Amir selepas saja mama melangkah bendul pintu rumah atuk.

“Solat.” Itu saja yang Amir jawab. Tetapi Amir tengok muka mama kehairanan.
“Amir seronok tinggal di sini?” Tanya papa sambil menghulurkan tangan. Amir mencium tangan papa.

“Seronok solat.” Amir tengok muka papa sama seperti muka mama apabila mendengar jawapan Amir. Salahkah Amir menjawab soalan papa itu? Tetapi Amir tengok muka atuk dan nenek tersenyum saja.

Sewaktu dalam kereta tatkala dalam perjalanan pulang Amir tanya pada mama dan papa, mereka tahukah solat? Mama dan papa kata mereka tahu, tetapi belum sempat Amir tanya lagi, mama dan papa sudah bercakap hal lain yang Amir sendiri tak faham. Tetapi nyata bukan hal solat.

Amir ajak Kakek Suhaya solat. Kata Kakek Suhaya, dia tak boleh solat. Dua tiga hari lagi baru dia boleh solat. Amir pun solat sendiri. Hendak ajak mama dan papa, pagi-pagi lagi mereka sudah keluar pergi kerja. 

Waktu mama dan papa balik nanti, Amir hendak ajak mereka solat Maghrib bersama. Kalau tak sempat, Amir mahu ajak mama dan papa solat Isyak. Tentu boleh kerana Isyak panjang.

“Papa letihlah, ajak mama saja, ya.” Papa terus masuk bilik.

“Mama pun letih, nantilah ya, bila mama senang-senang nanti kita solat bersama.” Mama pun terus masuk bilik.

Solat tu boleh main-main ke? Fikir Amir. Amir ingat benar cakap Ustaz Yusof, “Orang yang tak mendirikan solat akan dicampakkan ke dalam api neraka.” Amir tahu neraka itu tempat orang-orang jahat. Tempat orang-orang yang Allah tak suka, begitulah kata atuk.

Gambar hiasan (api)

Amir sayangkan mama dan papa. Amir takut papa dan mama masuk neraka. Dalam neraka apinya sangat besar dan panas. Amir tak nak papa dan mama terbakar dan dibantai. (Pembantaian yang jauh lebih teruk dari peristiwa pembakaran hidup-hidup terhadap 6 juta puak Yahudi oleh Hitler, Nazi Jerman.) 

Amir mesti ajak papa dan mama solat. Mesti! 

Amir hendak jadi anak yang soleh. Laksana pesan nenek, anak yang solat selalu mendoakan kesejahteraan kedua-dua ibu-bapanya. Kata nenek lagi, Amir mesti berdoa memohon kepada Allah supaya bukakan pintu hati mama dan papa supaya solat. 

Amir memang selalu berdoa selepas solat supaya mama dan papa hendak solat bersama-sama Amir. Amir juga berdoa supaya diampunkan dosa-dosa mama dan papa.

“Mengapa Amir menangis?” Mama masuk ke dalam bilik Amir.

“Amir baru lepas solat, ya?” Mama sudah duduk dekat Amir. Kemudian Amir lihat papa juga masuk ke dalam bilik.

“Amir menangis bang.” Papa juga sudah duduk dekat Amir.

“Mengapa Amir menangis?” Mama menyapu air mata Amir.

“Amir berdoa kepada Allah supaya mama dan papa mahu bersolat dengan Amir.” Papa melihat ke muka mama dan mama melihat ke muka papa seperti di rumah atuk dulu.

“Amir takut mama dan papa dibantai ular besar dalam kubur. Amir juga tidak mahu mama dan papa masuk neraka kerana tak solat. Sebab itu Amir minta ampun pada Allah supaya mama dan papa tak jumpa ular besar dan tidak masuk neraka. Amir takut tinggal seorang.” Amir tengok muka mama dan papa berubah tetapi tak seperti di rumah atuk dulu. Kini muka mama dan papa nampak sedih dan insaf.

Esok, pagi-pagi Amir dikejutkan oleh mama untuk bersolat bersama-sama papa. Amir rasa sungguh seronok. Papa jadi imam. Amir di belakang papa. Di belakang Amir ada mama dan Kakek Suhaya.

Sebelum mama dan papa pergi kerja, mereka telah berjanji tidak akan tinggalkan solat lagi. Mama dan papa juga akan balik cepat kerana hari ini, hari lahir Amir yang kelima tahun. Mama dan papa ada hadiah untuk Amir nanti. 

Amir rasa sangat seronok kerana Amir sudah dapat hadiah yang lebih besar, iaitu mama dan papa mahu solat bersama-sama Amir. Bagi Amir itulah hadiah hari lahirnya.

(Di dalam surah Al-Muddatsir surah ke 74, bermula ayat 38 hingga 43, Allah swt berfirman mafhumnya:

“Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah dikerjakannya, kecuali golongan kanan, (mereka) berada di dalam syurga, mereka bertanya-tanya, tentang keadaan orang-orang yang berdosa. Apakah yang menyebabkan kamu (orang-orang berdosa) masuk (Neraka) Saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat..” [Al-Muddatsir: 38-43])

Sumber: Kumpulan Cerpen Lelaki Tua dan sebuah Kerusi, DBP, Kuala Lumpur 2008

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...