Oleh: Dr Zakir Naik
Terdapat tiga kategori tauhid iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Asma’ Waasifat’ dan Tauhid Uluhiyah. ‘Tauhid Asma’ Waasifat’ adalah bermaksud
mengesakan nama-nama dan sifat-sifat bagi Allah swt. Kategori Tauhid ini dibahagikan kepada lima aspek:
i. Allah swt mestilah dirujuk sebagaimana yang diterangkan oleh Allah swt dan Rasul-Nya
Allah swt mestilah dirujuk mengikut cara sebagaimana yang telah diajar oleh Allah swt dan Rasul-Nya tanpa menjelaskan atau menerangkan nama-nama atau sifat-sifat Allah swt dengan memberi makna yang lain daripada makna yang sebenar.
ii. Allah swt mestilah dirujuk sebagaimana yang telah diterangkan oleh Allah swt sendiri
Allah swt mestilah dirujuk tanpa memberikan nama-nama atau sifat-sifat-Nya yang baru. Sebagai contoh, Allah swt tidak boleh diberi nama Al-Ghaadib (Pemarah), walaupun pada hakikatnya bahawa Dia telah berkata bahawa Dia akan marah. Ini kerana, sesungguhnya samada Allah swt sendiri mahupun Rasul-Nya tidak pernah menyebut atau merujuk nama tersebut.
iii. Allah swt tidak boleh dirujuk sebagaimana sifat-sifat yang ada pada makhluk-Nya
Dalam konteks ini, kita tidak boleh menyebut atau merujuk sifat-sifat bagi Allah swt sama seperti makhluk-Nya. Contohnya, di dalam Kitab Bible, ada menceritakan bahawa Tuhan telah digambarkan bertaubat di atas pemikiran salah-Nya sebagaimana bertaubatnya manusia setelah melakukan kesilapan. Perkara ini jelas bertentangan dengan Tauhid. Tuhan mustahil berlaku salah atau melakukan kesilapan, justeru tidak perlu kepada taubat.
Kunci utama dalam membicarakan sifat-sifat bagi Allah swt telah disebut oleh Kitab suci Al-Quran dalam surah As-Syuura:
“…Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, Dialah Maha Melihat lagi Maha Mendengar.”
[Al-Quran 42:11]
Disebutkan di dalam ayat di atas bahawa Allah swt Maha Melihat dan Maha Mendengar. Walaupun pendengaran dan penglihatan juga ada pada manusia, namun ianya tidak boleh dibandingkan dengan kesempurnaan yang dimiliki oleh Allah swt. Tidak seperti manusia yang memerlukan kepada mata, telinga dan sebagainya untuk melihat dan mendengar. Tambahan pula pendengaran dan penglihatan manusia adalah terhad dari segi ruang, waktu, kapasiti dan sebagainya.
iv. Sifat-sifat bagi Allah swt tidak boleh diberikan kepada makhluk
Merujuk kepada seseorang manusia dengan sifat-sifat yang ada pada Allah swt adalah bertentangan dengan prinsip Tauhid. Sebagai contoh, mengatakan kepada seseorang manusia bahawa dia tidak mempunyai permulaan dan pengakhiran (kekal).
v. Nama Allah swt tidak boleh diberikan kepada makhluk-Nya
Penggunaan terhadap sesetengah nama-nama Allah swt dalam bentuk umum seperti ‘Rahman’ (Pengasih) dan ‘Rahim’ (Pemurah) adalah dibenarkan, sebagaimana nama-nama tersebut juga digunakan oleh Allah swt kepada Nabi-Nabi. Tetapi, nama-nama khas seperti ‘Ar-Rahman’ (Maha Pengasih) dan ‘Ar-Rahim’ (Pemurah) hanya boleh digunakan apabila diletakkan perkataan ‘Abdul’ (Hamba) di hadapan perkataan tersebut. Manakala nama-nama seperti ‘Abdur-Rasul’ (Hamba Rasul) dan ‘Abdun-Nabee’ (Hamba Nabi) pula adalah di larang.
Terjemahan: Mohd Aziz
Sumber: Concept of God in Major Religions
No comments:
Post a Comment