Kisah
Wanita Inggeris & Syeikh al-Arifi
Pada suatu hari,
saya (Sheikh Dr Muhammad al-Arifi) bersama-sama dengan salah seorang Syeikh
yang sering muncul di saluran TV Arab Saudi telah menaiki kapal terbang dari
Britain untuk pulang ke Riyadh, Arab Saudi.
Setelah menaiki
tangga pesawat kami kemudian mengambil tempat duduk masing-masing yang telah
ditetapkan di dalam pesawat.
Setelah duduk, saya
melihat seorang lelaki Inggeris duduk di sebelah tempat duduk kami. Manakala, di
sebelah lelaki itu pula terdapat seorang wanita yang berpakaian menjolok mata.
Wanita itu duduk sambil membaca buku berbahasa Inggeris.
Saya fikir wanita
itu, mungkin isteri atau anak perempuan kepada lelaki Inggeris tersebut.
Tatkala di dalam
pesawat, saya juga ambil kesempatan mengisi masa dengan membaca buku, sambil
diselang seli dengan borak kecil bersama rakan saya. Waktu ketika dalam
perjalanan tersebut, hampir menjelang Maghrib.
Melihat matahari
terbenam yang menunjukkan masuknya waktu Maghrib, saya lalu memberitahu rakan
saya, ‘Abu Abdallah, kita akan solat Maghrib di sini atau bila tiba di Riyadh
nanti’.
‘Oo..kita masih ada
dua jam lagi untuk waktu Maghrib, kita solat saja nanti bila tiba di Riyadh’,
balas Abu Abdallah, rakan saya.
Saya kemudian
berkata, ‘Ok’, sambil meneruskan pembacaan saya.
Tiba-tiba, saya
melihat wanita yang berpakaian tidak senonoh tadi bangun, membuka ruangan
bagasi, kemudian mengeluarkan beg. Selepas membuka beg, beliau mengeluarkan
pakaian dan tudung solat, lalu memakainya dan terus solat Maghrib.
Melihat aksinya itu,
saya lalu mengucapkan kalimah syahadah, “Ashaduallah Ilahaillallah Wa
Ashaduanna Muhammadurrosullah”.
Beliau solat walau tadi berpakaian
tidak sopan.
Abu Abdallah yang
turut perasan dengan tingkah laku wanita itu berkata kepada saya, ‘Lihat, wanita
itu sedang solat!’.
Saya kemudian
berkata, ‘Ya. Dia sedang solat’.
Saya lalu melanjutkan
perkataan, ‘Malu! Kita Syeikh, orang beragama, tetapi dia yang sedang solat’.
‘Jom solat’, seru
saya.
Kami kemudiannya
bangun untuk menunaikan solat Maghrib. Ketika beranjak untuk solat, saya
melihat wanita tadi telah menyempurnakan solat Maghribnya.
Selepas itu beliau
berkemas-kemas, membuka pakaian solat dan kembali berpakaian seperti sedia kala.
Kemudian mengambil tempat duduknya semula.
Sebelum menunaikan solat
Maghrib, saya bergerak menghampiri wanita itu, lalu berkata kepadanya (dengan
tidak memandangnya), ‘Semoga Allah memberkati puan’, ‘Semoga Allah mengganjari
puan dengan pahala’. ‘Amal solat puan tadi menunjukkan puan memiliki keimanan
dan kepercayaan yang benar’, tambah saya.
Saya selanjutnya meneruskan
ucapan dengan berkata, ‘Puan, keimanan puan akan lebih baik bagi puan
seandainya puan terus memakai tudung persis seperti puan solat tadi’.
Membalas ucapan
saya, wanita itu lalu berkata, ‘Semoga Allah mengganjari syeikh juga’ dan
‘doakan kebaikan untuk saya’, tambahnya lagi.
Saya lalu beredar
untuk solat.
Selepas menceritakan
kisahnya ini, Syeikh Dr Muhammad al-Arifi berpesan:
“Apa
sahaja yang ada di hadapan kita, mungkin saja ia petanda bagi perbuatan dosa,
tetapi sedarlah bahawa mungkin di sana ada kebaikan di dalamnya. Boleh jadi
perbuatan yang mengandungi 90% perkara yang tidak baik itu, masih terdapat 10%
yang baik. Oleh itu, tugas kita adalah mengembangkan 10% yang baik itu sehingga
ia mencapai 50% (atau 100%).”
“Usahlah
kita berkata kepada orang yang hanya memiliki 10% kebaikan itu dengan
kata-kata, ‘Kamu pendosa atau penjahat,’. Boleh jadi kata-kata kita itu akan
mengurangkan lagi 10% kebaikan yang ada padanya.”
Terjemahan: Mohd
Aziz
Sumber: YouTube
No comments:
Post a Comment