Pages

Friday, 23 November 2012

: : Keajaiban Sedekah : :

Keajaiban Sedekah
Oleh: Syeikh Dr Ali Jumaah
Sheikh Muhammad Amin Baghdadi merupakan seorang ulamak yang tenang dan beramal dengan ilmunya serta salik di jalan Allah. Beliau merupakan ulamak daripada Mazhab Syafie. Beliau telah datang ke Mesir dan meninggal dunia di sana pada tahun 1940. Ramai daripada anak murid beliau yang menjadi ulamak di Al-Azhar As-Syarif. 
Sheikh senantiasa berjalan ke Masjid yang beliau
selalu solat dan mengajar di sana. Masjid tersebut adalah masjid Zahir Jasyinkir. Suatu hari, ketika dalam perjalanan ke Masjid beliau bertemu seorang pemuda dalam keadaan mabuk. Pemuda mabuk itu meminta sesuatu daripada beliau. Pemuda tersebut menghalang perjalanan beliau dan berkata: “Bagilah sesuatu!”, “bagi padaku sesuatu!”. Sebenarnya pemuda tersebut adalah lelaki terhormat, namun disebabkan mabuk tidak sedarkan diri, membuatkan seolah-olah dia meminta-minta dan memohon sedekah dengan Sheikh.
Lalu, Sheikh mengeluarkan 10 Qirs (nilai wang pada ketika itu di Mesir), dan beri kepada pemuda mabuk tadi. Salah seorang anak murid beliau yang melihat perkara tersebut telah menegur. “Lelaki ini mabuk, wahai tuan!”, tegur anak muridnya. “Bagaimana tuan boleh berikan dia 10 Qirs?,” katanya lagi. “Nanti dia gunakan duit itu untuk mabuk lagi”, tambahnya.


Kemudian, Sheikh berkata: “Kita berdoa kepada Allah supaya dia diberi hidayah”. “Akan tetapi Nabi saw memerintahkan kepada kita untuk bersedekah kepada orang, walaupun diminta ketika kita berada di atas kuda. Lelaki ini, aku tidak mahu siasat samada dia mabuk atau tidak”, balas Sheikh kepada muridnya. Seterusnya, Sheikh berkata: “Aku hanya ingin melaksanakan Sunnah Nabi saw kerana dia meminta kepada aku dan aku punya wang di dalam saku, lalu aku berikan dia 10 Qirs”.
Mengejutkan, setelah beberapa hari, lelaki tadi datang ke Masjid dan mencari Sheikh yang ditemuinya tempoh hari. “Mana Sheikh itu? Saya mesti berjumpa dengan dia”, pinta lelaki tersebut. Lalu lelaki itu bertemu dengan Sheikh dan terus mencium tangan beliau sambil menangis.
“Ada apa ni?”, soal Sheikh kehairanan. Lalu pemuda tadi berkata: “Wahai tuan, 10 Qirs yang tuan beri pada saya, telah saya guna untuk minum arak. Apabila saya minum arak, saya muntah. Baki duit yang masih ada, saya guna untuk minum arak lagi dan muntah. Untuk kali ketiga, saya muntah lagi. Bila berlaku demikian saya menjadi mual dengan arak”, cerita pemuda itu.
“Saya bertaubat kepada Allah. Saya berjanji tidak akan minum kembali najis ini. Saya kembali kepada Allah. Saya akan solat dan berpuasa serta akan mendampingimu ya Sheikh”, kata pemuda tadi dengan penuh keinsafan.



Selepas itu, ada sedikit perkara yang menghairankan berlaku kepada lelaki tadi setelah dia mendampingi Sheikh itu. Pendapatannya 6 Pound sebelum ini telah berkurang kepada 4 Pound. Apabila mendampingi Sheikh dengan melakukan solat dan puasa dengan penuh istiqomah pendapatannya kurang 2 Pound.
Lalu dia berjumpa dengan Sheikh dan berkata: “Wahai tuan, apabila saya mendampingi tuan, dunia saya jadi bocor. Sebelum ini saya dapat 6 Pound, namun apabila saya solat dan puasa, saya dapat 4 Pound sahaja”. Selanjutnya, Sheikh berkata: “Baik! Cuba kita kaji masalah ini dengan tenang”. “Kamu beri kepada si Yunan (tauke arak) berapa?”, soal Sheikh. “Saya beri 2 Pound”, jawab pemuda itu. “Baik, bukankah rezeki yang kamu pegang itu adalah rezeki si Yunan. Kemudian, Allah bersihkan engkau daripada arak, 2 Pound yang sepatutnya menjadi milik si Yunan, akan diperolehinya melalui jalan lain, menerusi hikmah Allah swt dan urustadbirNya kepada alam,” terang Sheikh.
Mendengar jawapan Sheikhnya itu, lelaki tersebut lalu bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Allah swt merahmatinya. Hakikatnya, rezekinya tidak berkurang pun. 2 Pound yang datang itu untuk dia melakukan maksiat, apabila maksiat sudah tiada, ia tidak diperlukan lagi.
Maka, jadilah kisah yang agung ini membawa maksud: “Setiap kali kita mengikuti sunnah Nabi saw, kita akan melihat keajaiban dan perkara yang pelik”. Allah swt memberi hidayah kepada manusia dengan bersebab. Apabila baginda Rasulullah saw mengatakan berilah sedekah, maka berilah sedekah. Justeru ia menjadi sebab kepada hidayah lelaki tersebut.
Hidayah bukan di tangan Rasulullah saw, bukan di tangan Sheikh, dan juga bukan ditangan anak murid yang menegur, akan tetapi hidayah adalah di tangan Allah swt. Dia yang memberi hidayah. Dia yang menjadikan segalanya di alam ini.
Maka ambillah perhatian! Tiada daya upaya kecuali dengan Allah.
Terjemahan oleh: Al-Muttaqin.tv

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...