Allah swt tidak
menjadikan ganjaran di dunia ini tempat menentukan samada baik atau buruk, elok
mahupun jahat seseorang; ganjaran di dunia ini bukanlah suatu tempat yang
menjadi tanda rahmat atau gembira Allah dengan seseorang, bukan juga menjadi tempat
ketidakpuasaan atau kemarahan-Nya.
Ganjaran yang
diperoleh di dunia ini tidak boleh diambil sebagai bukti kemarahan atau keredaan
Allah swt. Oleh yang demikian, baik kaya atau miskin seseorang; ianya tidak mempunyai
apa-apa kaitan dengan kegembiraan atau kemarahan Allah swt.
Untuk itu, tidak
boleh untuk kita mengatakan setiap yang miskin adalah dekat dengan Allah swt
dan tiap-tiap orang yang kaya adalah jauh dari Allah swt.
Sebaliknya, kriteria
yang dipandang Allah swt adalah semata-mata berdasarkan tindakan dan perbuatan yang dilakukan oleh seseorang.
Di akhirat kelak
Allah swt akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa baik ia miskin atau kaya
atau pun orang yang pertengahan. Tidak kira siapa mereka, apa yang menjadi
perkiraan Allah swt adalah ketakwaan kepadaNya.
Allah swt berfirman
di dalam surah Maryam, surah ke 19, ayat 72 yang bermaksud:
“Kemudian
Kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa, dan Kami akan biarkan
orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di
dalam neraka itu.” [Al-Quran 19: 72]
Allah swt juga berfirman di dalam surah
al-Baqarah ayat 197:
“Hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya
sebaik-baik bekalan itu ialah takwa, dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang
yang berakal.” [Al-Quran 2:197]
Selain itu, ada sebuah hadis
menceritakan kelebihan orang beriman (bertakwa):
“Aku takjub dengan perihal orang yang beriman (bertakwa). Semuanya ada
kebaikan. Tidak ada sesuatu kebaikan pun kecuali ianya untuk orang beriman.
Apabila diberikan sesuatu nikmat, dia bersyukur. Maka itu baik baginya. Apabila
diuji dengan suatu ujian, dia akan bersabar. Maka itu juga baik baginya.” [Hadis
Riwayat Imam Muslim]
Imam Ibn Taimiyyah pernah ditanya oleh
murid beliau Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah, antara orang kaya yang bersyukur
dengan orang miskin yang sabar, siapakah yang lebih mulia?
Menjawab persoalan tersebut, Imam Ibnu
Taimiyyah lalu membaca surah al-Hujurat ayat 13:
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling
bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan, status, martabat atau
bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
PengetahuanNya.”
[Al-Quran 49:13]
Oleh itu, andai kedua-duanya memiliki
tingkat ketakwaan yang sama, maka mereka juga layak mendapat darjat kemuliaan
yang sama di sisi Allah
swt.
No comments:
Post a Comment