Pages

Friday, 23 November 2012

: : Kisah Takjub Wanita Solehah : :

Kisah Takjub Wanita Solehah
Oleh: Syeikh Muhammad Hassan



Tuan tuan yang budiman..andai anda jujur dan ikhlas dengan Allah, nescaya Allah akan mengurniakan keberuntungan kepada anda. Taatilah Allah, nescaya Dia akan memberi penyelesaian bagi setiap masalah kepada anda serta membuka jalan keluar bagi setiap kesukaran.


Ada sebuah kisah menarik yang telah berlaku kepada seorang wanita solehah dariMesir. Wanita ini sendiri telah menceritakan peristiwa takjubnya itu kepada saya. Keluarganya orang miskin. Hidupnya susah. Walau bagaimanapun, dia dan keluarganya taat dalam mengerjakan ibadat kepada Allah.


Satu malam, anak perempuannya jatuh sakit. Sakit demam panas. Waktu itu, suaminya tiada di rumah kerana telah berminggu-minggu keluar bermusafir atas urusan tertentu. Ketika itu, hanya dia, ayahnya dan anak perempuannya sahaja yang ada di rumah. Dia berasa sangat risau kerana suhu badan anaknya semakin lama semakin panas. Ubat pula tidak ada untuk diberi. Bahkan, malam itu juga mereka sekeluarga tidak ada apa-apa yang hendak dimakan.

Melihat puterinya makin teruk, wanita ini lalu mencari ikhtiar dengan mengambil tuala basah, kemudian meletakkan pada dahi anaknya bagi meredakan suhu. Sejurus selepas itu, dia solat dua rakaat kepada Allah. Selesai solat, dia lalu menukar tuala basah tadi dengan yang lain, kemudian solat lagi dua rakaat. Begitulah seterusnya yang dilakukan sehingga lewat malam.

Wanita itu lalu memberitahu saya: “Demi Allah, ya Sheikh Muhammad, lebih kurang pukul 1.30 atau 2.00 pagi, tiba-tiba ada orang yang mengetuk pintu rumah saya. Lantas ayah saya pergi untuk melihat sementara saya mengekori dari belakang”. “Siapa tu? Ada apa malam-malam ni?”, soal ayah dari dalam. “Saya doktor!”, jawab orang itu. Kami lalu membuka pintu dan mempelawanya masuk.

“Assalamualaikum”, tegur doktor yang lengkap dengan beg peralatan di tangannya. “Waalaikumussalam”, jawab kami.

“Di mana anak kamu yang sakit itu?”, soal doktor.



Wanita itu lalu menunjukkan doktor tempat anaknya. Tanpa melengahkan masa doktor lalu memeriksa dan memberi ubat. Sesudah merawat budak perempuan itu, doktor kemudian bangun dan berlalu menuju ke pintu rumah. Sebelum melangkah pergi doktor memanggil wanita tadi.

“Ya doktor, ada apa?”, tanya wanita itu.

“Nah, ini jumlah bayaran untuk rawatan anak anda”, beritahu doktor sambil menghulurkan resit.

“Maaf doktor, duit syiling pun saya tiada, saya betul-betul tidak ada duit”, jelas wanita itu.

“Apa! Awak tak malukah? Awak tak ada duit tapi awak call saya tengah-tengah malam ni”, beritahu doktor.

“Saya minta maaf doktor, saya tidak pernah telefon doktor. Telefon pun saya tidak ada”, jelas wanita itu.

“Apa.. Bukankah ini rumah sifulan anak sifulan?”, soal doktor kehairanan.

“Oo..tidak, rumah dia sebelah sana sahaja, tidak jauh dari sini”, jelas wanita itu lagi sambil menunjukkan arah rumah.

Doktor terkejut! Kaku sekejap. Doktor kemudian masuk semula ke dalam rumah dan mahu penjelasan dari wanita itu.

“Beritahu saya apa sebenarnya yang telah berlaku kepada anda, kerana Allah telah membuatkan saya keluar kerana anda dan anak anda,” soal doktor itu bersungguh-sungguh.

Sambil mengalirkan air mata, wanita itu lalu menceritakan kisahnya yang berlaku pada malam tersebut. Sekeluarga tidak makan dan anak pula sakit. Ikhtiar hanya dengan solat dua-dua rakaat.

Habis mendengar kisah wanita itu, doktor kemudian bergegas pulang dan kembali dengan membawa makanan pada malam itu juga. Tidak terhenti di situ, doktor malah menghantar wang perbelanjaan bulanan kepada keluarga wanita miskin itu.

Setelah suaminya pulang, wanita tadi membawa suaminya untuk berjumpa doktor yang baik hati itu. Mereka mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada doktor atas jasa baiknya. 


Mereka juga memberitahu doktor bahawa mereka tidak lagi memerlukan wang perbelanjaan bulanan. Walaupun mereka miskin, kadang-kadang seharian tidak makan tetapi mereka yakin Allah swt akan membantu mereka.

Wanita itu memberitahu saya, sesekali dia bergurau dengan suaminya dengan berkata: “Kalau abang keluar lagi, jangan risau Allah akan memberi makan kepada saya sekeluarga.”

Allah swt berfirman, mafhumnya:

“..Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan larangannya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakinya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”[Al-Quran 65:2-3]

Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: YouTube ~Syeikh Muhammad Hassan~

1 comment:

  1. Semoga saya sentiasa ikhlas dlm pekerjaan n setiap amal...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...