Oleh: Syeikh Muhammad Hassan
Saya pernah dijemput menyampaikan kuliah di Los Angeles, USA. Sewaktu berada di sana, saya telah dikunjungi oleh dua orang pemuda Syria yang datang bersama-sama seorang lelaki warga Amerika. Salah seorang pemuda itu memberitahu saya: “Wahai Syeikh Muhammad, kami akan berasa sangat gembira andai tuan dapat membantu rakan saya warga Amerika ini untuk melafazkan
kalimah syahadah”.
“Selamat datang! Sila masuk dan jemput duduk sebelah saya”, pelawa saya dengan penuh mesra. Selepas duduk bersama lelaki itu, saya membuka bicara dengan bertanya: “Kenapa saudara tertarik dengan Islam, sehingga saudara dengan sukarela datang kepada kami?”. Lelaki itu lalu berkata: “Tuan Syeikh, saya ini sebenarnya seorang bilionair. Saya memiliki beberapa buah syarikat besar dan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.
Untuk pengetahuan tuan, tidak ada tempat menarik di dunia ini melainkan semua telah saya lawati. Tidak ada hidangan eksklusif yang ingin saya nikmati melainkan semua telah saya santap. Tidak ada wanita yang saya puja kecuali saya lakukan kepada wanita itu apa saja yang saya mahu.
Semua ini saya buat dengan wang yang saya miliki.
Rumah saya juga umpama mahligai. Hampir keseluruhannya diperbuat daripada kaca. Terletak di tepi pantai. Di kelilingi oleh taman yang indah dan mengagumkan. Andai tuan masuk ke rumah saya dan pergi ke aras bawah, tuan boleh menikmati keindahan bagaikan berada di dalam lautan.
Walaupun dengan semua yang saya miliki ini, saya berasa letih dan penat dengan hidup ini. Saya masih lagi berasa tidak gembira atau tenang. Untuk pengetahuan tuan juga, sudah 16 kali saya cuba untuk membunuh diri.”
Kenapa boleh berlaku demikian?
Lelaki ini telah memberi apa saja yang dia mahu tetapi masih hidup dalam kebingungan. Ini kerana hidup ini bukan hanya untuk memenuhi kehendak tubuh badan. Ada satu lagi perkara penting yang perlu diketahui bahawa manusia ini sebenarnya terdiri daripada dua unsur, iaitu jasad (tubuh) dan roh (nyawa).
Imam as-Syafie pernah ditanya oleh muridnya:
“Wahai tuan, apakah tubuh yang membawa roh atau roh yang membawa tubuh”.
Imam as-Syafie lalu menjawab: “Bukan jasad atau tubuh yang membawa roh, tetapi rohlah yang membawa tubuh.”
“Kenapa demikian?”, soal muridnya lagi.
“Buktinya, andai roh meninggalkan jasad, (seelok mana sekalipun) jasad itu pasti akan tumbang tanpa apa-apa upaya lagi dan andai jasad itu tidak ditanam, nescaya ia akan mula mengeluarkan bau busuk dan mereput.”
Saya (Syeikh Muhammad) selanjutnya bertanya lagi kepada lelaki itu: “Apakah yang mencetuskan saudara untuk memeluk agama Islam?”. Lelaki itu lalu bercerita: “Satu hari pemuda Syria ini telah datang ke pejabat saya. Semasa di pejabat, dia telah membasuh kaki di tempat singki yang saya gunakan untuk membasuh tangan. Saya kemudian menegurnya, bagaimana dia boleh meletakkan kaki di tempat itu dan di manakah moralnya.”
Pemuda Syria lalu memberitahu saya bahawa dia mengambil wuduk untuk sembahyang. Saya kemudian bertanya kepada siapa dia sembahyang? Allah!, jawabnya. Saya tidak tahu siapa Allah, tetapi apa yang saya lihat pemuda Syria ini, jernih air mukanya, tidak cemas dan tenang sahaja.
Tertarik dengan pemuda Syria ini, saya seterusnya memberitahu bahawa saya juga ingin sekali menjadi seperti dirinya. Tambahan pula, sebelum ini tidak penah saya melihatnya dalam keadaan mabuk.
Saya selanjutnya berkata: “Saya ingin hidup bahagia seperti kamu, apa yang perlu saya buat?”
“Kamu perlu masuk agama ini!”, jawabnya ringkas
“Apakah saya akan hidup gembira, bahagia, tenang dan aman selamat setelah memeluk agama ini?”, tanya saya lagi. “Sudah tentu! Andai saudara benar-benar ikhlas dan jujur”, jawab pemuda Syria.
Selepas itu, saya (Syeikh Muhammad) beranjak lebih rapat kepada lelaki Amerika ini dan memberitahunya untuk mengulang apa yang saya lafazkan:
“…ashadu alla ilaha illa Lah, wa ashhadu anna Muhammadar Rasulullah..”
Demi Allah, selepas lelaki itu melafazkan kalimah syahadah ini, tubuhnya mula gementar dan air matanya mula membasahi pipi. Dua pemuda Syria tadi cuba menenteramkannya. Selepas keadaan mulai reda. Saya lalu bertanya: “Apa yang membuatkan saudara menangis?”
Lelaki itu berkata: “Tidak, tuan dulu perlu beritahu saya! Apakah rahsia yang tuan letak dalam kalimah yang saya ucapkan sebentar tadi!”
“Rahsia! Kenapa?”, jelas saya kehairanan.
“Belum pernah saya alami ketenangan yang sangat mendalam tatkala saya melafazkan kalimah itu.”
Inilah nikmat Islam yang membawa keamanan ke dalam jiwa saudara. Hayatilah dan terjemahlah dalam hidup saudara. Tidak ada yang mampu memiliki ‘hadiah yang paling berharga’ ini melainkan orang yang memeluk Islam dengan ikhlas, jujur dan penuh kasih sayang serta tanpa sebarang paksaan.
Allah swt merakamkan di dalam Al-Quran:
Maka, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. [Al-Quran 39:22]
Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: ~YouTube~
No comments:
Post a Comment