Pages

Monday, 11 November 2013

: : Hijab (Aurat) : :

Hijab (Aurat) 
Oleh: Dr Zakir Naik


Soalan

Mengapa Islam merendahkan wanita dengan menyembunyikan mereka di sebalik tudung? (Mengapa Islam mewajibkan perempuan untuk menutup aurat ?)

Jawapan

Status wanita di dalam Islam sering dijadikan sasaran serangan media sekular. Hijab atau pakaian Islam selalu disebut sebagai contoh penguasaan wanita di bawah undang-undang Islam. Sebelum kita menganalisis tujuan di sebalik mandat agama untuk ‘hijab’, terlebih dahulu marilah kita mengkaji status wanita dalam masyarakat sebelum kedatangan Islam.


Dahulu, wanita dipandang rendah dan dijadikan alat memuaskan nafsu. Berikut adalah contoh sejarah yang menunjukkan fakta bahawa status wanita pada tamadun awal adalah amat rendah sehingga tahap martabat kemanusiaan yang asas dinafikan:

i) Tamadun Babylon:

Di bawah undang-undang Babylon, martabat wanita menjadi rendah dan hak mereka dinafikan. Jika seseorang lelaki membunuh seorang lelaki/ wanita, bukan lelaki tersebut yang dihukum sebaliknya isterinya yang akan dihukum mati.

ii) Tamadun Yunani:

Tamadun Yunani dianggap tamadun lama yang paling agung. Di bawah sistem ‘agung’ ini, hak wanita dilucutkan dan dipandang rendah. Menurut mitologi Yunani, seorang ‘wanita khayalan’ yang dipanggil ‘Pandora’ merupakan penyebab nasib malang yang menimpa manusia.

Kaum Yunani menganggap wanita seperti binatang dan lebih rendah martabatnya daripada lelaki. Walaupun kesucian wanita berharga dan wanita disanjung tinggi, kaum Yunani kemudiannya ditenggelami keegoan dan sumbang laku seks. Pelacuran menjadi amalan biasa di kalangan semua golongan masyarakat Yunani.

iii) Tamadun Rom:

Ketika Tamadun Rom berada di kemuncak kegemilangannya, seseorang lelaki berhak mengambil nyawa isterinya. Pelacuran dan kebogelan menjadi kebiasaan di kalangan kaum Rom.

iv) Tamadun Mesir

Orang Mesir (pra-Islam) menganggap wanita sebagai jahat dan sebagai petanda Syaitan.

v) Arab Pra-Islam

Sebelum Islam berkembang di Arab, kaum Arab memandang rendah terhadap wanita dan sering kali apabila anak perempuan dilahirkan, ia ditanam hidup-hidup. Islam telah mengangkat status wanita dan memberikan hak mereka 1400 tahun dahulu. Islam mengharapkan wanita memelihara status mereka.

1. Hijab Untuk Lelaki

Lazimnya, ‘hijab’ hanya dibincangkan dalam konteks wanita. Walau bagaimanapun, di dalam kitab suci Al-Quran, Allah (S.W.T.) terlebih dahulu menyebut tentang ‘hijab’ untuk lelaki sebelum ‘hijab’ untuk wanita.

Di dalam Al-Quran disebutkan dalam Surah An-Nuur:

“Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
[An-Nuur 24:30]

Sebaik sahaja seseorang lelaki memandang wanita dan timbul pemikiran yang kurang elok dan memalukan, hendaklah dia menahan pandangannya.

2. Hijab Untuk Wanita

Ayat seterusnya dalam Surah An-Nuur, firmanNya:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka………”
[An-Nuur 24:31]

3. Enam Kriteria Hijab

Menurut Al-Quran dan Sunnah, pada dasarnya terdapat enam kriteria dalam pematuhan hijab.

i) Aurat

Kriteria pertama adalah had tubuh yang perlu ditutup. Ini berbeza di antara lelaki dan wanita. Had yang wajib bagi lelaki adalah menutup bahagian tubuh sekurang-kurangnya dari pusat hingga lutut. Bagi wanita, had wajib adalah keseluruhan tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan sehingga ke pergelangan tangan. Jika mahu, bahagian tersebut juga boleh ditutup. Sebahagian ulama’ Islam menegaskan bahawa muka dan tapak tangan adalah wajib dalam pematuhan ‘hijab’.

Lima kriteria yang lain adalah sama bagi lelaki dan wanita.

1) Pakaian yang longgar dan tidak mendedahkan susuk tubuh.

2) Pakaian yang tidak jarang sehingga seseorang dapat melihat di sebalik pakaiannya.

3) Pakaian hendaklah tidak terlalu glamor sehingga menarik perhatian kaum bukan sejenis.

4) Pakaian juga tidak boleh menyerupai pakaian kaum bukan sejenis.

5) Pakaian juga hendaklah tidak menyerupai pakaian orang yang tidak mempercayai Islam; iaitu tidak mengenakan pakaian yang menyerupai identiti atau simbol khas agama kaum yang tidak mempercayai Islam.

4. Hijab merangkumi antara lain tingkah laku dan budi pekerti.

‘Hijab’ yang sempurna selain daripada enam kriteria pakaian, juga termasuk perilaku moral, budi pekerti, sikap dan niat seseorang individu. Seseorang yang hanya mematuhi kriteria ‘hijab’ pakaian mengamalkan ‘hijab’ dalam erti kata yang terhad. ‘Hijab’ pakaian hendaklah disertai dengan ‘hijab’ mata, ‘hijab’ hati, ‘hijab’ pemikiran dan ‘hijab’ niat. Ia juga mengambil kira cara seseorang berjalan, bertutur, kelakuannya dan lain-lain lagi.

5. Hijab mengelakkan pencabulan.

Mengapa hijab dianjurkan untuk wanita disebut di dalam Al-Quran dalam ayat berikut yang terkandung di dalam Surah Al-Ahzab:

“Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri isteri orang Mukmin: Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
[Al-Quran 33:59]

Al-Quran menyebut bahawa hijab dianjurkan kepada wanita agar mereka dikenali sebagai wanita bersopan dan juga mengelakkan mereka daripada pencabulan.

6. Saudara kembar perempuan sebagai contoh.

Katakan terdapat dua saudara perempuan kembar yang sama-sama cantik sedang berjalan. Salah seorang daripada mereka berpakaian hijab Islam; iaitu menutupi keseluruhan tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan sehingga pergelangan tangan. Seorang lagi berpakaian skirt mini atau berseluar pendek. Sekiranya terdapat pengacau atau samseng sedang menanti mangsa, ingin mengusik gadis.

Siapakah yang akan diusiknya?

Gadis yang berpakaian hijab Islam ataupun gadis yang berpakaian skirt mini atau seluar pendek? Secara tabii dia akan mengusik gadis yang berpakaian skirt mini atau berseluar pendek. Pakaian sedemikian secara tidak langsung mengundang kaum lelaki untuk mengusik dan mencabul.

Al-Quran dengan kebenarannya menyatakan bahawa hijab menghalang wanita daripada dicabul.

7. Hukum bunuh untuk perogol

Di bawah syariah Islam, seseorang lelaki yang disabitkan kesalahan merogol wanita akan dijatuhi hukuman mati. Ramai yang terkejut dengan hukuman ‘berat’ ini, Ada juga yang berkata bahawa Islam adalah agama yang kejam dan tidak bertamadun! Saya telah bertanyakan satu soalan yang mudah kepada beratus lelaki bukan Islam. Katakan, (semoga dijauhkan Allah), seseorang merogol isteri, ibu atau saudara perempuan anda. Anda dilantik sebagai hakim dan perogol itu dibawa ke hadapan anda. 

Apakah hukuman yang akan anda jatuhkan? Kesemua mereka berkata bahawa mereka akan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya. Ada juga yang sanggup berkata mereka akan menyeksanya hingga mati. Kepada mereka saya bertanya, jika seseorang merogol isteri atau ibu anda, anda mahukan hukuman mati dijatuhkan. Tetapi jika jenayah sama dilakukan terhadap isteri atau anak perempuan orang lain, anda mengatakan hukuman mati adalah tidak bertamadun. Mengapa perlu ada doublestandard?

8. Masyarakat barat membuat dakwaan palsu terhadap menaikkan martabat wanita.

Laungan barat tentang kebebasan wanita hanyalah sekadar suatu bentuk eksploitasi tubuh wanita, penghinaan terhadap maruahnya dan kehilangan kehormatan diri. Masyarakat barat mendakwa telah menaikkan martabat wanita. Tetapi sebaliknya, mereka sebenarnya telah merendahkan wanita kepada status perempuan simpanan dan pelacur yang hanya menjadi alat memuaskan nafsu lelaki yang mencari hiburan dan pedagang seks yang bersembunyi di sebalik tirai berwarna-warni ‘seni’ dan ‘budaya’.

9. A.S. merupakan salah satu negara paling tinggi kadar jenayah rogol.

Amerika Syarikat merupakan salah satu negara termaju di dunia. Ia juga merupakan salah satu negara yang mempunyai kadar jenayah rogol tertinggi di dunia. Menurut laporan FBI, pada tahun 1990, di Amerika Syarikat, purata kes rogol setiap hari berjumlah 1756. Laporan lain pula kemudiannya melaporkan bahawa purata 1900 kes rogol berlaku di Amerika Syarikat. Tahunnya tidak dinyatakan. Mungkin rakyat Amerika semakin ‘berani’ pada tahun-tahun berikutnya.

Bayangkan senario jika hijab Islam dilaksanakan di Amerika. Setiap kali seorang lelaki memandang seorang wanita dengan pemikiran yang kurang baik atau mengaibkan, dia menahan pandangannya. Setiap wanita memakai hijab Islam, iaitu menutup keseluruhan tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan hingga ke pergelangan. Selepas itu, jika mana-mana lelaki melakukan jenayah rogol, dia akan dijatuhkan hukuman mati.

Saya bertanya, dalam senario demikian, apakah kadar jenayah rogol di Amerika Syarikat akan bertambah, kekal sama ataupun berkurangan?

10. Perlaksanaan syariah Islam akan mengurangkan kadar jenayah rogol.

Semestinya, sebaik sahaja syariah Islam dilaksanakan, hasil positif pasti akan diperoleh. Jika syariah Islam dilaksanakan di mana-mana sahaja di dunia, sama ada di Amerika atau Eropah, masyarakat akan dapat bernafas lagi. Hijab tidak merendahkan wanita tetapi meningkatkan martabat wanita dan melindungi kemuliaan dan kesuciannya.


Sumber: 20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...