Oleh:
TG Haji Abdul Hadi
Dari Sufian bin Abdillah r.a katanya:
“Aku pernah berkata
kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah katakanlah kepada saya berkenaan dengan
Islam perkataan atau ucapan yang jelas dan yang tidak perlu lagi saya bertanya
kepada orang lain”.
Lalu Rasulullah saw bersabda:
“Katakanlah aku
beriman kepada Allah kemudian beristiqamah”.
Hadis ini memberi pengajaran yang sangat
penting kepada kita bagi menentukan keselamatan , kebahagiaan serta kejayaan
seseorang itu di dunia dan di akhirat; iaitu apabila ia berpegang kuat dengan
agama yang dikenali dengan istiqamah.
Allah swt memerintahkan kepada orang-orang
yang beriman supaya memohon pertolongan dari Allah untuk beristiqamah mengikut
jalan yang betul dan tetap di atas jalan itu; kerana di dunia ini terdapat
banyak ujian dan cabaran yang boleh memesongkan manusia dari jalan yang betul
itu.
Allah mengajar kita supaya memohon
kepada-Nya pada tiap-tiap rakaat sembahyang seperti yang terdapat di dalam
surah Al-Fatihah ayat ke 6 yang bermaksud:
“Tunjukkanlah kami
jalan yang lurus” [Al-Quran 1:6]
Sesiapa yang beriman kepada Allah swt dan
mengikut jalan yang betul serta beristiqamah dengannya, Allah menyelamatkannya
dan mengurniakan kekuatan kepadanya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
Allah swt berfirman di dalam surah Fussilat
ayat 30-31 yang bermaksud:
“Sesungguhnya
orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah
Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan
turunlah malaikat kepada mereka (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu
bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah
kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga
yang telah dijanjikan kepada kamu.”
"Kamilah
penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; di dalamnya
(syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu
minta.”
[Al-Quran 41: 30-31]
Itulah kejayaan yang
dicapai oleh orang-orang yang istiqamah.
Sumber: Penghujung
Kehidupan
No comments:
Post a Comment